|
Kucupan terakhir daripada seorang suami. Foto: Sinar Harian |
|
Abil Fikri mendoakan Allahyarham isterinya. Foto: Sinar Harian |
|
Aruah Gee (kiri) ketika masih sihat bersama Abil, suaminya. Foto: Sinar Harian |
|
Walaupun Gee uzur, Abil tetap setia berada di sisi isterinya. Foto: Sinar Harian |
"Pergilah Gee. Pergilah! Walau selepas ini abang tidak lagi dapat mendengar suara rengekmu, tidak lagi dapat menyapu air matamu, namun abang reda.
"Pergilah! Abang yakin, di sana DIA menyediakan tempat lebih baik untukmu. Di sana, akan hilang segala sakit menyerang. Akan lenyap segala derita yang sayang tanggung selama ini."
Dalam kesayuan, Abil Fikri Ahmad, 44, masih murah dengan senyuman. Namun, tangis di hatinya, hanya dia saja yang tahu.
Pemergian isteri tercinta, Fauziah Muhamad, 39, kira-kira jam 9.50 pagi semalam, pasti menjerut tangkai hatinya.
Fauziah atau lebih mesra dipanggil Gee, menderita penyakit saraf sejak hampir dua tahun lalu. Bermula dengan serangan lelah, Gee kemudian menderita lumpuh.
"Gee tidak menunjukkan sebarang perubahan. Cuma sejak kebelakangan ini, keadaannya tenang berbanding biasa. Tidur malamnya sangat lena.
"Malam tadi pun (kelmarin), saya meneman Gee hingga jam 2 pagi. Seperti biasa, saya duduk di sisinya. Melihat matanya, bibirnya segenap wajahnya. Saya tidak pernah rasa puas merenung Gee. Dan selepas ini, tidak lagi wajah itu untuk saya tatap..."
Suara Abil seolah tersekat. Dadanya sebak.
“Pagi tadi (semalam) selepas solat Subuh, saya curi masa untuk tidur sebelum bangun semula bagi dia minum susu. Ketika sedang bancuh susu di tepi katil, Gee tiba-tiba menarik nafas dengan kuat. Dua kali...
"Dia pergi dengan tenang. Wajahnya juga sangat tenang dan bersih. Gee memang isteri yang baik," nada suara Abil semakin hiba. Memanglah berat mata kita melihat kesedihan ditanggung Abil. Namun, berat lagi hatinya menanggung kesedihan atas kehilangan isteri tercinta.
"ALLAH pinjamkan Gee kepada saya hanya sementara ketika dia sihat dan sakit. Sekarang ALLAH ambil dia kembali. Walau sekasih mana pun saya pada Gee, ALLAH lebih menyayangi dia. Saya reda!"
Menurut Abil, sejak hujung Januari lalu kesihatan isterinya tidak lagi menentu. Berat badannya semakin menyusut. Mulutnya pula tidak lagi dapat ditutup.
Malah katanya, arwah tidak lagi menunjukkan sebarang tindak balas ketika diusik berbanding biasa.
"Saya melihat perubahannya. Semakin hari semakin lemah.
“Sebelum ini jika saya usik tapak kaki Gee, dia akan bertindak balas. Tapi sejak akhir-akhir ini tiada lagi.
“Dia pun tidak lagi marah-marah atau merengek. Apa yang saya nampak keadaannya sangat tenang dan dia akan buka mata setiap kali saya berada di dalam bilik,” katanya.
Selain itu katanya, sebelum ini, menerusi laman blognya, dia juga turut meminta rakan-rakan dan pembaca agar sama-sama mendoakan keadaan kesihatan isterinya yang semakin tidak menentu.
Namun ajal dan maut di tangan TUHAN. Isteri tersayang yang dijaga penuh perhatian akhirnya pergi buat selama-lamanya.
“Ketika dia sihat saya pernah tanya adakah dia berpuas hati saya menjadi suaminya dan dia cakap dia bersyukur.
“Tapi sekarang saya hanya dapat tanya diri sendiri, adakah saya telah menjaga isteri saya dengan baik ketika dia sakit dan menjalankan tanggungjawab dan ujian daripada ALLAH ini dengan sempurna,” katanya.
Ketika ditanya tentang perancangannya selepas ini, kata Abil, dia tiada perancangan khusus namun berhasrat menjadi pakar motivasi bagi berkongsi pengalaman tentang alam rumah tangga.
Sementara itu, rumah Abil tidak putus-putus dikunjungi orang ramai termasuk Raja Datin Seri Salbiah Nujumuddin dan pemimpin setempat.
Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjid Jamek Rasah dan selamat dikebumikan di Makam Haji Said, Sikamat kira-kira jam 4 petang.
Abil mendirikan rumah tangga dengan Fauziah pada 13 Mac 2009, namun selepas dua tahun merasai nikmat alam rumah tangga, isterinya mendapat serangan asma pada 22 Jun 2011 dan sejak itu dia disahkan lumpuh selain saraf otaknya tidak lagi berfungsi.
Abil yang bekerja sebagai perunding kewangan kemudian mengambil keputusan berhenti kerja kerana nekad mahu menjaga isterinya sepenuh masa sebaik mungkin.
Penderitaan dan ketabahan Abil menjaga isterinya mendapat perhatian umum yang bersimpati selain kagum dengan sikapnya.
"Moga di sana nanti Gee lebih damai. Moga di sana nanti Gee lebih bahagia. Moga di sana ALLAH menempatkannya bersama para syuhada. Dan moga ALLAH mempertemukan Gee dan Abil di syurga abadi."
Budi Yang Baik Dikenang Juga
|
Wini Roswita Abdullah. Foto: Sinar Harian |
SEREMBAN - “Dua minggu lalu saya sering bermimpi melihat kakak berpakaian cantik sambil tersenyum memandang kami sekeluarga,” demikian kata Wini Roswita Abdullah, 40, adik ipar pesakit saraf, Fauziah Muhamad, 39, yang menghembuskan nafas terakhirnya, pagi semalam.
Menurutnya, setiap kali dia bermimpi tentang Allahyarham, dia akan memaklumkan perkara itu kepada abangnya, Abil Fikri Ahmad.
“Saya pun tidak tahu kenapa. Tapi saya kerap bermimpi tentang arwah dan ketika itu saya tidak rasa apa-apa. Kali terakhir saya berjumpa dengannya dua hari lalu. Keadaannya tidak lagi bermaya dan berbeza berbanding sebelum ini,” katanya.
Wini berkata, Allahyarham seorang kakak yang baik dan rajin memasak setiap kali adanya perjumpaan keluarga.
Bagaimanapun katanya, air tangan masakan Allahyarham tidak dapat lagi dirasai selepas dia terlantar sakit.
“Sebenarnya seminggu sebelum dia dimasukkan ke hospital, kami sekeluarga ada merancang pergi ke Cameron Highlands.
“Biasanya arwah dengan rela hati ambil peranan memasak. Tapi ketika itu dia kata mahu berehat dan rupa-rupanya itu petanda dia akan berehat selama-lamanya,” katanya.
Selain itu Wini berkata, dia bersyukur kerana semasa arwah sakit, dia dijaga dengan rapi oleh abangnya.
“Sejak kecil memang nampak abang saya seorang bertanggungjawab. Saya pada awalnya tidak sangka dia tabah dan setia menjaga isterinya.
“Saya sendiri kagum dengan kesungguhan abang. Dia tidak pernah berputus asa dan menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami dengan baik,” katanya.
Namun katanya, ALLAH lebih berkuasa dan arwah kini pergi buat selamanya. Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.