Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 29 April 2013

Nyaris Lemas Kereta Terjunam Ke Dalam Tali Air

Keadaan kereta jenis Perodua Myvi dinaiki mangsa rosak teruk setelah terjunam dalam tali air. Foto: Sinar Harian


SELINSING - Seorang pemuda yang sedang dalam perjalanan pulang ke rumah hampir lemas ditenggelami air setelah kereta yang dinaiki terbabas dan terhumban ke dalam sebuah tali air di Kilometer 95, Jalan Persekutuan Ipoh-Butterworth, menghala ke utara, petang kelmarin. 
Bagaimanapun, mangsa yang berusia 27 tahun dan enggan dikenali itu berjaya diselamatkan oleh salah seorang saksi kejadian sebelum keretanya tenggelam ke dalam air sepenuhnya. 
Saksi kejadian hanya dikenali Kamal, 23, berkata, dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, dia bersama beberapa rakan sedang menikmati minum petang di sebuah kedai berhampiran yang terletak hanya 20 meter dari lokasi kejadian. 
“Sedang asyik bersembang, tiba-tiba kami terdengar bunyi geseran kuat tayar kereta dan apabila melihat ke arah lokasi kejadian, kami mendapati sebuah kereta jenis Perodua Myvi berwarna hitam terbabas dan terus terjunam ke dalam tali air berdekatan. 
“Tanpa membuang masa, kami bergegas ke lokasi kejadian dan salah seorang rakan saya nekad terjun ke dalam tali air berkenaan untuk menyelamatkan pemandu berkenaan sebelum kenderaan itu tenggelam sepenuhnya,” katanya sewaktu ditemui di lokasi kejadian di sini, kelmarin. 
Kamal berkata, tindakan berani rakannya itu berjaya menyelamatkan nyawa pemandu itu daripada berkemungkinan lemas dan tenggelam bersama keretanya. 
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian. 
“Mangsa seorang pemuda berbangsa cina yang berumur 27 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan kes ini masih dalam siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.