Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 22 April 2013

Awas! Peragut Yang Membunuh Mangsanya

Ong Ai Sam, 52, mati ditikam di tempat ini oleh lelaki yang cuba meragut beg tangannya


PETALING JAYA - Seorang wanita maut selepas ditikam bertubi-tubi oleh dua lelaki yang cuba meragut beg tangannya ketika dia sedang berjoging di Seksyen 1, Bukit Gasing berdekatan kuil Selva di sini kelmarin. 
Dalam kejadian pada pukul 4.30 petang itu, mangsa, Ong Ai Sam, 52, mati di tempat kejadian akibat kehilangan banyak darah selepas terkena tikaman tersebut. 
Lebih memilukan, perbuatan kejam dua suspek itu telah disaksikan oleh suami dan anak perempuan mangsa yang berusia 17 tahun. 
Menurut sumber, ketika kejadian, tiga beranak itu dikatakan sedang berjoging di kawasan berkenaan sebelum didatangi oleh dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal. 
"Dua suspek terbabit yang memakai topi keledar bertutup penuh kemudian menghampiri mangsa dan cuba meragut beg milik wanita itu," katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Kemaskini 24.4.2013: 

SHAH ALAM - Kes pembunuhan seorang wanita yang mati ditikam ketika sedang berjoging bersama keluarganya di Bukit Gasing, Petaling Jaya Sabtu lalu menemui petunjuk baharu apabila polis menahan empat remaja bagi membantu siasatan semalam. 
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, lelaki berusia antara 16 hingga 18 tahun tersebut diberkas dalam tiga serbuan bermula pukul 1.50 pagi. 
Katanya, suspek pertama berusia 16 tahun diberkas di Flat Sri Medan, Petaling Jaya. Selepas disoal siasat, polis kemudian menahan rakannya berumur 18 tahun di flat yang sama kira-kira 50 minit kemudian. 
"Polis kemudian telah menyerbu sebuah rumah di Flat Bukit Gasing Indah, Petaling Jaya dan menahan dua remaja berusia 17 dan 18 tahun pada pukul 3.30 pagi. 
"Salah seorang remaja itu merupakan pelajar di sebuah institut kemahiran manakala tiga lagi tidak bersekolah," katanya yang memberitahu kes bunuh itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.