Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 9 Januari 2013

Berita Tahanan Lepas Di Butterworth

Sekatan jalan oleh pihak polis di Lunas semalam bagi memburu OKT yang terlepas. Foto: Kosmo!

Operasi polis bagi mencari tujuh OKT di Kampung Tun Sardon. Foto: Bernama


BUTTERWORTH – Anggota polis sedang menjalankan operasi mencari tujuh banduan di Kampung Tun Sardon, Butterworth, semalam. Polis Pulau Pinang mengerahkan 120 anggotanya bagi memburu tujuh tahanan yang meloloskan diri selepas merampas van polis di Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth, kelmarin. 
Dalam kejadian pukul 9.30 pagi kelmarin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan ke Kompleks Mahkamah Butterworth menaiki sebuah van untuk dituduh dan direman melarikan diri selepas membelasah empat anggota polis yang mengiringi mereka.
Kejadian itu berlaku dua kilometer dari Kompleks Mahkamah Butterworth. 
Setakat semalam, belum ada OKT yang melarikan diri berjaya ditahan. Tujuh OKT yang ditahan itu ada antara mereka membabitkan kes bunuh, rompakan berkumpulan dan mendatangkan cedera. 
Terdahulu, Abdul Rahim berkata, gerakan memburu penjenayah itu membabitkan 220 anggota polis termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Udara Polis Diraja Malaysia. 
Operasi memburu penjenayah itu meliputi kawasan seluas kira-kira 30 kilometer persegi dari lokasi kejadian dengan melibatkan kawasan sekitar Sungai Dua, Kepala Batas, Bukit Mertajam dan Lunas. 
Kata beliau, tumpuan kawasan pemburuan meliputi kawasan ladang-ladang kelapa sawit serta kampung-kampung. 
“Polis yakin OKT yang lari itu masih berada di sekitar Tasek Gelugor dan kita membuat sekatan jalan di seluruh kawasan itu sejak semalam (kelmarin) bagi memeriksa setiap kenderaan,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Li Tek A di sini. 
Abdul Rahim berkata, polis juga masih menyiasat bagaimana OKT terbabit mendapat serbuk kari yang dilemparkan ke muka anggota polis pengiring. 
Sementara itu, tinjauan Kosmo! di beberapa kawasan perumahan tidak jauh dari lokasi penjenayah melarikan diri rata-rata menyuarakan rasa bimbang dengan kejadian tersebut. 
Seorang penduduk, Mohd. Hamid Idris, 45, dari Padang Menora di sini berkata, sejak kejadian itu, dia tidak berani keluar jauh dari rumahnya kerana bimbang terserempak dengan penjenayah yang melarikan diri itu. 
“Saya juga takut jika penjenayah itu memecah masuk rumah saya untuk mencari perlindungan,” kata Hamid. 
Pekerja ladang, M. Mohan pula berkata, sejak kejadian itu dia dan keluarganya lebih berhati-hati dan berharap polis segera dapat memberkas penjenayah itu. - Bernama/ Kosmo!

Berita 10.1.2013:

Polis Yakin Dapat Tangkap Semula OKT 


Polis masih mencari tujuh OKT yang terlepas pada hari Selasa lalu.

TASEK GELUGOR - Polis yakin akan dapat menahan sekurang-kurangnya empat daripada tujuh orang kena tahan (OKT) yang berjaya meloloskan diri ketika mereka dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Kompleks Mahkamah Butterworth Isnin lalu. 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya sudah memperoleh petunjuk baharu mengenai kedudukan empat OKT tersebut. Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan petunjuk tersebut. 
"Kita yakin kesemua OKT itu masih bersembunyi di sekitar kawasan ini berikutan kawalan ketat polis termasuk di sempadan Pulau Pinang-Kedah sejak Isnin lalu. 
"Pasukan khas yang diketuai timbalan saya, Datuk Abdul Rahim Jaafar yakin dapat memberkas mereka dalam tempoh terdekat," katanya ketika dihubungi. - Kosmo!

'Boy' Pulang Minum


Almari baju yang digelidah oleh 'Boy'

TASEK GELUGOR - Seorang daripada suspek yang meloloskan diri daripada kawalan polis, Mohd Noor Mustafa, 28, atau dikenali sebagai ‘Boy’ bersama rakannya, dipercayai memecah masuk rumah yang pernah didiaminya di Kampung Tun Sardon, dekat sini, dan mengambil beberapa helai pakaian beberapa jam selepas meninggalkan van polis di Padang Chempedak, Isnin lalu. 

Selain pakaian, suspek sempat minum berdasarkan dua gelas yang ditemui dalam rumah berkenaan yang terletak berhampiran ladang sawit. 

Rumah berkenaan dipecah masuk berdasarkan kunci pintu dan jeriji dikopak, namun hanya disedari pemilik rumah berkenaan ketika membuat pemeriksaan jam 11 pagi semalam. 

Pemilik rumah itu yang enggan dikenali berkata, dia terlintas untuk memeriksa rumah berkenaan selepas beberapa hari tidak berbuat demikian dan terkejut apabila mendapati besi jeriji dan kunci pintu terkopak. 

“Almari pakaian berselerak selain dua gelas mengandungi separuh air masak manakala pintu di tingkat atas terbuka. - myMetro

Polis Akui Anggota Cuai

Orang ramai membantu seorang anggota polis pengiring yang cedera dibelasah OKT. Foto: Sinar Harian

GEORGETOWN: Satu pasukan khas yang terdiri daripada 250 pegawai kanan dan anggota ditubuhkan kelmarin bagi memburu tujuh tahanan reman berkenaan yang dianggap sangat berbahaya. 
Pasukan khas terbabit diketuai Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar yang terdiri daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Udara Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. 
Menurut Abdul Rahim, beliau mengakui kejadian itu berpunca daripada kecuaian anggota polis dan mereka bakal dikenakan tindakan tatatertib. 
“Memang kita akui kejadian ini berpunca daripada kecuaian anggota polis dan mereka akan dikenakan tindakan tahan kerja, namun siasatan lanjut masih diteruskan. 
“Dalam kes ini, kita dapati anggota bertugas tidak mengikut peraturan dan ada kecuaian berlaku hingga menyebabkan tahanan reman terbabit meloloskan diri,” katanya. 
Menurut beliau, keempat-empat anggota polis itu ditahan kerja untuk siasatan. - myMetro

Seorang OKT Di Kesan Di Ladang Sawit


Anggota yang terlibat dengan operasi menangkap semula OKT sedang mendengar taklimat. Foto: myMetro

TASEK GELUGOR: Salah seorang daripada tujuh tahanan yang berjaya meloloskan diri ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Sesyen Butterworth dari Penjara Pulau Pinang Isnin lalu dilihat membeli roti di stesen minyak Shell di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Penanti arah Kulim, awal pagi tadi. 
Kawasan RnR itu terletak di Lebuhraya Butterworth-Kulim. 
Difahamkan, suspek datang melalui ladang kelapa sawit Kampung Tun Sardon, Penanti yang terletak bersebelahan dengan stesen minyak berkenaan.

