|
Sebuah teksi di Bangkok. Foto: bangkok.coconuts.co |
BANGKOK - Seorang pemandu teksi yang didakwa mencuri daripada lebih puluhan penumpang selepas meminta bantuan mereka akhirnya ditahan selepas dibantu kaki judi.
Polis berkata, taktik pemandu teksi itu ialah berpura-pura kehabisan petrol dan meminta penumpang membantunya menolak teksi itu ke tepi jalan. Apabila mereka keluar untuk membantu, suspek akan memecut kenderaan dengan barangan milik mereka.
Bagaimanapun, seorang kaki judi berjaya menangkap suspek.
Polis berkata, kaki judi itu yang juga seorang pembantu rumah, di mana majikannya menjadi mangsa terakhir suspek menulis nombor plat teksi itu untuk digunakan sebagai nombor pertaruhan loteri pada 1 Mei ini.
Apabila majikannya menceritakan kes penipuan pemandu teksi itu, wanita terbabit menyerahkan ‘senarai nombor loterinya’. Ia kemudian membawa kepada penangkapan suspek, Wanlop Ou-thong, 54, di sebuah pusat peranginan di Suphan Buri tempat dia menyembunyikan diri. Ketua Polis Nonthaburi Thanayuth Wuthijamrasthamrong memberitahu media, suspek mengakui dia menggunakan taktik kehabisan minyak terhadap 12 mangsa di kawasan Bangkok Utama.
Dia akan memberitahu penumpang bahawa kakinya tidak berfungsi dengan baik kerana patah akibat nahas dan meminta mereka keluar dari kenderaan serta menolaknya ke tepi jalan. Polis menggeledah kediamannya di Nonthaburi dan menemui dompet, beg sandang wanita, barang perhiasan, komputer riba, iPhone, iPad, beg pakaian dan sejumlah wang tunai. Pihak berkuasa turut menemui anjing betina Pomerania berusia empat bulan yang dicuri.
Suspek memberitahu polis, dia mendapat anjing itu selepas menipu seorang penumpang di kawasan Bang Yai tiga bulan lalu. Dia kemudian menipu isterinya dengan mengatakan bahawa anjing itu dibeli untuk wanita terbabit sebagai hadiah. - Bangkok Post / myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.