Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 13 April 2013

Itik Salai Tanjung Ipoh

Oleh NADIA SHAIFUL BAHARI
 
PERJALANAN selama lebih sejam dari ibu negara ke pekan Tanjung Ipoh yang terletak di Kuala Pilah, Negeri Sembilan dilatari dengan pemandangan indah sawah padi dan reka bentuk rumah tradisional masyarakat setempat. 
Lokasinya yang terletak di laluan alternatif ke lebuh raya Pantai Timur menjadi kawasan persinggahan orang ramai mencuba makanan eksotik di Tanjung Ipoh. 
Tanjung Ipoh cukup terkenal dengan pelbagai jenis pilihan hidangan salai seperti daging lembu, itik, ayam, keli dan puyuh yang membuka selera jika dimasak bersama gulai lemak cili padi. 
Pengguna jalan raya yang sering berulang-alik dari selatan Selangor ke Pantai Timur atau menuju ke selatan tanah air pasti sudah biasa mendengar tentang keenakan pilihan daging lembu salai di Tanjung Ipoh. 
Resipi turun-temurun diwarisi sejak zaman nenek moyang dalam menyediakan daging salai tahan lama menjadi rahsia perniagaan Mohd. Shafie Jahaluddin, 33. Dia mempunyai berpengalaman 12 tahun menjual hidangan eksotik tersebut. 
“Penggemar daging salai pasti singgah membeli daging salai di Tanjung Ipoh kerana ia sukar ditemui di tempat lain. 
“Saya menggunakan resipi tradisi keluarga untuk memastikan daging salai yang disediakan tahan lama dan mengekalkan aromanya walaupun disimpan selama tiga atau empat bulan dalam peti sejuk,” katanya yang mengakui persaingan perniagaan daging salai di Tanjung Ipoh agak tinggi. 
Katanya, pelanggan gemar membeli daging salai untuk masakan seperti masak lemak cili padi, kari, rendang dan gulai tempoyak. 
Menariknya, permintaan terhadap daging itik salai juga menggalakkan kerana ramai pelanggan beranggapan hidangan kaki itik mampu menghilangkan sakit lutut. 
RUANG makan di dalam Restoran Warisan.
Mengikut sejarah, penyediaan daging salai sebenarnya sudah diamalkan sejak zaman prasejarah bagi tujuan mengawet makanan kaya protein itu agar boleh disimpan untuk tempoh lama. 
Kini, hidangan unik itu turut popular dalam kalangan kaum India dan Cina. 
Selain daging salai, telur masin juga banyak terdapat di Tanjung Ipoh dan penyediaan berbeza dengan telur masin biasa. 
Pengusaha telur masin, Kamarul Anuar Abdullah, 26, menjelaskan, telur itik yang dijadikan telur masin direndam dalam air garam selama seminggu sebelum dijual kepada pelanggan. 
Lazimnya, telur itik yang mahu dijadikan telur masin disalut tanah liat dan sekam padi bakar. 
Sejak mengusahakan perniagaan itu setahun lalu, dia sering mendapat tempatan untuk majlis perkahwinan. Pelanggan dari Kuala Lumpur dan selatan tanah air juga ramai yang datang membelinya. 
“Telur masin yang dijeruk tidak terlalu masin dan selalu dihidangkan sebagai pembuka selera. 
“Ada pelanggan yang menghidap hipertensi dan diabetes juga suka makan telur masin dari Tanjung Ipoh kerana dipercayai tidak menjejaskan kesihatan mereka,” katanya yang menghasilkan kira-kira 300 biji telur masin seminggu. 
Telur masin yang dihidangkan dalam masakan perlu direbus selama lima minit sebelum dihidang. 
Pencinta makanan pula pasti tidak melepaskan peluang berkunjung ke Restoran Warisan yang terletak bertentangan dengan pintu gerbang masuk ke Istana Besar Seri Menanti. 
Reka bentuk restoran tersebut yang mengekalkan ciri tradisional rumah Minangkabau dan bersebelahan bendang sawah padi menyuntik suasana kampung tatkala menjamu selera. 
Restoran Warisan menawarkan lebih 100 jenis hidangan asli masakan tradisional ala Minang yang terkenal dengan rasa pedas luar biasa. 
Seorang pekerja di restoran itu, Siti Aisyah Latif, 28, berkata, hidangan lazim yang menjadi kemestian pengunjung ialah sambal tempoyak daun kayu, daging dan ayam salai masak lemak serta keli berlada. 
“Lauk yang dihidangkan di sini sememangnya pedas-pedas belaka kerana ia sinonim dengan selera masyarakat setempat. 
“Kami sering menerima kunjungan pelanggan dari Pahang, Kuala Lumpur dan Melaka pada hujung minggu yang ingin menikmati masakan tradisional Negeri Sembilan,” jelasnya. 
BANGUNAN Istana Besar Seri Menanti masih kukuh sehingga kini.
Setiap malam Ahad, restoran berkenaan mengadakan persembahan ‘Bongai’ yang mendendangkan lagu dalam loghat nogori oleh penyanyi veteran kebudayaan Negeri Sembilan. 
“Pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan artis kebudayaan menggunakan alat muzik tradisional seperti gong dan kerincing ketika membuat persembahan,” ujar Siti Aisyah. 
Walaupun pembangunan mula mengintai tapak di Tanjung Ipoh, masih banyak rumah yang bercirikan reka bentuk Minangkabau. 
Reka bentuk rumah tradisional yang memanjang dan bumbung sedikit melengkung di bahagian hujung menambahkan keindahan pemandangan landskap di kampung halaman. 
Kebiasaannya, rekaan rumah tradisional tersebut terdiri daripada rumah ibu, ruang tengah dan dapur yang lengkap dengan serambi di bahagian hadapan rumah. 
Bukan itu sahaja, orang ramai boleh meluangkan masa melawat istana lama iaitu Istana Besar Seri Menanti yang dibina pada tahun 1902. 
Istana lama yang diperbuat daripada kayu itu pernah menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan sebelum dijadikan muzium. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.