Lelaki yang dikenalpasti sebagai Shahrimy Mohd Noor, 28, dilihat tergesa-gesa membeli dua buku roti dan air, kira-kira jam 2 pagi sebelum melarikan diri semula ke dalam ladang kelapa sawit. 
Berikutan itu, polis melancarkan gerakan mengesan suspek di sekitar ladang kelapa sawit melalui jalan darat dan udara. - Berita Harian 12.12 pm

Polis Dan OKT Berbalas Tembak


Polis terus memburu tujuh OKT yang terlepas


PENANTI: Beberapa lelaki dipercayai suspek yang melarikan diri ketika dalam perjalanan ke Mahkamah Sesyen Butterworth dari Penjara Pulau Pinang ditembak polis dalam satu kejadian tembak-menembak di Kampung Pelet,di sini,sebentar tadi. 
Perkara itu disahkan Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar. 
Beliau berkata, jumlah suspek belum diketahui tetapi memberitahu ada suspek yang mati dan ada yang cedera. 
Beliau ketika ini dalam perjalanan ke tempat kejadian. - Berita Harian 1.41pm

Polis Tembak Mati 2 daripada 7 OKT


Kereta Proton Perdana yang dipandu OKT terbabas ke sungai. Foto: myMetro


BUKIT MERTAJAM -- Polis menembak mati dua daripada tujuh penjenayah yang diburu setelah meloloskan diri daripada tahanan ketika dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth Isnin lepas. 
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar yang mengetuai pasukan khas memburu tahanan terbabit berkata, kedua-dua penjenayah itu ditemui menaiki sebuah kereta jenis Proton Perdana di Kampung Pelet di sini dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis. 
"Polis kemudian melepaskan tembakan pada tayar kereta itu yang menyebabkan pemandunya hilang kawalan sebelum kereta itu terhumban ke dalam sungai dan kemudian berlaku tembak menembak," katanya. 
Polis masih belum dapat mengesahkan identiti penjenayah yang ditembak mati itu. 
Katanya, bertindak atas maklumat awam, polis juga menyerbu kawasan hutan di Kampung Pelet di situ dan ternampak kelibat beberapa lagi penjenayah terbabit tetapi mereka sempat melarikan diri. - BERNAMA

Polis Sahkan Identiti OKT Yang Ditembak


Penduduk setempat menyaksikan polis mengeluarkan mayat OKT dari kereta yang terbabas ke tali air. Foto: myMetro


BUKIT MERTAJAM: Polis Pulau Pinang mengesahkan dua suspek yang ditembak mati di Padang Ibu, tengahari ini adalah Joe Mafia atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mohd Mustaffa,28, atau "Boy".

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya mendapat maklumat pada jam 12.30 tengahari mengatakan kenderaan dinaiki suspek dilihat di kawasan Kubang Semang, kira-kira jam 12.45 tengahari. - Berita Harian 3.18pm

Pesanan Seorang Kakak


Norazah Abdul Rahman. Foto: Sinar Harian


TASEK GELUGOR - “Adik, dengar cakap kakak, keluarlah dari tempat persembunyian. Serah diri kepada polis,” rayuan Norazah Abdul Rahman, 40, kakak kepada Hisham, salah seorang tahanan yang melarikan diri dan kini dijejaki polis sejak tiga hari lalu. 
Norazah yang tinggal di Kampung Pokok Tampang di sini berkata, sebagai kakak dia memahami perangai dan sikap adik keempat daripada tujuh beradik itu kerana selain mempunyai hubungan yang rapat, mereka juga tinggal berdekatan di kampung itu. 
“Saya percaya dia terpengaruh dengan enam rakannya untuk melarikan diri kerana dia sebenarnya bukan seorang yang berani tetapi mudah terikut. 
“Saya merayu agar dia muncul dan menyerah diri kepada polis kerana sebagai anggota keluarga yang rapat kami akan sentiasa memberi sokongan kepadanya terutama di saat getir sebegini,” katanya. 
Norazah yang bekerja sebagai pembantu kantin sebuah sekolah di sini berkata, adiknya itu mula menjadi liar selepas kematian ibu bapa mereka dua tahun lalu. 
“Dia tinggal bersama arwah di rumah pusaka bersebelahan rumah saya dan sejak kematian mereka, dia dilihat sering berkeadaan murung dan tidak ceria. 
“Dia juga dikesan mula mengambil dadah selepas bercerai dengan isterinya, malah mula meninggalkan kerja sebagai pengawal keselamatan sebelum terlibat dalam beberapa jenayah kecil sekitar kampung sehingga ditangkap akhir tahun lalu," katanya. 
Hisham, duda beranak dua adalah salah seorang tahanan yang dicari selepas meloloskan diri bersama lapan rakannya sewaktu dibawa untuk prosiding di Mahkamah Butterworth Isnin lalu. 
Norazah berkata, difahamkan adiknya dibawa ke mahkamah pada hari kejadian untuk dijatuhi hukuman selepas didapati bersalah merompak hujung tahun lalu. 
“Dua hari sebelum kejadian itu, suami kakak melawatnya di Penjara Pulau Pinang dan selepas dinasihati dia berjanji untuk bertaubat dan menjadi manusia baik. 
“Kami gembira mendengar berita itu tetapi sayang tak menjadi kenyataan apabila dimaklumkan yang dia kini menjadi buruan polis,” katanya. 
Norazah berkata, sejak kejadian itu adiknya tidak lagi menghubunginya atau pulang ke rumah menyebabkan mereka sekeluarga bimbang mengenai nasibnya. 
“Keluarlah dari tempat persembunyian dan serah diri kerana lambat laun polis akan berjaya tangkap juga. Tambahan lagi hidup sebagai pelarian tidak ada kesudahannya. 
“Kotakan janji adik untuk menjadi manusia baik dengan langkah pertama menyerah diri kepada polis terlebih dahulu,” kata Norazah dalam keadaan sedih. - Sinar Harian

Berita 11.1.2013


Dua OKT Ditembak Polis Semalam


Kereta Proton Perdana yang dinaiki OKT ditarik dari tali air di Kubang Semang, Bukit Mertajam semalam.


BUKIT MERTAJAM - Dua penjenayah berbahaya dikenali sebagai Joe Mafia dan Boy yang meloloskan diri ketika dalam perjalanan ke mahkamah bersama tujuh tahanan lain pada Isnin lalu mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Kampung Padang Temusu, Guar Perahu di sini semalam. 
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, dalam kejadian pada pukul 12.30 tengah hari itu, dua Orang Kena Tahan (OKT) yang terbunuh ialah Mohd. Fairuz Adam, 31, atau Joe Mafia dan Mohd. Noor Mustafa, 28, atau Boy. 
Joe Mafia merupakan perancang kepada kejadian sembilan tahanan melarikan diri itu. Dia merupakan rakan penjenayah Boy. 
Menurut beliau, sebelum kejadian, pasukan khas polis menerima maklumat berhubung kedudukan Joe Mafia dan Boy yang dilaporkan berada di sekitar Kampung Kubang Semang. 
Sebaik dapat mengesan sebuah kereta Proton Perdana dinaiki kedua-dua penjenayah itu di Kampung Kubang Semang, polis terus mengekorinya sebelum kereta itu cuba menghimpit kenderaan polis. 
Selepas itu, Proton Perdana tersebut memecut laju menghala ke Kampung Padang Temusu di Guar Perahu yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Kubang Semang. 
"Ketika kereta dinaiki suspek melalui jalan tar kecil di kampung berkenaan, kenderaan tersebut terbabas lalu terjunam ke dalam tali air. 
"Kedua-dua penjenayah itu keluar dari kereta dan cuba melarikan diri dengan menyeberangi tali air," kata beliau pada sidang akhbar di lokasi kejadian. - Kosmo!

