Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 10 April 2013

Penjenayah Balas Dendam Pada Polis

Kenderaan milik dua anggota polis dibakar di bahagian belakang dan tayar, oleh dua penjenayah yang berdendam. Foto: Sinar Harian

KLANG – Angkara dendam, dua penjenayah cuba membunuh dua anggota polis dengan cara membakar rumah penguat kuasa berkenaan di Jalan Imam Abdul Aziz 6, Kapar di sini, semalam. 
Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 pagi itu, dua lelaki menaiki sebuah motosikal memasuki kawasan rumah mangsa dan terus mencurah minyak petrol. 
Mangsa, berpangkat Lans Koperal dari Balai Polis Kapar dan Sub Inspektor dari Bahagian Risikan dan Operasi Dadah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara ketika itu sedang tidur di dalam bilik. 
Menurut salah seorang mangsa, dia terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan yang kuat. 
“Saya lihat api sedang marak dan rumah penuh dengan asap,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. 
Kejadian itu menyebabkan pintu utama rumah musnah dan dua kenderaan jenis Proton BLM serta Toyota Unser milik mangsa dibakar. 
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Mohd Shukor Sulong berkata, penjenayah bertindak sedemikian dipercayai tidak berpuas hati ditahan berkaitan kes dadah, baru-baru ini. 
“Mangsa berpangkat Sub Inspektor, berusia lingkungan 50-an, merupakan seorang yang aktif membanteras kegiatan dadah di daerah ini. 
“Kita percaya ada suspek yang berdendam dan cuba mendatangkan maut terhadap mangsa,” katanya ketika ditemui di IPD Klang Utara, semalam. 
Mohd Shukor berkata, polis turut menemui sebuah botol minuman plastik terbakar dipercayai objek yang digunakan penjenayah untuk mengisi minyak petrol. 
Beliau berkata, polis sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik jiran mangsa untuk siasatan. 
“Kita sudah mengenal pasti beberapa lelaki yang pernah ditahan berkaitan kes dadah baru-baru ini. Siasatan sedang dijalankan untuk memastikan adakah mereka terlibat,” katanya. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan menggunakan api. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.