|
Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf ditangkap polis. Foto: arabia.msn.com |
|
Pervez Musharraf meninggalkan Mahkamah Tinggi pada Khamis. Foto: livemint.com |
ISLAMABAD - Bekas Presiden Pakistan, Pervez Musharraf (gambar) ditahan di ibu pejabat polis di sini semalam.
Dia ditahan selepas sebuah mahkamah majistret mengarahkan dia diletakkan dalam tahanan di rumahnya.
Jurucakap Musharraf, Mohammed Amjad berkata, beberapa anggota polis mengiringi bekas Presiden itu dengan menaiki sebuah kenderaan yang bergerak dari rumahnya ke ibu pejabat tersebut.
Menurutnya, Musharraf ditahan reman di sebuah rumah tetamu di ibu pejabat tersebut selama dua hari.
Mohammed berkata, Musharraf ditahan di ibu pejabat polis kerana seorang pegawai kanan polis gagal untuk mengeluarkan dokumen yang diperlukan bagi mematuhi arahan majistret sebelum ini supaya dia ditahan di rumah.
Musharraf yang pernah memimpin tentera Pakistan ditahan berhubung kes pemecatan beberapa hakim kanan semasa dia menjadi Presiden.
Dia merupakan bekas ketua tentera negara ini yang pertama ditahan oleh polis.
Musharraf ditangkap sehari selepas melarikan diri dengan sebuah kenderaan dari sebuah mahkamah di sini bagi mengelak ditangkap polis.
Dia meninggalkan Mahkamah Tinggi Islamabad kelmarin dengan menaiki kenderaan tersebut yang dipandu laju.
Bekas Presiden itu kemudian tinggal di dalam rumahnya di pinggir bandar ini selepas seorang hakim menolak untuk melanjutkan lagi tempoh ikat jaminnya sebelum mengarahkannya ditangkap.
Terdapat beberapa laporan yang bercanggah berhubung cara Musharraf ditangkap.
Polis menyatakan, pihaknya menangkap bekas Presiden itu di rumahnya dan menyerahkannya kepada seorang majistret di sini semalam.
Bagaimanapun, Mohammed mendakwa, Musharraf menyerahkan diri di hadapan majistret.
Dia menggulingkan Nawaz Sharif untuk menjadi Presiden dalam rampasan kuasa aman pada tahun 1999.
Musharraf menang pilihan raya Presiden pada tahun 2002.
Dia meletak jawatan pada 18 Ogos 2008 ketika Pakistan mengalami kemelut politik yang meruncing termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri, Benazir Bhutto pada tahun 2007. - Agensi / Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.