|
Tok Bomoh sedang menjampi dan mengasap tangkal (gambar hiasan). Foto: kulihatlangitbiru.blogspot |
|
Tangkal ini menggunakan kelongsong tembaga tetapi tangkal saudara saya menggunakan kelonsong perak. Foto: lelong.com.my |
|
Ini ialah tangkal kebal 'tentera Sulu' yang ditemui oleh polis di Lahad Datu. Foto: apple-biru.blogspot |
|
Seorang 'tentera Sulu' yang mati terbunuh di Lahad Datu didapati memakai tangkal kebal. Foto: miri4evernet.blogspot |
|
Para sahabat Rasulullah mengejar syahid, tak patut kita mencari tangkal syirik. Foto: hakimashabulkahfi.blogspot |
Membaca berita ‘tentera Sulu’ di Lahad Datu mati ditembak, walaupun memakai tangkal kebal, membuatkan saya teringat akan kisah saudara saya di kampung pada tahun 1960-an. Pada masa itu, saudara saya ini telah diterima menyertai pasukan polis.
Namun menyertai pasukan polis pada masa itu tidak sama dengan menyertai pasukan polis zaman sekarang. Ketika itu, negara kita dalam keadaan darurat kerana menghadapi ancaman pengganas komunis. Maknanya, sesiapa yang menyertai pasukan polis ketika itu, tidak boleh tidak akan terlibat dengan operasi memburu atau bertempur dengan pengganas komunis.
Maka apabila saudara saya ini lulus temuduga dan dipanggil untuk menjalani latihan, dia telah berjumpa dengan seorang bomoh di hujung kampung. Tujuannya ialah untuk mendapatkan tangkal pelindung agar beliau terhindar daripada mara bahaya semasa bertugas, terutama ketika menyertai operasi memburu pengganas komunis.
Tok Bomoh yang ditemui oleh saudara saya ini bersetuju memberi tangkal yang dimaksudkan, tetapi dengan bersyarat. Syaratnya, dia hendaklah mendapatkan kulit anak kijang yang masih berada dalam perut ibunya.
Mungkin didorong keinginan untuk memiliki tangkal pelindung itu, saudara saya ini telah bersetuju menerima syarat yang diberikan tanpa berfikir panjang.
Maka terpaksalah dia berpesan kepada sesiapa yang hendak berburu masuk hutan agar mencarikan dia kijang betina yang bunting. Dia berpesan supaya kijang bunting itu ditembak dan disembelih. Selepas disembelih, perut kijang bunting hendaklah dibelah dan anaknya dikeluarkan untuk disembelih dan diambil kulitnya.
Namun bukan mudah hendak mendapatkan kijang bunting itu. Alangkan hendak masuk hutan pun sudah jadi masalah. Apa lagi hendak berburu. Maklumlah negara tengah darurat. Tidak ramai yang teringin hendak pergi berburu ketika itu. Lagipun silap hari bulan, mereka yang pergi berburu mungkin mati tertembak oleh komunis ataupun polis.
Tapi kehendak manusia memang unik. Walaupun dengan susah payah, saudara saya ini akhirnya berjaya juga mendapatkan apa yang dihajatkannya, sehingga dia terpaksa membayar dengan harga yang mahal.
Setelah mendapat kulit anak kijang itu, dia menyerahkannya kepada tok bomoh. Tok bomoh kemudiannya memproses kulit tersebut menjadi 'lembaran kertas’. Setelah itu, Tok Bomoh menulis ayat-ayat Quran dan rajah-rajah tertentu yang dikatakan ‘wafak’ di atas 'lembaran kertas' berkenaan. Selepas itu, 'lembaran kertas' digulung dan dimasukkan ke dalam kelongsong perak. Akhir sekali, kelongsong itu di didoakan sambil diasap dengan asap kemenyan.
Seingat saya, proses menyiapkan tangkal itu memakan masa berhari-hari lamanya. Maklumlah, untuk memproses kulit itu menjadi 'lembaran kertas' pun mengambil masa kerana kulit itu perlu dicuci bersih, dikikis rata, diregang dan dijemur di bawah terik cahaya matahari sehingga menjadi cukup kering. Hanya setelah kulit itu cukup kering barulah kerja-kerja menulis wafak dilakukan.
Setelah tangkal siap, tok bomoh menyerahkannya kepada saudara saya. Semasa menyerahkan tangkal berkenaan, sekali lagi tok bomoh mengenakan syarat dan pantang larang. Di antaranya, tangkal itu tidak boleh di bawa masuk ke tandas, tidak boleh dipakai ketika menanggung hadas besar, tidak boleh dibawa melintas di bawah kolong rumah dan tidak boleh diletakkan sewenang-wenangnya. Jika pantang larang di langgar, akibatnya tangkal itu akan hilang dengan sendirinya atau jika tidak hilang, ianya tidak akan mujarab.
Setelah mendapat tangkal berkenaan, saudara saya pun pergi ke Kuala Lumpur dengan penuh keyakinan untuk menjalani latihan polis. Dia rasa teruja memiliki tangkal tersebut, lebih-lebih lagi apabila mendengar tok bomoh memberitahu bahawa dirinya tidak akan lut parang, pedang, keris atau peluru selepas memakai tangkal tersebut!
Setelah tamat latihan, dia ditugaskan dalam pasukan Polis Hutan (sekarang PGA – Pasukan Gerak Am). Banyak kali juga pasukan saudara saya ini terlibat dalam operasi membenteras komunis.
Semasa bertugas dalam satu operasi membanteras komunis, berlakulah kejadian pelik. Kejadian pelik itu lebih kurang begini. Ketika itu dia bertugas sebagai pemandu trak. Semasa pasukan mereka dalam perjalanan, mereka telah diserang hendap oleh sekumpulan pengganas komunis.
Akibatnya, ada anggota pasukan yang terbunuh dan ada pula yang cedera akibat terkena tembakan pengganas komunis. Peliknya, hanya saudara saya seorang sahaja yang selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bagaimanapun, kejadian luar biasa ini telah menyusahkan saudara saya kerana dia terpaksa menghadapi siasatan pihak atasan. Siasatan tertumpu kepada mengapa dia selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan, sedangkan rakan sepasukannya sebaliknya.
Selain itu siasatan juga bertujuan hendak mengetahui sama ada dia membocorkan maklumat operasi kepada musuh atau tidak, atau dalam perkataan lain, melakukan khianat!
Sungguh kasihan saudara saya ini. Agak lama juga dia digantung daripada tugasnya. Bagaimanapun dia akhirnya dibebaskan daripada sebarang tindakan kerana hasil siasatan mendapati tidak terdapat bukti yang menunjukkan dia telah melakukan khianat. Bagaimanapun mengikut kata saudara saya ini, akibat daripada peristiwa tersebut, dia lambat dinaikkan pangkat!
Saudara saya ini bersara daripada perkhidmatan polis pada tahun 1980-an. Selepas bersara, dia kembali tinggal di kampung. Kini dia rajin solat berjemaah di surau dan tidak lagi menyimpan tangkal tersebut.
Memang kini saudara saya ini telah insaf bahawa memiliki tangkal seperti itu adalah syirik dan tidak mendatangkan manfaat. Betapa tidak, walaupun dia terselamat semasa serang hendap komunis, tetapi dia terpaksa menghadapi fitnah.
Bayangkan, ketika rakan-rakan sepasukannya yang terbunuh atau cedera mendapat penghormatan dan penghargaan, dia pula dicurigai oleh pihak atasan dan terpaksa berhadapan dengan siasatan!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.