Penduduk Terkejut Adegan Tembak Menembak


Encik Yusuf. Foto: Sinar Harian

BUKIT MERTAJAM - Kejadian berbalas tembak antara dua suspek yang diburu selepas meloloskan diri daripada tahanan Isnin lalu dengan sekumpulan anggota polis tengahari semalam mengejutkan penduduk Kampung Padang Ibu, Guar Perahu, di sini. 
Rata-rata yang ditemui berkata, mereka melihat insiden pada jam 12.30 tengahari itu seolah-olah menonton aksi drama di depan mata. 
Seorang saksi,Sharifah Aminah Syed Hassan, 70, berkata, ketika kejadian dia sedang berehat di pangkin luar rumahnya. 
“Tiba-tiba saya melihat dua buah kereta dipandu laju melalui jalan ban yang terletak lebih kurang 100 meter dari rumah. 
“Sejurus kemudian kereta di hadapan terbabas sebelum terjatuh tepi taliair manakala kereta kedua dibelakang berhenti lebih kurang pada jarak 3 meter di belakang kereta yang terbabas itu,” katanya. 
Sebaik kedua-dua kereta itu berhenti dia melihat sekumpulan lelaki keluar dari kereta kedua dan terdengar arahan menyuruh orang di dalam kereta terbabas menyerah diri. 
“Makcik terdengar tembakan dilepaskan sebelum melihat lelaki dari kereta kedua menghampiri kereta yang terbabas itu dengan masing-masing memegang pistol. 
“Gementar seluruh tubuh sebelum kemudiannya didatangi oleh sekumpulan anggota polis beruniform yang menyuruh makcik masuk ke dalam rumah dan mengunci pintu,” katanya. 
Seorang saksi,Jamaluddin Ahmad, 58,berkata,ketika kejadian dia berada dikebun tebunya yang terletak lebih kurang 50 meter dari lokasi kejadian. 
“Saya menebas rumput apabila terkejut mendengar deruman kereta melalui jalan ban tepi taliair menyebabkan terpanggil untuk melihat apa yang berlaku. 
“Tiba-tiba saya terdengar beberapa das bunyi tembakan sebelum meniarap kerana bimbang terkena peluru sesat,” katanya. 
Menurut pesara Jabatan Haiwan Pulau Pinang ini, lima minit kemudian dia bangun dan sempat melihat kawasan itu dipenuhi anggota polis sebelum dimaklumkan dua suspek terbabit mati ditembak dalam kejadian itu. 
Sementara itu Yusuf Salleh, 59, berkata beliau turut mendengar bunyi tembakan bertalu-talu dan menyangka ia bunyi mercun dari sebuah kebun sayur milik seorang tauke cina berhampiran tempat kejadian. 
Katanya ketika kejadian dia sedang menyiram pokok di belakang rumahnya yang terletak tidak jauh daripada tempat kejadian berkenaan. 
“Bila dengar polis arahkan supaya masuk ke dalam rumah baru pak cik sedar rupanya tembakan itu adalah antara polis dan penjenayah yang diburu. 
“Selepas itu puluhan pegawai dan anggota polis memenuhi kawasan berkenaan” katanya. - Sinar Harian

Polis Kenal Pasti Lokasi OKT Yang Masih Bebas


Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi. Foto: beritapdrm.blogspot.com

TASEK GELUGOR: Polis percaya dapat menahan dua daripada lima tahanan yang masih bebas berdasarkan petunjuk baru. 
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi suspek susulan maklumat mereka dilihat meminta bantuan makanan, rokok dan duit orang kampung sekitar Tasek Gelugor kira-kira jam 6.40 pagi ini. 
BH hari ini melaporkan dua daripada tujuh tahanan reman yang meloloskan diri Isnin lalu mati dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis, semalam.

Mohd Fairuz Adam, 31 atau Joe Mafia dan Mohd Noor Mohd Mustaffa, 28 atau Boy mati ditembak dalam kejadian kira-kira jam 1 petang selepas enggan menyerah diri walaupun kereta dinaiki mereka yang dikejar polis terbabas ke dalam tali air di Kampung Padang Ibu, Bukit Mertajam. - Berita Harian 12.55pm


Polis Yakin Tangkap Dua OKT Yang Lepas



Van polis yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak. Foto: Bernama


TASEK GELUGOR — Polis yakin dapat menahan dua daripada lima tahanan yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth Isnin lepas, dalam masa terdekat. 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berdasarkan risikan polis percaya dua lelaki terbabit masih berada di sekitar Ara Kuda di sini. 
"Kami mendapat maklumat mengenai pergerakan mereka dan kami juga mendapat maklumat lima tahanan yang masih bebas itu telah berpecah kepada dua kumpulan," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring. 
Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini semalam.— BERNAMA / Kosmo! 2.48pm

Joe Mafia Tersungkur


Polis membawa jenazah Mohd Fairuz ke Hospital Seberang Jaya. Foto: myMetro

Isteri Mohd Noor (kiri) menunggu bedah siasat jenazah suaminya di Rumah Mayat Hospital Seberang Jaya. Foto: myMetro

Anggota polis, RELA dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia mengadakan sekatan jalan raya di Tol Butterworth-Kulim (BKE). Foto: myMetro


Bukit Mertajam: Selepas empat hari diburu, perancang kejadian tujuh penjenayah yang meloloskan diri daripada kawalan polis pada Isnin lalu, Mohd Fairuz Adam, 31, atau Joe Mafia dan rakannya, Mohd Noor Mohd Mustafa, 28, atau Boy, maut ditembak polis di Padang Ibu, dekat sini, selepas diekori lebih tiga kilometer, semalam. 
Walaupun berjaya melepasi sempadan Daerah Seberang Prai Utara (SPU) yang menjadi tumpuan operasi dan memasuki Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), sekatan polis menyebabkan suspek tidak dapat keluar dari Pulau Pinang. 
Kira-kira jam 12.30 tengah hari, kelibat suspek dan rakannya dikesan menaiki Proton Perdana dipercayai dicuri dekat Kubang Semang sebelum diekori sebuah kereta dinaiki anggota polis dari pasukan khas yang ditubuhkan bagi memburu suspek dan rakannya. 
Menyedari diekori polis, suspek menghimpit kenderaan pasukan keselamatan berkenaan sebelum memecut ke arah Padang Ibu. 
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata polis mengejar kereta suspek hingga Padang Ibu sebelum kereta suspek terbabas ketika memasuki laluan bersebelahan tali air. - myMetro

Berita 12.1.2013

Lokasi OKT Diketahui

Salah seorang OKT yang ditembak mati oleh polis. Foto: Kelab Greenboc


BUKIT MERTAJAM – Polis mendapat petunjuk baharu bagi mengesan lima lagi orang kena tahan (OKT) yang masih bersembunyi selepas melarikan diri ketika dibawa dari Penjara Pulau Pinang menuju ke Kompleks Mahkamah Butterworth di sini Isnin lalu. 
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, ini kerana terdapat maklumat ada pihak yang melihat kelibat beberapa lelaki cuba keluar dari kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit di Ara Kuda di Tasek Gelugor pada pukul 6.40 pagi semalam untuk minta duit dan rokok daripada orang di sekitar kawasan itu. 
Menurut beliau, ketika itu beberapa lelaki dipercayai OKT yang melarikan diri terbabit sudah menukar pakaian masing-masing termasuk ada yang memakai baju kemeja lengan panjang. 
“Berdasarkan maklumat itu, kita yakin semua OKT masih berada di Tasek Gelugor kerana ada orang nampak kelibat mereka yang cuba keluar dari kawasan hutan dan minta duit serta rokok daripada orang awam,” kata beliau ketika ditemui di Balai Polis Tasek Gelugor semalam. - Kosmo!


