ANALISIS - Jelajah Janji Ditepati anjuran Barisan Nasional (BN) yang berakhir di Pahang kelmarin bukan petanda bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengumumkan tarikh pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dalam masa terdekat.
Ramai meramalkan kemungkinan ada berita mengenai pembubaran hari ini.
Jika tidak, negara akan menyaksikan, buat pertama kali satu Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik, esok, jika tidak dibubarkan seperti amalan biasa sebelum ini.
|
Chandra Muzaffar |
Menurut penganalisis politik, Prof Dr Chandra Muzaffar, kerajaan Malaysia tidak mengamalkan sistem pilihan raya seperti di England yang menetapkan tarikh keramat itu dalam masa tertentu.
Katanya, kerajaan lebih gemar mempraktikkan sistem spekulasi sekali gus membebankan banyak pihak khususnya rakyat kerana tidak diberikan masa yang mencukupi untuk bersedia menghadapi hari pengundian itu nanti.
“Menteri Kabinet pun tak tahu bila tarikh parlimen akan dibubarkan selepas jelajah BN terakhir semalam.
“... amalan memilih tarikh pilihan raya (hingga timbul spekulasi) di Malaysia hari ini diamalkan dalam sistem Parlimen British dulu.
“... apabila tidak nyatakan tarikh pilihan raya, menyebabkan banyak pihak tidak dapat buat perancangan dengan teratur dalam projek jangka panjang jabatan dan agensi kerajaan manakala pelaburan syarikat swasta pula terjejas.
“Ketidaktentuan tarikh pilihan raya akan merugikan masyarakat dan semua pihak,” katanya bercakap kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Chandra yang juga Presiden Just World Movement (Just) berkata, Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) boleh diadakan selepas cukup empat tahun dalam satu penggal sesebuah kerajaan itu memerintah.
Malah tegasnya, kerajaan Malaysia sepatutnya menetapkan tarikh atau bulan tertentu pada tahun kelima pemerintahannya supaya semua pihak lebih bersedia menghadapi PRU13 berbanding sekarang.
“Saya tidak bersetuju dengan prinsip dan pendekatan yang diambil oleh kerajaan tentang memilih tarikh pilihan raya.
“... tarikh (PRU13) harus ditetapkan lebih awal seperti berlaku di tempat lain.
“... lebih dua tahun kita kita tunggu... kita dah penat... ini amalan kurang sihat, kita perlu ubah cara ini, sejak 2010 lagi kita dah dengar bermacam-macam spekulasi Parlimen nak bubar,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau mengharapkan supaya cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) Februari tahun lalu dapat membawa perubahan dalam sistem pilihan raya di Malaysia.
|
Dr Mohamed Mustafa Ishak |
Sementara itu, Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak menyifatkan Jelajah Janji Ditepati BN itu bukan penamat segala-galanya kepada kerajaan yang diterajui Najib sejak empat tahun lalu.
Mohamed Mustafa berkata, program tersebut yang sudah menjadi amalan BN itu sebagai langkah turun ke padang bertemu dan menilai tahap sokongan rakyat, sekali gus sebagai tinjauan persiapan terakhir jentera pilihan raya dan kedudukan BN menjelang PRU13.
“Pusingan turun padang PM dah lengkap dan dah tutup pun semalam di Kuantan, malah isu Sabah pula dalam kawalan.
“... saya rasa tiada lagi halangan (laksana PRU13), hanya kes di Sabah akan libatkan satu dua kawasan atau Parlimen saja, selebihnya akan adakan pilihan raya secara serentak,” katanya sambil menyifatkan Najib tidak boleh mengelak lagi daripada mengumumkan tarikh pembubaran Dewan Rakyat susulan Dun Negeri Sembilan bakal berakhir esok.
Jelasnya, kerajaan BN tidak boleh menunggu beberapa lagi Dun terbubar dengan sendiri kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengumumkan tarikh pilihan raya Dun seminggu selepas ia dibubarkan dan 60 hari untuk melaksanakan pilihan raya.
|
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof |
Kelmarin, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof melahirkan keyakinan bahawa pilihan raya melibatkan semua negeri akan diadakan serentak.
“SPR takkan nak buat pilihan raya Dun satu-persatu.
"... Dun Negeri Sembilan akan terbubar secara automatik pada 26 Mac ini, kalau ikut amalan, lepas 27 haribulan SPR kena umum (tarikh pilihan raya Dun), tak boleh biar lebih 60 hari baru nak buat.
“... ikut kebiasaan, SPR akan tetapkan tarikh pilihan raya tidak sampai satu minggu,” kata Mohamed Mustafa sambil menyakini Parlimen akan dibubarkan dalam masa terdekat.
Hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menghadiri dua majlis penting pada sebelah pagi dan petang, yang tidak memberi bayangan akan ada pengumuman pembubaran.
Tetapi, apa pun boleh berlaku! - Sumber
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.