Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Jumaat, 5 April 2013

Perompak Bertopeng Seret Mesin ATM Ke Dalam MPV

Mesin ATM di ruang tengah telah dilarikan penjenayah dalam kejadian, semalam. Foto: myMetro


SUBANG JAYA - Kurang lima minit. Itu masa diambil tiga lelaki bertopeng untuk menarik keluar mesin juruwang automatik (ATM) sebuah bank di Putra Heights, di sini, dari tempatnya sebelum mengangkat mesin berkenaan ke dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan dalam kejadian membabitkan kerugian RM229,380 awal pagi semalam. 
Difahamkan, dalam kejadian jam 3.44 pagi itu, ketiga-tiga lelaki terbabit mengambil kesempatan keadaan sunyi dan gelap di kawasan itu untuk melakukan rompakan berkenaan. 
Seorang pengawal keselamatan yang ditemui dan dikenali sebagai Mokhtar, 59, berkata, ketika kejadian, seorang rakannya berusia 25 tahun bertugas seorang diri dalam premis itu dan tidak menyedari kehadiran semua lelaki terbabit sehingga dia terdengar bunyi seretan sebaik kumpulan itu menarik mesin berkenaan keluar dari tempatnya. 
“Rakan saya itu menghubungi polis. 
“Sebelum mengangkat mesin itu, mereka menyembur kamera litar tertutup (CCTV) dengan cat hijau. 
“Dalam tempoh kurang lima minit, mereka menarik keluar mesin ATM itu menggunakan tali seterusnya mengangkat masuk dalam kereta,” katanya ketika ditemui. 
Menurutnya, berdasarkan rekod, bank berkenaan pernah cuba dirompak 10 bulan lalu. 
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, suspek dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu kerana berdasarkan semakan ke atas nombor pendaftaran kenderaan dinaiki mereka ia didaftarkan ke atas Toyota Hiace putih. 
“Suspek dipercayai menarik keluar mesin ATM itu menggunakan tali sebelum mengangkatnya ke dalam MPV. “Kami juga mendapati nombor plat kenderaan yang dinaiki suspek adalah palsu,” katanya. Beliau berkata, jumlah kerugian adalah RM229,380. “Kami masih menjalankan siasatan dan usaha memburu suspek dijalankan,” katanya ketika dihubungi, semalam. - myMetro

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.