|
Beberapa helai tuala diikat seperti tali. Foto: myMetro |
KULIM - Tindakan empat wanita warga asing cuba melarikan diri daripada ejen apabila mahu dihantar pulang ke negara asal berakhir dengan tragedi selepas seorang daripada mereka ditemui mati akibat terjatuh pada ketinggian lima meter dari tingkat satu bangunan rumah kedai di Taman Selasih, Isnin lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, mangsa dikenali sebagai Rohana, 44, parah iaitu patah pinggang dan tulang rusuk dipercayai terlepas pegangan ketika cuba turun melalui tingkap menggunakan ikatan kain tuala.
Malah, tiga rakan mangsa berusia antara 21 hingga 42 tahun turut cedera ringan dipercayai akibat melompat ke bawah dari tingkat satu bangunan rumah kedai untuk melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Kulim Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, kejadian berlaku apabila ejen pekerja asing dikatakan mahu menghantar pulang empat wanita terbabit yang bekerja sebagai pembantu rumah ke negara asal mereka apabila perkhidmatan ditamatkan.
Menurutnya, sebelum itu ejen terbabit menempatkan mereka yang tiba di negara ini pada Disember dan Januari lalu dalam bilik di pejabat syarikat berkenaan di tingkat satu rumah kedai.
|
Tempat amah maut selepas terjatuh (anak panah) |
KULIM - Seorang pembantu rumah warga Indonesia maut selepas terjatuh dari tingkat dua sebuah bangunan di sini ketika cuba melarikan diri bersama tiga lagi rakannya Selasa lalu.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Salleh berkata, kejadian berlaku di premis yang dijadikan pejabat sebuah agensi pekerja asing serta tempat tinggal amah di Jalan 2, Taman Selasih di sini kira-kira pukul 6.30 pagi.
Ujarnya, salah seorang amah itu masuk ke negara ini pada Disember 2012 manakala tiga lagi sejak Januari lepas.
Katanya, mereka telah dihantar ke beberapa lokasi untuk bekerja tetapi tidak diterima oleh majikan.
"Ekoran itu agensi pekerjaan berkenaan dalam proses menghantar pulang amah-amah terbabit ke negara asal namun mereka enggan lalu bertindak melarikan diri," katanya di sini semalam.
Ghuzlan memberitahu, mereka menggunakan beberapa helai tuala yang diikat seperti tali dan cuba terjun dari bangunan dua tingkat tersebut.
Ujarnya, salah seorang daripada mereka yang dikenali sebagai Rohana, 44, terjatuh dan pengsan serta mengalami kecederaan teruk di bahagian pinggang dan dada. - Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.