Polis Ubah Lokasi Buru Tahanan


Helikopter turut digunakan dalam operasi polis memburu OKT. Foto: Kelab Greenboc


TASEK GELUGOR: Polis Pulau Pinang hari ini mengubah kawasan operasi mengesan lima tahanan yang masih bebas ke kawasan Permatang Pauh, dekat sini kerana dipercayai bersembunyi di situ. 
Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata selepas menerima maklumat tahanan terbabit berada di kawasan Permatang Pauh, pihaknya menghantar lebih ramai anggota polis ke kawasan itu bagi menjalankan rondaan dan Operasi Kesan Gelugor di situ. 
"Malam tadi kita dapat beberapa maklumat berhubung tahanan terbabit di Permatang Pauh dan berikutan itu sepasukan anggota polis menyerbu sebuah rumah di Kubang Ulu pada 6.15 pagi ini. 
"Bagaimanapun kita gagal kerana ketika diserbu hanya terdapat pekerja asing di rumah berkenaan dan saya percaya mereka (tahanan) telah melarikan diri. Maklumat yang polis terima tahanan terbabit bersembunyi di sekitar kawasan rumah sewa itu," katanya pada pemberita di sini, hari ini. 
Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring. 
Dua daripada tahanan berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis. - Bernama


Pengantara Geng Joe Mafia ditahan polis


Masjid Al-Falah Pangkalan Tambang, Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah. Foto: asanov


TASEK GELUGOR: Seorang lelaki yang dipercayai sedang menunggu untuk bertemu dengan suspek yang lari dari tahanan polis di Pantai Bersih, Bagan Ajam Isnin lalu, ditahan di pekarangan Masjid Al-Falah, Pengkalan Tambang, di sini, kira-kira jam 10 malam tadi. 
Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan ketika berada dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi selepas polis menerima maklumat awam mengenai kehadiran individu mencurigakan di kawasan itu.

Lelaki berkenaan dikenal pasti antara beberapa individu yang dipercayai membantu lima suspek Geng Joe Mafia yang masih bebas. 
Difahamkan, ketika ditahan lelaki berkenaan dipercayai berjanji untuk bertemu suspek yang masih bebas itu dan berkemungkinan untuk membawanya keluar dari kawasan terbabit. 
Berikutan itu juga, sepasukan polis dan Unit Anjing Pengesan (K9) bergegas ke lokasi untuk mengesan suspek yang dipercayai berada di kawasan berhampiran. 
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar mengesahkan tangkapan lelaki terbabit yang disiasat mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan. - myMetro

Berita 13.1.2013


Dua Lagi OKT Yang Terlepas Ditangkap Semula


OKT yang terlepas ditangkap semula semalam. Foto: Berita Harian


Tasek Gelugor: Dua daripada lima tahanan yang meloloskan diri dari kawalan polis pada Isnin lalu ditangkap malam tadi, ketika polis memperhebatkan gerakan memburu mereka.

Dua yang ditahan ialah Mohd Farid Akhtar, 25, dan Mohd Shahrimy Mohd Noor, 28, dalam dua serbuan berasingan di sekitar Bukit Indera Muda, Permatang Pasir, sekitar jam 9 malam tadi. 
BH difahamkan, polis menahan Mohd Farid dulu sebelum menangkap rakannya yang berada di lokasi berasingan tidak jauh dari situ. 
Dengan penahanan itu, polis kini memburu tiga lagi tahanan, selepas dua ditembak mati Khamis lalu.

Sementara itu, pada sidang media terdahulu, Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata polis menahan lelaki berusia 25 tahun yang dipercayai membantu memberi makanan kepada lima tahanan yang bersembunyi di ladang sawit dan hutan Ara Kuda di sini, kelmarin. 
Katanya, lelaki itu yang dipercayai rakan kepada lima tahanan terbabit, ditahan jam 10 malam ketika berada dalam keretanya di pekarangan Masjid Al-Falah di Pengkalan Tambang, Permatang Pasir, Permatang Pauh. 
Katanya, lelaki itu dipercayai sedang menunggu tahanan terbabit untuk dibawa keluar dari kawasan itu. 
“Dia ditahan mengikut Seksyen 216 Kanun Keseksaan untuk membantu siasatan. Polis juga berusaha mengesan beberapa lagi rakan tahanan itu yang memberi bantuan kepada mereka,” katanya di sini, semalam. 
Dalam kejadian 9 pagi Isnin lalu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth, meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Abdul Rahim berkata, gerakan memburu lima tahanan terbabit kini bertumpu di kawasan Permatang Pauh. 
Katanya, polis juga mencetak lebih 2,000 keping poster wajah suspek untuk diedarkan kepada orang awam di kawasan operasi dalam usaha memberkas mereka yang dipercayai berpecah kepada dua kumpulan. 
“Polis menyerbu sebuah rumah di Kubang Ulu, Penanti, kira-kira jam 6.15 pagi semalam tetapi gagal menemui suspek. Premis dihuni beberapa pekerja asing yang mempunyai dokumen lengkap dan tiada kaitan dengan lima tahanan yang diburu. 
“Polis akan mencetak 2,000 keping lagi gambar mereka esok (hari ini) jika perlu bagi mendapatkan bantuan orang ramai,” katanya yang mengingatkan orang awam supaya tidak melindungi tahanan itu kerana salah di sisi undang-undang. - Berita Harian


Polis Buru OKT Yang Ambil Tebusan






TASEK GELUGOR - Seorang tahanan yang meloloskan diri Isnin lepas dipercayai menjadikan seorang remaja sebagai tebusan dalam kejadian pukul 11 malam tadi di Bukit Mertajam dekat sini. 
Tahanan itu dikenal pasti sebagai Mohamad Khairulnizam Abdul Rani dan dipercayai membawa tebusannya Khairul Anas Mohd Fadli, 19, ke kawasan hutan di belakang Sekolah Kebangsaan Indera Muda. 
"Kita dapat maklumat dari orang awam memaklumkan ternampak salah seorang tahanan iaitu Mohamad Khairulnizam membawa remaja berkenaan menuju ke kawasan hutan di situ. Saksi turut melihat tahanan itu membawa sebilah parang panjang bersamanya," kata Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi pada sidang akhbar. 
Menurutnya, bapa remaja itu juga membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut yang dipercayai berlaku ketika remaja berkenaan dalam perjalanan pulang dari rumah abang iparnya berhampiran tempat kejadian. 
"Sebaik kita menerima maklumat berkenaan pihak polis menghantar sekumpulan anggotanya ke tempat kejadian dan saya juga telah mengarahkan pihak Pasukan Gerakan Am melakukan rondaan dalam hutan di kawasan itu," katanya. 
Sementara itu, Abdul Rahim berkata polis berjaya memberkas dua tahanan termasuk seorang yang menyerah diri malam tadi. 
Mohamad Farid Akhtar, 24, ditahan ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Seman pada pukul 9 malam, manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri di Pasar Awam Penanti pada pukul 10 malam. 
"Pemilik kedai makan berkenaan menghubungi pihak polis memaklumkan terdapat salah seorang tahanan meminta makanan. Anggota kita dihantar ke kedai makan itu dan didapati lelaki terbabit adalah Mohamad Farid dan kita menahannya. 
"Ketika ditahan dia dalam keadaan tidak bermaya kerana tidak makan sejak beberapa hari lepas," katanya. 
Abdul Rahim berkata operasi menjejaki dua lagi tahanan iaitu Hamzani Harun, 37 serta Hisham Abdul Rahman, 39 kini diperhebat dan mereka dipercayai berada di sekitar kawasan Permatang Pauh. 
Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring. 
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis. 
Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia. - Bernama


