Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 29 Mac 2013

Keracunan Kerana Main Masak-masak

Pelbagai jenis racun rumput di pasaran. Foto: putikalam

Lagi racun rumput. Sepatutnya racun seperti ini disimpan jauh daripada capaian kanak-kanak. Foto: putikalam


KOTA BHARU - Keseronokan tiga beradik bermain ‘masak-masak’ bertukar tragedi apabila serbuk warna ungu kristal yang disangka pasir tidak berbahaya itu adalah sejenis racun rumput dan serangga. 
Kejadian itu yang berlaku di Kampung Berangan, Tumpat menyebabkan Muhammad Aiman Mat Haluwi, 7, Muhammad Arsyad, 6, dan Nur Amanina,5, mengalami muntah-muntah dan lemah tubuh badan. 
Pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superitendan Sharifuddin Yusof berkata, kejadian tersebut disedari oleh ibu mangsa, Siti Fatimah Yaacob, 36, kira-kira jam 6 petang semalam. 
“Sebaik sahaja melihat perubahan kepada tiga beradik tersebut, ibu dan bapa mangsa membawa mereka ke Hospital Kelaboran untuk rawatan pada jam 7.30 malam. "Mereka kemudian dirujuk kepada Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ II) pada jam 9.30 malam untuk tindakan selanjutnya,” katanya. 
Menurutnya, ketika kejadian bapa mangsa, Mohd Mat Haluwi Yusof, 49, bekerja sebagai buruh binaan tidak berada di rumah manakala ibu, Siti Fatimah menjaga kedai runcit miliknya di hadapan rumah tersebut. 
Beliau berkata, ketiga beradik tersebut yang dipercayai terhidu racun jenis ‘faradon’ itu kini berada dalam keadaan stabil, dan sudah boleh bercakap serta minum dengan baik. 
Sharifuddin berkata, racun tersebut disimpan di stor belakang rumah dalam keadaan terdedah di mana bapa mangsa merupakan petani sambilan. 
“Racun tersebut didakwa digunakan untuk membunuh rumput atau serangga dalam tanah dengan kegunaan ditanam ke dalam tanah. 
“Semasa kejadian faradon disimpan dalam beg plastik lusuh dan berbentuk serbuk warna ungu kristal,” katanya. 
Beliau berkata, menurut pegawai perubatan HRPZ II, kesan daripada menghidu racun tersebut boleh menyebabkan mangsa merasa pening dan muntah-muntah. 
Sementara itu, abang mangsa Amirul Mat Haluwi, 19, berkata ketiga-tiga adiknya itu terhidu bahan berkenaan selepas dipercayai bermain "masak-masak" berhampiran rumah padi yang terletak di belakang rumah mereka. 
Dari kiri, Muhammad Aiman, Nuramanini dan Muhammad Arsyad yang terhidu serbuk racun rumput kini stabil.
“Racun berkenaan sudah lama dan plastiknya pecah. Ketiga-tiga adik saya ambil bahan tersebut yang dianggap sebagai pasir dan dijadikan sebagai permainan. Mereka kemudian mengalami pening dan muntah-muntah sebelum ibu dan ayah membawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui di HRPZ II di sini, hari ini. - Sinar Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.