|
Anggota tentera membawa keluar dua daripada empat mayat pengganas yang ditembak mati di Kampung Tanjung Batu, semalam. |
KOTA KINABALU - Seorang pemimpin kanan dipercayai berjawatan ketua perisik dikenali sebagai Datu Piah Datu Kiram kini menjadi orang buruan utama pasukan keselamatan dalam usaha melumpuhkan terus pergerakan saki-baki kumpulan pengganas yang menceroboh Sabah sejak 12 Februari lalu.
Menurut sumber, dia yang dipercayai ada hubungan keluarga dengan Jamalul Kiram yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, dikatakan antara individu yang menyertai kumpulan pengganas terbabit membuat rundingan dengan pasukan keselamatan, Februari lalu.
“Sejurus selepas berlaku pertempuran pada 1 Mac lalu, Datu Piah menghilangkan diri, tetapi dipercayai masih berada di negeri ini,” katanya.
Sumber itu berkata, pasukan keselamatan turut percaya Semporna ialah markas utama pengganas kerana di situlah mereka melakukan perancangan serta mengatur strategi.
“Semporna adalah ibu pejabat pengganas dan di Lahad Datu pula ‘medan permainan’ mereka,” katanya. - myMetro
|
Dokumen pengenalan diri mereka yang melalui Jalan Cenderawasih menuju Kampung Kembara Sakti diperiksa. Foto: Berita Harian |
LAHAD DATU - Pasukan keselamatan memburu seorang lagi pemimpin kanan kumpulan pengganas berjawatan ‘ketua perisik’ yang dipercayai masih bersembunyi di Semporna.
Suspek berusia 50-an itu adik kepada Jamalul Kiram III dikenali Datu Piah Datu Kiram serta dianggap antara orang paling kanan ketua pengganas, Agbimuddin Kiram.
Difahamkan, suspek mempunyai kedudukan setaraf dengan Komander Habib Musa A Abdullah atau Jeneral Haji Musa yang terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan di Kampung Tanduo, pada awal Ops Daulat.
Sumber memberitahu BH, pasukan keselamatan yakin suspek yang menceroboh negeri ini bersama Agbimuddin serta Jeneral Haji Musa dan pengikut mereka sebelum mendarat di Kampung Tanduo pada 12 Februari lalu, masih bersembunyi di Semporna.
Katanya, suspek dipercayai antara individu yang menyertai kumpulan pengganas membuat rundingan dengan pasukan keselamatan Februari lalu, namun dia dilaporkan ‘hilang’ sebaik berlaku pertempuran dengan pasukan keselamatan pada 1 Mac.
Awal pagi kelmarin, pasukan keselamatan menahan anak saudara Agbimuddin merangkap Pemerintah Tentera Sulu ketika bersembunyi dalam paya bersama isterinya di Kampung Sri Melor Bugaya, Semporna.
Suspek bertaraf Menteri Pertahanan itu dianggap individu terpenting mengatur serangan serta pergerakan pengganas ke beberapa lokasi sejak pencerobohan mereka.
Selain itu, pasukan keselamatan menahan warga tempatan berusia 40-an dikenali Ali bersama isterinya di Kampung Tungku di sini, malam Jumaat lalu. Mereka dipercayai tali barut utama menyediakan keperluan pengganas sejak awal pendaratan mereka di Kampung Tanduo.
Difahamkan, Ali anak penduduk Kampung Tanduo, Ahmad Malandi atau Mat Bom yang ditahan pasukan keselamatan pada awal Ops Daulat kerana menjadi tali barut pengganas.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, mengesahkan Pemerintah Tentera Sulu yang ditahan di Semporna adalah Datu Amir Bahar Hushin Kiram.
Beliau berkata, suspek dan isterinya ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).
“Operasi mengesan saki baki pengganas giat dijalankan, namun kami percaya mereka sudah hilang arah. Maklumat penduduk penting bagi mengesan saki baki pengganas.
“Dengan ada kerjasama semua pihak, kita percaya saki baki pengganas ini dapat ditumpaskan dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media bersama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di sini, semalam.
Sementara itu, semakan BH di laman sosial Facebook menemui seorang pemegang akaun menggunakan nama Datu Amirbahar Hushin Kiram dari Jolo, Filipina, dipercayai individu sama dengan suspek yang ditahan pasukan keselamatan.
Berdasarkan maklumat pada akaun terbabit, dia sering memuat naik dan berkongsi laporan insiden pencerobohan Lahad Datu sejak pertengahan bulan lalu. - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.