Polis Berjaya Tangkap Seorang Lagi OKT


TASEK GELUGOR - Polis Pulau Pinang menahan seorang lagi tahanan iaitu Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, dalam sebuah kafe internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini, awal hari ini. 
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat awam sebelum polis menyerbu kafe internet berkenaan pada 1.15 pagi. 
"Dia berada dalam kafe itu bagi mengelak dikesan polis, tetapi usahanya gagal kerana kita telah mendapat maklumat tentang dia dan berjaya menahannya," katanya kepada pemberita di sini. 
Sebelum itu, tahanan itu yang dikenal pasti sebagai Mohamad Khairulnizam dipercayai menjadikan seorang remaja 19 tahun sebagai tebusan dalam kejadian pukul 11 malam tadi di Bukit Mertajam dan membawanya ke kawasan hutan di belakang Sekolah Kebangsaan Indera Muda. 
Abdul Rahim berkata, remaja itu ditinggalkan tahanan berkenaan di kawasan Berapit dalam keadaan selamat. 
"Khairul Anas ditemui selamat oleh orang awam sebelum penemuannya dimaklumkan kepada polis dan remaja itu dibawa ke Balai Polis Kubang Semang untuk merekodkan keterangan," katanya. 
Katanya usaha memburu dua lagi tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, serta Hisham Abdul Rahman, 39, diperhebatkan dan polis percaya mereka masih berada di sekitar Permatang Pauh. 
Semalam, polis menahan Mohamad Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang pada pukul 9 malam, manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri di Pasar Awam Penanti, pukul 10 malam. 
Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring. 
Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis. 
Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia. - Bernama


Remaja Tebusan Cerita Detik Cemas


Mohd Khairul Anas menunjukkan gambar OKT yang menculiknya. Foto: Bernama


BUKIT MERTAJAM - Seorang remaja yang dijadikan tebusan oleh salah seorang tahanan yang lolos dalam kejadian Isnin lepas melalui detik cemas selama empat jam ketika 'bersama' dengan lelaki itu semalam. 
Mohd Khairul Anas Fazli, 20, berkata beliau dipaksa oleh tahanan itu, Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, untuk membawanya ke beberapa lokasi di sekitar Sungai Bakap dan Bukit Mertajam untuk menemui anggota keluarga dan kenalan lelaki itu. 
Menceritakan kejadian itu, katanya dia berada di rumah rakannya di Bukit Indera Muda sekitar 8.30 malam Sabtu sebelum didatangi lelaki berkenaan yang menendang pintu rumah. 
"Dia kenal kawan saya, sebab itu dia datang sana (Bukit Indera Muda). Dia datang dalam keadaan agresif dengan bertindak menendang pintu dan sebaik ia dibuka dia masuk bilik air sebelum meminta salah seorang daripada kami hantarkannya ke rumah kakaknya di Sungai Bakap. Bila kami tak mahu, dia ugut nak ambil motosikal saya," katanya ketika ditemui di sini hari ini. 
Mohd Khairul berkata Mohd Khairulnizam bertindak menunggang motosikalnya dan membawanya ke Sungai Bakap melalui jalan Bukit Teh di Bukit Mertajam, tetapi dia tidak dapat ingat laluan selepas itu berikutan dikelilingi ladang kelapa sawit. 
"Tiba di Sungai Bakap, kakak dia (Mohd Khairulnizam) tiada di rumah. Selepas itu dia bawa saya ke rumah rakannya juga di Sungai Bakap, tetapi rakannya itu juga tak ada. Kemudian dia berpatah balik ke Bukit Teh, melalui Machang Bubok, seterusnya ke rumah rakannya di Bandar Perda dan Bukit Mertajam. Namun mereka juga tiada di rumah. 
"Sepanjang perjalanan, macam-macam perkara yang bermain di fikiran. Saya tak berani jerit minta tolong sebab takut dia buat sesuatu yang mungkin mengancam nyawa saya. Tetapi, sebaik tiba di Bukit Mertajam, saya mendapat akal dan minta untuk menunggang motosikal lalu bawanya ke Berapit dan beritahu dia di sana selamat jika hendak bersembunyi," katanya. 
Mohd Khairul berkata dia memberanikan diri untuk berbuat demikian selepas melihat lelaki itu seperti terdesak untuk menyembunyikan diri kerana enam hari menjadi buruan polis. 
"Saya sengaja buat helah dengan minta dia (Mohd Khairulnizam) main Internet dahulu di kafe Internet (Berapit) sebab nak ambil adik balik kerja dan berjanji untuk datang semula mengambilnya di sana selepas itu. Dia kata tak ada duit dan saya beri dia RM5. 
"Sebaik berjaya melepaskan diri, saya terus memecut motosikal ke balai polis (Kubang Semang) dan maklumkan kepada polis dia ada di sana," katanya. 
Sementara itu, Muhamad Shafiq Abdul Rahman, 18, berkata salah seorang tahanan iaitu Mohd Farid Akhtar, 24, datang ke kedai bapanya di Kampung Petani, di sini meminta makanan dan minuman sebelum ditahan polis di situ. 
Katanya lelaki itu dilihat berjalan kaki seorang diri kira-kira 8.30 malam dalam keadaan tidak bermaya serta tidak memakai kasut sebelum beberapa pelanggan yang ada di situ memanggilnya ke kedai. 
"Mereka tidak sangka dia merupakan tahanan yang dicari polis berikutan keadaan fizikalnya berbeza di dalam gambar yang diedarkan. 
"Kami hanya tahu dia tahanan selepas dia sendiri minta pelanggan di situ hantarnya ke balai polis berdekatan. Kami telefon polis dan mereka datang 15 minit kemudian. Sebelum itu, mereka (pelanggan) beri dia makan nasi lemak dan minta saya bancuhkan teh 'o' ais kepadanya," katanya. 
Muhamad Shafiq berkata lelaki terbabit turut memberitahu rakan tahanannya itu sudah membuat perancangan untuk melarikan diri sejak enam bulan lepas dan merancang akan terus ke negara jiran jika berjaya. 
Semalam, polis menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang pada 9 malam, manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri di Pasar Awam Penanti pada 10 malam, sementara Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan dalam sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini pada 1.15 pagi. 
Dalam kejadian 9 pagi Isnin, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring. 
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis. 
Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia. - Bernama


