Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 3 April 2013

Parlimen Malaysia Dibubarkan Hari Ini

Wartawan dan jurugambar berada di depan pekarangan pintu masuk Istana Negara, di Jalan Duta, seawal jam 7 pagi tadi.

Kereta rasmi Perdana Menteri tiba di Istana Negara. Foto: Berita Harian

Kereta rasmi Perdana Menteri memasuki Istana  Negara pada jam 8.25 pagi. Foto: Berita Harian

Petugas media sedang bertugas membuat liputan.Foto: Berita Harian

Kereta rasmi Perdana Menteri keluar dari Istana Negara jam 9.10 pagi. Foto: Berita Harian

Kenderaan Perdana Menteri bergerak menuju ke Putrajaya. Foto: Berita Harian

Kereta rasmi Perdana Menteri tiba di Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya. Foto: Berita Harian

Kenderaan rasmi Perdana Menteri dilihat tiba pada jam 9.20 pagi. Foto: Berita Harian


KUALA LUMPUR: Wartawan dan jurugambar berkumpul di depan pekarangan pintu masuk Istana Negara, di Jalan Duta, seawal jam 7 pagi tadi membuat liputan kemungkinan pengumuman pembubaran Parlimen, hari ini. 
Tarikh pembubaran Parlimen yang dikatakan hari ini oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diperkukuhkan lagi dengan perkembangan terkini dan beberapa program yang dirancang oleh Barisan Nasional (BN) untuk beberapa hari akan datang. 
Selain mesyuarat Kabinet hari ini yang dikatakan akan menjadi mesyuarat terakhir untuk penggal ini, BN akan mengadakan mesyuarat khas mengenai persiapan menghadapi pilihan raya, esok: 
8.25 pagi: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tiba di Istana Negara bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. 
9.10 pagi: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bergerak keluar dari Istana Negara selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah. 
9.30 pagi: Datuk Seri Najib Razak tiba di Pejabat Perdana Menteri bagi mempengerusikan mesyuarat Kabinet. 
Perdana Menteri akan berucap secara langsung di televisyen pada jam 11.30 pagi ini, demikian menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diiringi timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pembubaran Parlimen

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebentar tadi mengumumkan pembubaran Parlimen berkuat kuasa hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). 
Beliau mengumumkan pembubaran itu menerusi siaran langsung khas semua stesen televisyen di seluruh negara. 
Sebelum itu, Najib menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah jam 8.25 pagi dan meninggalkan istana kira-kira 45 minit kemudian. 
Perdana Menteri kemudian mempengerusikan mesyuarat Kabinet terakhir di Jabatan Perdana Menteri, di Putrajaya, jam 9.30 pagi. 
Hadir sama ketika pengumuman itu adalah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kabinet. 
Dalam pengumumannya, Najib berkata, beliau sudah menghadap awal pagi tadi dan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen ke-12. 
Perdana Menteri juga mengumumkan semua kerajaan negeri dinasihatkan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing; kecuali Sarawak berkuat kuasa pada tarikh sama, bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan serentak. 
Sementara itu, empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Kelantan dan Selangor sepakat membubarkan DUN masing-masing serentak dengan Parlimen. 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) difahamkan akan mengeluarkan kenyataan media hari ini dan dijangka bermesyuarat beberapa hari lagi bagi menetapkan tarikh hari penamaan calon dan hari pengundian. 
Setakat ini, hanya DUN Negeri Sembilan terbubar secara automatik pada 28 Mac 2013 apabila tempoh mandat lima tahunnya berakhir tengah malam sebelumnya, sekali gus mencatat sejarah pembubaran DUN pertama secara automatik di Negara ini. 
Pembubaran itu berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri di bawah Fasal 5(3) yang menyatakan Dewan Negeri berjalan selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama dan kemudiannya dibubarkan kecuali dibubarkan terlebih dahulu. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.