Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 15 April 2013

Semut Tahu Gempa Bumi Sehari Lebih Awal

Penyelidik mendapati semut kayu merah (gambar) dengan ketara mengubah tingkah laku mereka sebelum gempa bumi

Para penyelidik melakukan pemerhatian terhadap semut selama tiga tahun antara 2009 dan 2012

Semut kayu merah berkomunikasi dengan menyentuh antena dan membina busut di sepanjang kawasan gegaran aktif di Jerman

Bangunan rosak akibat gempa bumi di Mirandola, berhampiran Modena, pada Mei tahun lepas

BERLIN - Semut tahu bila gempa bumi akan berlaku dan mengubah kegiatan sebelum gegaran berlaku. 
Penyelidik berkata, semut hanya kembali melakukan rutin seperti biasa sehari selepas gempa berlaku. 
Gabriele Berberich dari Universiti Duisburg-Essen di Jerman membentangkan hasil kajian itu pada mesyuarat tahunan Geosains Eropah di Vienna, Khamis lalu. 
Berberich dan rakannya mendapati, semut merah hutan suka membina busut mereka di sepanjang kawasan gegaran aktif di Jerman. 
Ada kira-kira 15,000 sarang semut itu di sepanjang kawasan berkenaan yang retak apabila gempa berlaku. 
Dalam kajian itu, Berberich dan rakannya menggunakan kamera khas untuk mengesan aktiviti semut mulai 2009 hingga 2012. 
Mereka mendapati, peri laku semut berubah apabila kekuatan gempa melepasi magnitud 2. 
Sebanyak 10 gempa berlaku dalam tempoh itu membabitkan magnitud 2 hingga 3.2 selain gegaran lebih kecil. Manusia juga boleh mengesan gegaran melepasi magnitud 2. 
Berberich berkata, aktiviti biasa semut ialah mengumpul makanan ketika siang hari dan berehat pada waktu malam. 
Tetapi, sebelum gempa berlaku, semut tidak akan masuk ke sarang pada waktu malam sebaliknya berada di luarnya. 
Peri laku pelik itu berlarutan sehingga sehari selepas gempa berlaku, kata Berberich. 
Semut merah hutan ada sel ‘chemoreceptors’ yang dapat mengesan perubahan tahap karbon dioksida serta sel ‘magnetoreceptor’ yang dapat mengesan medan magnet, katanya. 
Berberich dan rakannya merancang untuk mengkaji peri laku semut itu di kawasan gempa bumi lebih besar. - AGENSI / Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.