Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 16 April 2013

Lebih 30 Rumah Rosak Akibat Angin Ribut

Kamsiah menunjukkan atap bumbung sebahagian besar rumahnya yang ranap selepas diterbangkan angin. Foto: Sinar Harian

Keadaan bahagian dapur rumah didiami Rahimah bersama keluarganya dan kedua ibu bapa musnah teruk. Foto: Sinar Harian

Tiang elektrik dan khemah yang tumbang dan diterbangkan hingga ke atas bumbung dalam kejadian di Port Dickson. Foto: Sinar Harian

Pengerusi JKKK Tehel, Rahim Selamat (kiri) melihat bumbung rumah yang diterbangkan angin di Kampung Tehel. Foto: Sinar Harian

PORT DICKSON - Lebih 30 rumah penduduk rosak dalam kejadian ribut yang melanda di empat kawasan sekitar Port Dickson, Jasin, Alor Gajah dan Duyong, awal pagi semalam. 
Dalam kejadian di Port Dickson, sekurang-kurangnya 31 rumah dan 20 kenderaan rosak akibat kejadian ribut yang berlaku di daerah ini, dekat sini. 
Penduduk, Ahmad Ibrahim, 62, berkata, kejadian berlaku sekitar 1.30 pagi ketika dia baru selesai mengemas rumah kerana pada siang harinya diadakan majlis perkahwinan anak buahnya. 
Menurutnya, dia mendengar ribut kuat dan terlihat kanopi di depan rumah sudah tumbang selain bunyi tiang patah menghempap bumbung. 
"Ketika itu juga seorang jiran melaungkan azan dan semua jiran keluar mengalihkan kenderaan masing-masing ke kawasan lapang," katanya. 
Dalam kejadian di Kampung Permatang Duyong, Melaka, sebuah keluarga terpaksa membatalkan hasrat mengadakan kenduri doa selamat selepas bumbung rumah mereka diterbangkan puting beliung. 
Kamsiah Said, 55, berkata, kejadian kira-kira 2 pagi itu, dia dan suami, Majid Hashim, 60, bersama tiga anak serta dua cucu berusia 3 bulan dan 10 tahun berada di rumah. 
Menurutnya, sebelum kejadian mereka terdengar bunyi deruan angin kuat di belakang rumah. 
"Tidak lama kemudian angin terus menerbangkan bumbung rumah sehingga terhumban ke halaman sejauh 10 meter," katanya. 
Sementara di Alor Gajah, Melaka, bahagian dapur rumah pusaka milik seorang penduduk musnah dihempap pokok sentul di Lubok China. 
Dalam kejadian kira-kira 2 pagi itu, Rahimah Rehan, 42, terdengar bunyi rekahan kuat di luar rumahnya. 
Menurutnya, pokok yang terletak 20 meter dari dapur rumahnya bergoyang kuat sebelum rebah ke arah rumahnya. 
"Saya tergamam lihat pokok menghempap bahagian dapur rumah dan terus menjerit meminta mak, Awa Sidin dan ayah, Mohd Fisal Mohd keluar dari bilik. 
"Sejurus kejadian semua ahli keluarga keluar berkumpul di ruang tamu dan suami, Zamri Osman memutuskan bekalan elektrik kerana bimbang berlaku litar pintas," katanya. 
Di Taman Bemban Baru pula, hujan lebat diikuti angin kencang selama lima minit yang melanda Dun Bemban menyebabkan lebih 10 rumah dilanda ribut. 
Maruwan Endun, 49, berkata, dia tinggal di situ sejak 10 tahun lalu dan ini pertama kali kejadian seperti itu berlaku. 
"Ketika kejadian saya dan keluarga sedang tidur dikejutkan dengan dentuman kuat," katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.