Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 1 April 2013

Bumbung 4 Rumah Diterbangkan Puting Beliung

Langit kelihatan gelap (gambar hiasan). Foto: asiaexplorers

Air hujan dan serpihan bumbung memenuhi ruang dapur rumah Mohd Faizul akibat puting beliung. Foto: Sinar Harian

Sejauh mana bumbung rumah kita mampu bertahan daripada tiupan angin kencang? (gambar hiasan) Foto: hartapropertytrg


PONTIAN - Bumbung empat rumah di Taman Hidayat, Pekan Nenas, di sini, rosak diterbangkan puting beliung dalam kejadian petang kelmarin. 
Bagaimanapun, kejadian sekitar jam 4 petang selama beberapa saat itu tidak mengakibatkan kehilangan nyawa mahupun kecederaan kepada penduduk taman perumahan itu. 
Saksi kejadian, Noor Abu, 49, mengakui terkejut melihat beberapa keping bumbung jiran di hadapan rumahnya ‘terbang’ sebelum terjatuh ke atas jalan. 
“Keadaan cuaca cerah tanpa angin dan ribut pada mulanya. Saya yang sedang berehat di rumah tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi bising seperti orang sedang bertukang. 
“Apabila lihat luar rumah melalui tingkap, alangkah terkejutnya saya apabila terlihat bumbung rumah jiran berterbangan, badan saya menggigil ketika itu,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin. 
Mangsa, Jamilah Safian, 37, berkata, bunyi bising di bahagian dapur rumah membuatkan mereka sekeluarga tidak senang duduk. 
Katanya, ketika kejadian dia dan suami, Shahrom Kosnan, 33, bersama tiga cahaya mata berusia antara lima hingga 10 tahun sedang berehat di ruang tamu. 
“Sebaik saja ke dapur, saya lihat beberapa keping bumbung rumah sudah tiada kerana diterbangkan angin. Tidak lama selepas itu, saya sekeluarga terus keluar dari rumah untuk meminta bantuan. 
“Mujurlah tiada kemalangan jiwa yang berlaku dan kami sekeluarga selamat. Cuma rumah digenangi air berikutan hujan lebat sejam selepas puting beliung melanda,” katanya. 
Bagi Mohd Faizul Rosli, 25, dia tidak sangka perasaan tidak sedap hati yang dirasainya ketika sedang bekerja menjadi petanda rumahnya dilanda puting beliung. 
“Saya asyik teringatkan rumah. Perasaan itu terjawab apabila salah seorang jiran menelefon memberitahu bumbung rumah saya sudah terbang akibat puting beliung. 
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana isteri, Siti Nurazila Razman, 23, bersama dua anak berusia empat bulan dan dua tahun tiada di rumah kerana menghadiri majlis kenduri kahwin,” katanya. 
Sementara itu, sebanyak 40 keping bumbung disumbangkan Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Wee Jeck Seng menerusi wakilnya, Ketua Pemuda MCA Tanjung Piai, Wong Kin Leong kepada mangsa yang terlibat ketika mengadakan lawatan ke lokasi sejurus selepas kejadian. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.