Tiga OKT Yang Ditahan Semua Direman 7 Hari






BUTTERWORTH - Tiga tahanan yang ditahan semula selepas meloloskan diri dari polis Isnin lalu, hari ini ditahan reman tujuh hari. 
Perintah itu dikeluarkan Majistret Sarah Abdul Rahim selepas pegawai penyiasat, ASP Md Zailani Md Zain mengemukakan permohonan itu. 
Ketiga-tiga suspek Mohamad Farid Akhtar, 24, Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, dan Mohamad Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan semula enam hari selepas polis melancarkan gerakan memburu ke atas tujuh tahanan yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dari penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth pada 9 pagi Isnin. 
Mohamad Farid, ditahan ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Seman pada pukul 9 malam manakala Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, menyerah diri di Pasar Awam Penanti pada pukul 10 malam, semalam. 
Mohamad Khairulnizam pula ditahan dalam sebuah kafe internet di Berapit, Bukit Mertajam dekat sini, awal hari ini.
Dalam kejadian 9 pagi Isnin lepas, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring. 
Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis. 
Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia. 
Mereka yang masih diburu ialah Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39. - Bernama

Berita 14.1.2013


Dua OKT Yang Masih Lepas Semakin Tertekan


Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi menunjukkan dua banduan yang masih bebas. Foto: Bernama


Tasek Gelugor: Baki dua tahanan yang masih diburu polis, kini semakin hilang punca berikutan penduduk tempatan menolak permintaan mereka untuk mendapatkan bantuan dan sebaliknya mahu menghantar mereka ke balai polis. 
Kedua-dua tahanan terbabit, Hamzani Harun, 37, atau Mat Blue dan Hissham Abdul Rahman, 39, muncul sekitar Pokok Tampang, di sini, petang kelmarin, sebelum Hissham meminta bantuan seorang penduduk menghantarnya ke bahagian pulau di negeri ini.

Bagaimanapun, penduduk terbabit menjawab sinis dengan berkata hanya boleh membantu menghantarnya ke balai polis.

Penduduk kampung memaklumkan kepada polis mengenai kejadian itu sebelum sepasukan polis bergegas ke lokasi, sebelum mendapati kedua-duanya sudah menghilangkan diri.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, Hissham juga pulang ke rumahnya, tetapi menghilangkan diri sebaik diserbu sepasukan polis, kelmarin.

“Kita meminta ahli keluarga Hamzani dan Hissham segera menghubungi polis jika kedua-dua suspek terbabit pulang ke rumah atau menghubungi mereka,” katanya.

Hissham dan Hamzani dipercayai buntu selepas tiga suspek lain yang turut lolos minggu lalu sudah ditahan, malam kelmarin.

Mohd Farid Akhtar, 24, ditahan di Kampung Petani, Kubang Semang selepas pergi ke sebuah kedai makan untuk mendapatkan makanan pada am 8.30 malam manakala Mohd Shahrimy Mohd Noor, 28, pula menyerah diri kepada pegawai kanan polis di Pasar Awam Penanti pada jam 10.15 malam.

Mohd Khairul Nizam Abdul Rani, 26, pula ditahan di sebuah kafe siber di Penanti, Bukit Mertajam pada jam 1.15 pagi semalam. Khamis lalu, dua lagi tahanan yang lolos termasuk dalangnya, Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati selepas berbalas tembak dengan polis di Kampung Padang Ibu, dekat sini. - myMetro

Berita 15.1.2013


Dua OKT Yang Masih Bebas Hubungi Keluarga





KEPALA BATAS - Polis yakin dua orang kena tahan (OKT) yang masih bebas sejak meloloskan diri semasa menaiki van ke Kompleks Mahkamah Butterworth 7 Januari lalu sedang bersembunyi di sekitar Kubang Semang selepas beberapa penduduk mendakwa ternampak kelibat mereka kelmarin. 
Kelibat Hamzani Harun, 37, atau dikenali sebagai Syam Tok E dan Hisyam Abdul Rahman, 39, atau Mat Blue didakwa dilihat di Kampung Pelet, Kubang Semang di Bukit Mertajam oleh penduduk. Mereka dipercayai cuba mendapatkan bantuan daripada orang kampung. 
Polis turut meluaskan siasatan hingga ke kawasan Taman Chai Leng di Perai iaitu kira-kira 15 kilometer dari Kubang Semang selepas maklumat mengatakan mereka menggunakan telefon awam di situ pada pukul 6 petang semalam. 
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis sedang giat memburu kedua-dua OKT tersebut hingga ke kawasan hutan dan belukar berhampiran. 
Katanya, kedua-dua OKT itu berasal dari Pokok Tampang, Tasek Gelugor. - Kosmo


OKT Guna Telefon Awam Elak Dikesan Polis


BUKIT MERTAJAM: Polis mengesan dua lagi baki tahanan yang lolos dalam kejadian minggu lepas iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, menggunakan telefon awam di Taman Chai Leng, di Prai, petang semalam. 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, berkata walaupun dua tahanan itu mempunyai telefon bimbit, mereka memilih untuk menggunakan telefon awam supaya polis tidak dapat mengesan lokasi mereka.

"Mereka tahu telefon bimbit mempunyai satu sistem untuk mengesan di mana orang yang membuat panggilan itu berada, jadi mereka guna telefon awam," katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan Pauh Jaya, di sini hari ini.

Beliau berkata Operasi Mengesan Gelugor yang masuk hari ke lapan hari ini diteruskan dengan memperluas kawasan operasi sehingga ke utara Perak. 
"Tetapi saya percaya mereka masih berada di sekitar Permatang Pauh kerana berdasarkan maklumat yang diterima dua lelaki itu tidak mempunyai kenderaan," katanya. 
Beliau berkata polis juga dimaklumkan tiada lagi rakan yang ingin membantu mereka dan disebabkan itu kedua-dua penjenayah terbabit mula keluar dari tempat persembunyian untuk meminta bantuan orang awam.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata polis sedang menyiapkan kertas siasatan terhadap empat anggotanya mengikut Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai sehingga menyebabkan tahanan lari. 
Dalam kejadian 9 pagi Isnin lalu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring.

Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini, Khamis lalu.

