Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 6 Mac 2013

Suami Penyanyi Mati Terikat

Kondominium tempat mangsa ditemui tidak sedarkan diri dipercayai akibat serangan jantung. Foto: myMetro


AMPANG - “Saya rindukan anak-anak.” Itulah kata-kata terakhir Mohd Khairul Azmi Jaafar, 39, kepada rakan baiknya sebelum dia ditemui mati disyaki selepas bergelut dengan isterinya yang juga seorang penyanyi popular lewat 1990-an di sebuah kondominium di Ampang Utama, di sini, kelmarin. 
Hasil bedah siasat, mangsa mati akibat serangan jantung berikutan pergelutan dan kekasaran. 
Mangsa sebelum itu mengajak rakan berkenaan ke rumah penyanyi terbabit untuk berjumpa anak perempuan mereka berusia setahun. 
Difahamkan, sebaik tiba di rumah itu jam 5 petang, berlaku pertengkaran dan pergelutan antara mangsa dan isterinya sebelum dia pengsan dalam sebuah bilik dengan keadaan kedua-dua tangan dan kaki terikat dan disahkan mati. 
Isteri mangsa berusia 39 tahun dipercayai sengaja mengikat tangan dan kaki suaminya itu dengan bantuan dua anak saudara angkara tidak puas hati pertengkaran bermotifkan perebutan anak. - myMetro

Penyanyi Belasah Suami Hingga Mati


Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin

AMPANG - Seorang penyanyi wanita sanggup membelasah suaminya dalam keadaan kaki dan tangan terikat hingga mati gara-gara tidak mahu mangsa bertemu dengan anak perempuan mereka berusia setahun.
Dalam kejadian jam 5 petang kelmarin, suspek bersama dua anak saudaranya bertindak sedemikian selepas berang apabila mangsa mendesak meminta bertemu dengan anaknya meskipun tidak dibenarkan berbuat demikian. 
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, pihaknya yang menerima maklumat tentang kejadian, bergegas ke rumah itu sebelum menemui mangsa tidak sedarkan diri di dalam sebuah bilik dengan keadaan terikat. 
Menurutnya, mangsa cuba diberi bantuan kecemasan oleh anggota paramedik namun disahkan sudah meninggal dunia. 
Beliau berkata, mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat. 
“Hasil bedah siasat mendapati mangsa maut kerana serangan jantung akibat pergelutan dan kekasaran. Suspek dan dua anak saudaranya ditahan reman untuk membantu siasatan," katanya. 
Menurutnya, polis merakamkan percakapan suspek dan kes dijangka dibawa ke pendakwaan pada masa terdekat. 
Difahamkan, pasangan berusia 39 tahun itu tidak tinggal bersama sejak setahun lalu dan dalam proses penceraian. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Sinar Harian


Bunuh Suami, Polis Sahkan Tahan Penyanyi Nouri

Penyanyi tahun 1990-an Nouri Ramli

Gambar kenangan Nouri bersama suaminya. Foto: mStar Online

PETALING JAYA: Seorang suspek iaitu penyanyi tahun 1990-an Nouri Ramli telah ditahan polis berhubung kematian suaminya yang dipercayai mati selepas bergelut dalam kejadian di kondominium Ampang Utama, dekat sini pada Selasa. 
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin yang mengesahkan perkara itu berkata, Nouri bersama dua anak saudaranya telah ditahan pada pagi Rabu dan di reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membantu siasatan. 
"Kami menahan wanita itu di rumahnya pagi tadi (Rabu) dan tidak dapat dipastikan berapa lama dia akan di reman. 
"Mereka akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi mStar Online di sini pada Rabu. 
Akhbar pada Rabu melaporkan seorang penyanyi wanita telah memukul suaminya sehingga mati kerana tidak mahu suaminya itu bertemu dengan anak perempuan mereka yang berusia setahun. 
Mangsa, Khairul Azmi Jaafar, 39, mati dipercayai selepas dibelasah dalam keadaan kaki dan tangan terikat. 
Kejadian ini dipercayai terjadi sekitar pukul 5 petang Selasa apabila berlaku pertengkaran melibatkan mangsa dan isterinya berhubung perebutan anak. 
Dalam kejadian, Nouri, 39, dipercayai sengaja mengikat tangan dan kaki suaminya dengan bantuan dua anak saudaranya sebelum mangsa pengsan dalam sebuah bilik dan meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung kerana pergelutan dan kekasaran. 
Penyanyi wanita itu juga dikatakan sudah tidak tinggal sebumbung dengan mangsa sejak setahun lalu dan mereka juga dalam proses perceraian. 
Nouri pernah popular dengan lagu Hadirmu Yang Terakhir dan turut memenangi anugerah Artis Baru Wanita Terbaik, Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun 1999. - mStar Online

Penyanyi Nouri Ditahan Reman


KUALA LUMPUR - Penyanyi yang popular pada tahun 90-an, Nouri (gambar) semalam ditahan reman bagi membantu siasatan kes kematian suaminya di sebuah kondominium di Ampang Utara di sini. 
Ketua Polis Daerah Ampang, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin mengesahkan penahanan Nouri atau nama sebenarnya Norin Ramli, 39, bersama dua anak saudaranya bermula semalam hingga Ahad ini di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah. 
"Wanita itu dan dua individu lagi telah ditahan di Ampang pagi tadi (semalam) bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. 
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang Isnin lalu, suami penyanyi tersebut, Khairul Azmi Jaafar, 39, ditemui mati dengan tangan dan kakinya terikat. 
Mangsa yang merupakan ejen jualan langsung dikatakan meninggal dunia akibat serangan jantung. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.