|
Isteri Ibrahim yang menderita sakit buah pinggang ini terpaksa menunggu empat jam untuk rawatan. Foto: Sinar Harian |
ALOR GAJAH - Seorang suami kesal apabila terpaksa menunggu lebih empat jam untuk mendapatkan rawatan isterinya yang menderita sakit buah pinggang di sebuah hospital, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian itu, Ibrahim Mohamad, 47, membawa isteri, Bismi Hasan, 43, ke hospital terbabit selepas menerima temu janji yang diatur pihak hospital hujung bulan lalu.
Menurutnya, pada 29 Mac lalu isterinya dibenarkan pulang selepas keadaan semakin teruk.
"Selepas menerima temu janji, saya membawa isteri yang dalam keadaan lemah ke hospital terbabit kira-kira 9 pagi semalam.
"Selepas menerima nombor giliran saya terpaksa meminta isteri duduk menunggu di surau berikutan keadaannya yang lemah dan tidak boleh duduk dengan lama atas kerusi," katanya.
Ibrahim berkata, walau bagaimanapun dia hanya dipanggil kira-kira jam 1 petang iaitu lima jam selepas waktu temu janji yang diberikan pihak hospital.
"Saya tidak puas hati dengan sikap kakitangan hospital berkenaan yang langsung tidak mempedulikan perasaan pesakit yang menunggu lama sedangkan saya ada urusan lain hingga terpaksa dibatalkan.
"Selain perlu menunggu lama, isteri juga diarahkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut. Lebih menyedihkan, saya tiada kereta dan hanya menunggang motosikal untuk ke mana-mana," katanya yang tinggal di Taman Lendu Bakti, dekat sini.
Malah katanya, keadaan isterinya semakin kritikal apabila cirit-birit dan muntah akibat penyakit dialami.
"Doktor juga mengesahkan isteri menghidap sakit saraf selain kondisi buah pinggang yang rosak," katanya.
Katanya, dia hanya bekerja sebagai pengawal di sebuah Felcra dengan pendapatan tidak seberapa untuk menjaga isteri dan lima anak berusia antara 12 hingga 20 tahun.
"Isteri ada menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan namun ia tidak mencukupi bagi kami berikutan isteri memerlukan lampin pakai buang dan makanan khas.
"Saya malu untuk meminta ihsan daripada saudara atau jiran, namun jika terdesak saya terpaksa melakukannya. Lebih membimbangkan lagi isteri akan terjaga sekitar 3 pagi dan mengalami kesejukan melampau hingga tidak dapat melelapkan mata selain makan menggunakan straw," katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.