Dua hari kemudian polis menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang dan Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, pula menyerah diri di Pasar Awam Penanti manakala Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan di sebuah kafe Internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini. - BERNAMA


Polis Siasat Serbuk Lada Yang Diguna OKT



KEPALA BATAS - Polis akan bertemu pihak Penjara Pulau Pinang untuk menyiasat serbuk lada yang didakwa diperoleh dari pusat tahanan berkenaan sebelum disemburkan kepada empat anggotanya hingga membolehkan sembilan tahanan diiring meloloskan diri dalam kejadian Isnin lalu. 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pertemuan itu akan diatur dalam masa terdekat bagi melengkapkan siasatan selepas soal siasat tahanan yang berjaya diberkas semula kelmarin memberitahu mereka memperoleh serbuk lada itu daripada kakitangan penjara. 
“Pertemuan yang kemudiannya diikuti dengan siasatan menyeluruh penting dalam kes ini kerana serbuk lada itu dikatakan menjadi punca kejadian selain kecuaian kakitangan kita yang tidak mengikut ‘standard’ mengiring orang salah. 
“Kecuaian boleh berlaku di mana-mana dan langkah terbaik untuk mengatasinya ialah membendung segera penyeludupan masuk atau keluar terutamanya bahan berbahaya yang boleh digunakan sebagai senjata oleh pesalah,” katanya pada sidang media harian sempena Ops Kesan Gelugor di Ibu Pejabat Polis Daerah, Seberang Perai Utara, semalam. 
Abdul Rahim berkata, pihaknya tidak akan melindungi anggota terlibat jika siasatan mendapati mereka cuai ketika menjalankan tugas semasa kejadian itu. 
“Kita membuka kertas siasatan bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan kerana cuai membiarkan tahanan lari dari kurungan dan jika didapati bersalah mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 
“Dalam hal ini kita tidak bertolak ansur kerana syarat dan ketetapan mengiring orang salah sepatutnya diikuti sejak tahanan itu dibawa keluar dari penjara untuk sebarang prosiding di mahkamah,” katanya. - Sinar Harian


Berita 16.1.2013


Dua OKT Semakin Terdesak


Unit Forensik memeriksa pondok telefon awam yang dipercayai digunakan oleh salah seorang OKT. Foto: Sinar Harian


BUKIT MERTAJAM - Taktik dua tahanan yang diburu tidak menggunakan telefon bimbit sebaliknya telefon awam untuk menghubungi rakan gagal mengaburi polis bagi mengesan kedudukan mereka. 
Kecekapan polis terserlah apabila berjaya mengesan Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang menggunakan telefon awam di Taman Chai Leng, Perai malam kelmarin menghubungi rakan mereka untuk meminta bantuan. 
Walaupun telefon awam itu terletak di luar kawasan sasaran pemburuan, kelibat dua tahanan itu dikesan melalui maklumat orang awam. 
Sungguhpun menghilangkan diri sebaik menyedari gelagat mereka diperhatikan, anggota polis mengesan cap jari mereka di pondok telefon berkenaan. 
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya menerima maklumat Hamzani dan Hisham menggunakan telefon awam di situ pada jam 7.40 malam kelmarin. 
“Orang awam memaklumkan mereka melihat dua suspek itu sedang menggunakan telefon awam dengan menaiki kereta Proton Saga. 
“Mereka lolos sebelum ketibaan polis. Kedua-duanya gagal dikesan walaupun penggeledahan dilakukan di sekitar kawasan itu,” katanya. 
Menurutnya, siasatan mendapati dua suspek terbabit menumpang kereta itu dan polis dalam proses mengesan pemiliknya berdasarkan nombor pendaftaran kenderaan. 
Kini Hamzani dan Hisham diburu dan mereka dipercayai masih menjadikan sekitar hutan di daerah ini sebagai lokasi persembunyian. 
Sementara itu, Ops Kesan Gelugor yang masuk hari sembilan semalam diteruskan dengan kawasan operasi diperluaskan hingga ke utara Perak. - Sinar Harian


Berita 20.1.2013


Tahanan Reman 3 OKT Yang Lepas Dilanjut 6 Hari


Tiga tahanan yang melarikan diri pada 7 Januari lalu disambung reman selama enam hari lagi mulai hari ini. Foto: Sinar Harian

Tiga tahanan yang ditahan semula selepas meloloskan diri dari Polis Isnin lalu, hari ini ditahan reman tujuh hari. Foto: Bernama


BUTTERWORTH - Perintah reman terhadap tiga tahanan yang ditahan semula selepas meloloskan diri dari polis dalam kejadian 7 Januari lepas, disambung enam hari lagi bermula hari ini. 
Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, perintah itu dikeluarkan Majistret Mohamad Firdaus Abdul Wahab selepas pegawai penyiasat ASP Md Zailani Md Zain mengemukakan permohonan menyambung reman terhadap Mohd Farid Akhtar, 24, Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, dan Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26. 
"Perintah reman mereka tamat semalam dan kita mendapatkan perintah daripada mahkamah untuk sambung reman bagi membolehkan pihak polis melengkapkan siasatan. 
"Kertas siasatan kes berkenaan hampir siap dan akan dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya dalam masa terdekat dan kita tunggu arahan selanjutnya daripada pendakwa raya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. 
Ketiga-tiga suspek itu ditahan semula enam hari selepas polis melancarkan gerakan memburu ke atas tujuh tahanan yang melarikan diri semasa dalam perjalanan dari penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth pada 9 pagi 7 Januari lalu. 
Sementara itu, Abdul Rahim yang mengetuai pasukan khas Ops Kesan Gelugor itu berkata, usaha memburu dua lagi tahanan yang masih lolos iaitu Hamzani Harun, 37 dan Hisham Abdul Rahman,39, masih diteruskan. 
"Ops kita telah masuk hari ke 13 dan usaha memburu mereka giat dijalankan, berdasarkan maklumat yang diperoleh kita percaya mereka masih berada di Pulau Pinang," katanya. 
Abdul Rahim turut meminta kerjasama orang ramai terutama anggota keluarga dua tahanan terbabit agar menghubungi polis jika mendapat maklumat atau dihubungi mereka. 
Katanya, polis yakin dapat menahan mereka dalam tempoh terdekat. 
Dalam kejadian itu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring. 
Dua daripada mereka diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada Khamis. 
Dua tahanan yang ditembak mati ialah Mohd Fairuz Adam, 31, yang dikenali sebagai Joe Mafia dan Mohd Noor Mustafa, 28, juga daripada geng Joe Mafia. - Bernama


Berita 25.1.2013


Tiga OKT Yang Lepas Mengaku Salah


Mohd Khairul diiringi anggota polis selepas didakwa di mahkamah semalam. Foto: Sinar Harian



