Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 14 Mac 2013

Anak Lelaki Tergamak Belasah Bapa 72 Tahun

Sulong menunjukkan kecederaan dialami selepas dibelasah anak sendiri. Foto: Sinar Harian


MARANG – Seperti dirasuk, seorang anak berusia 20an, sanggup membelasah bapa sendiri dengan kerusi tanpa belas kasihan di hadapan ibunya. 
Kejadian berlaku selepas kedua orang tuanya itu tidak memberi wang seperti dimintanya. 
Akibat kejadian itu, Sulong Yaacob, 72, menerima 12 jahitan pada dua jari tangan kanan, selain lebam di bawah mata dan menerima rawatan di Klinik Kesihatan Wakaf Tapai, di sini kelmarin. 
Sebelum kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa yang juga OKU kerana tangan kirinya cacat, bertengkar dengan anak lelakinya apabila si anak mendesak sambil memarahi isterinya, Fatimah Yusof ketika meminta wang. 
Bagaimanapun, isteri mangsa, seorang tukang sapu di sebuah pusat kemahiran di Wakaf Tapai itu gagal memenuhi permintaan anak lelakinya, walaupun wang diminta hanya beberapa ringgit sahaja kerana tidak mempunyai wang. 
Sulong yang tinggal di Lubuk Bayas, Pengkalan Berangan berkata, anak lelakinya itu kemudiannya naik berang, dan secara tiba-tiba mengangkat kerusi kayu lalu mencederakannya sebelum keluar dari rumah serta menyembunyikan diri di kampung itu. 
“Macam mana isteri pak cik nak beri dia pitih (wang), mana kami nak dapatkan pitih setiap hari, nak guna untuk tujuan salah pula. Pak cik lama dah tak kerja, isteri pula hanya tukang sapu. 
“Gaji isteri hanya RM400 sebulan. Pak cik pula hanya dapat bantuan bulanan JKM sebanyak RM200 sebulan. Jumlah RM600 itu hanya cukup buat beli barang dapur saja,” katanya. 
Lebih menyedihkan warga emas itu, anak lelakinya kerap bertindak kasar terhadap dia dan isterinya, menyebabkan isterinya tidak tahan dan mengambil keputusan membuat laporan polis agar kejadian itu tidak berulang. 
“Hanya dia yang berperangai seperti itu. Pak cik rasa, dia sanggup pukul bapa sendiri kerana terdesak mendapatkan barang salah,” katanya yang telah berkahwin sebanyak 11 kali, dan mempunyai 10 anak. 
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian semalam, mengesahkan menerima laporan itu dan berkata, suspek kini sedang diburu. Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.