BUTTERWORTH - Tiga orang kena tahan (OKT) yang melarikan diri 7 Januari lalu bakal berhadapan hukuman penjara 14 tahun selepas mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan di Mahkamah Majistret Butterworth di sini hari ini. 
Mohd. Farid Akhtar, 24, Mohd. Shahrimy Md Noor, 28, dan Mohd. Khairul Nizam Abd Rani, 26, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Hizween Azleena Othman Kamal. 
Bagi pertuduhan pertama, mereka didakwa bersama dua OKT yang mati dan dua lagi yang masih bebas dengan niat bersama dan sengaja mencederakan seorang anggota polis, Mohd Nazzwuan Md Zain yang ditugaskan mengiringi dari Penjara Pulau Pinang ke Mahkamah Butterworth sebelum melarikan diri. 
Mereka dituduh melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 9.45 pagi 7 Januari lalu berhampiran Jalan Susur Keluar Bagan Ajam Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth di sini.
Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa secara bersama mencederakan seorang lagi anggota polis, Mohd Azizan Ahmad pada tarikh, tempat dan masa yang sama. 
Pertuduhan ketiga didakwa secara bersama mencederakan seorang anggota polis, Muhammad Sharifuddin Ali juga pada tarikh, masa dan tempat yang sama. 
Di bawah pertuduhan keempat, mereka secara bersama didakwa mencederakan seorang lagi anggota polis, T K Mahendren juga pada tarikh, masa dan tempat yang sama. 
Untuk semua pertuduhan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 322 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kKanun sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan. 
Tiga tertuduh itu juga menghadapi pertuduhan kelima iaitu dengan niat bersama dan sengaja lari dari jagaan pasukan pengiring Polis Diraja Malaysia yang ditahan secara sah di sisi undang-undang atas kesalahan jenayah yang dilakukan sebelum ini. 
Mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 
Sebaik mengaku bersalah, Timbalan Pendakwa Raya, Pang Chuin Keat memohon kepada mahkamah agar tidak membenarkan semuanya diikat jamin sementara menunggu tarikh hukuman. 
Menurutnya, Mohd Farid mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kes samun, Mohd Shahrimy pula mempunyai rekod jenayah berkaitan kes bunuh manakala Mohd. Khairul Nizam pernah didakwa berkaitan mencederakan orang awam. 
“Jika di dalam tahanan pun mereka boleh melarikan diri, apatah lagi jika dibebaskan dengan jaminan. 
“Semua OKT mempunyai rekod kesalahan yang serius dan merupakan suspek berpotensi untuk mengulangi perbuatan melarikan diri yang secara langsung akan mengancam keselamatan orang awam," katanya. 
Chuin Keat juga meminta mahkamah menangguhkan hukuman kepada tarikh lain kerana pihaknya belum menerima dokumen berhubung laporan perubatan anggota polis pengiring dan fakta kes sebenar kejadian itu. 
Hizween Azleena kemudian menetapkan 5 Mac ini sebagai tarikh untuk penelitian fakta dan menjatuhkan hukuman kepada semua tertuduh selain tidak membenarkan ketiga-tiganya diikat jamin. - Sinar Harian


Berita 2.2.2013


Dua Tahanan Lolos Belum Dapat Ditangkap Semula



Hisham Abdul Rahman (kiri) dan Hamzani Harun terus diburu. Foto: Utusan


BUKIT MERTAJAM: Polis tidak menolak kemungkinan dua tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth bulan lalu, mendapat bantuan pihak lain untuk bersembunyi. 
Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Jaafar, meminta orang ramai terutama keluarga dan kenalan terdekat dua lelaki yang diburu itu supaya tidak menghulurkan bantuan kepada mereka. 
"Sebelum ini tahanan lain turut dibantu rakan mereka sebelum berjaya ditahan polis," katanya selepas Majlis Pelancaran Op Selamat II sempena Perayaan Tahun Baharu Cina 2013, di Tol Juru di sini, hari ini. 
Beliau berkata, polis yakin kedua-dua tahanan yang diburu itu masih bersembunyi di negeri ini dan polis kini meningkatkan usaha memburu mereka. 
"Berdasarkan maklumat yang diperoleh, saya percaya kami akan dapat tahan mereka dalam tempoh terdekat," katanya. 
Dalam kejadian 9 pagi 7 Januari lalu, sembilan tahanan yang dalam perjalanan dari Penjara Pulau Pinang ke mahkamah di Butterworth meloloskan diri dengan merampas van polis yang dinaiki selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring. 
Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd Fairuz Adam, 31, dan Mohd Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada 10 Januari. 
Dua hari kemudian, polis menahan Mohd Farid Akhtar, 24, ketika meminta makanan di sebuah kedai makan di Kampung Petani, Kubang Semang dan Mohd Shahrimi Mohd Noor, 28, pula menyerah diri di Pasar Awam Penanti manakala Mohd Khairulnizam Abdul Rani, 26, ditahan di sebuah kafe internet di Berapit, Bukit Mertajam di sini. - BERNAMA

Berita 18.2.2013


Dua Tahanan Masih Lolos


Hisham Abdul Rahman (kiri) dan Hamzani Harun terus diburu. Foto: Utusan


TASEK GELUGOR — Polis Pulau Pinang percaya dua tahanan iaitu Hamzani Harun, 37, dan Hisham Abdul Rahman, 39, yang meloloskan diri daripada tahanan polis ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth baru-baru ini masih berada dalam negara. 

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, berdasarkan maklumat yang diterima mereka dikatakan bersembunyi di beberapa kawasan bagi mengelak dikesan polis. 

"Mereka telah keluar daripada kawasan operasi iaitu Permatang Pauh dan negeri ini tetapi belum ke negara jiran atau keluar daripada Malaysia, dua tahanan itu dipercayai bersembunyi di sekitar negeri berhampiran Pulau Pinang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Sahsiah Unggul Murid di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad, di sini hari ini. 

Beliau berkata, polis negeri ini masih menjalankan Ops Kesan Gelugor bagi memburu dua lelaki terbabit dan kontinjen di negeri lain juga sedang bekerjasama menjejaki mereka. 

Pada kejadian pukul 9 pagi, 7 Januari lalu, sembilan tahanan meloloskan diri selepas memukul dan menolak keluar empat anggota polis pengiring daripada van polis. 

Dua daripada mereka berjaya diberkas semula berhampiran van polis itu yang ditinggalkan di Kampung Padang Chempedak, Tasek Gelugor manakala dua lagi iaitu Mohd. Fairuz Adam, 31, dan Mohd. Noor Mustafa, 28, ditembak mati setelah cuba melarikan diri dengan sebuah kereta di Kampung Padang Ibu di Bukit Mertajam dekat sini pada 10 Januari lalu. 

Manakala Mohd. Farid Akhtar, 24, Mohd. Shahrimi Mohd. Noor, 28, dan Mohd. Khairulnizam Abdul Rani, 26, yang berjaya ditahan semula, mengaku bersalah terhadap lima pertuduhan di Mahkamah Majisteret Butterworth pada 25 Januari lalu. 

Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya telah mengambil tindakan menggantung kerja seorang anggota polis berpangkat sarjan berusia 50-an, yang bertugas menyelia dan mengatur kawalan keselamatan dalam kejadian itu. 

"Kita sudah gantung kerja penyelia (sarjan) yang mengatur kawalan keselamatan untuk beri pengajaran kepada dia kerana tidak mengikut SOP, sepatutnya dia bagi black maria tetapi bagi van polis sahaja untuk bawa sembilan tahanan terbabit,” katanya. 

Abdul Rahim berkata, empat anggota polis yang mengiringi tahanan terbabit pula masih disiasat dan akan dikenakan tindakan disiplin jika didapati berlaku kecuaian. — BERNAMA

Berita 8.3.2013
Hisham Abdul Rahman (kiri) dan Hamzani Harun terus diburu. Foto: Utusan


GEORGE TOWN – Polis percaya dua orang kena tahan (OKT) yang masih lolos selepas nekad melarikan diri bersama lima tahanan lain ketika dibawa ke Mahkamah Butterworth pada 7 Januari lalu telah menyelinap keluar dari negeri ini. 
Kedua-dua suspek terbabit ialah Hamzani Harun, 37, yang dikenali sebagai Syam Tok E dan Hisyam Abdul Rahman, 39, atau Mat Blue. 
Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, pihaknya giat mengesan suspek yang dipercayai sudah melarikan diri dari kawasan Tasek Gelugor di sini. 
Bagaimanapun, katanya, polis masih memerlukan maklumat daripada orang awam berhubung lokasi penemuan dan persembunyian dua tahanan terbabit. 
“Operasi mengesan suspek berkenaan masih giat diteruskan walaupun mereka dipercayai telah melarikan diri dari Pulau Pinang,” katanya. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.