Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 1 April 2013

Dua Jam Tersepit Akibat Lori Terbabas Masuk Gaung

Pasukan penyelamat berusaha mengeluarkan Mazlan yang tersepit dalam lori ini. Foto: Sinar Harian

Mazlan menunjukkan keadaan kakinya yang cedera akibat tersepit. Foto: Sinar Harian


KUALA KETIL - Seorang pemandu lori terpaksa menahan sakit selama dua jam akibat tersepit dalam kejadian kemalangan di kilometer 7 Jalan Malau- Batu 7 kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin. 
Mangsa, Mazlan Abas, 53, dari Kampung Charuk Gorok, Mukim Pulai berhadapan situasi itu setelah lori yang dipandunya masuk ke dalam gaung sedalam hampir tiga meter. 
Pasukan Bomba dan Penyelamat mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengeluarkan mangsa dalam kejadian itu.
Keadaan sekeliling yang dipenuhi semak selain permukaan tanah yang tidak rata turut memberikan kesan kepada operasi menyelamat itu. 
Bagaimanapun, ayah kepada lima anak itu berjaya dikeluarkan dan hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki dan tangan. 
Mazlan berkata, kejadian berlaku setelah dia cuba mengelak sebuah motosikal yang datang dari arah bertentangan. 
Keadaan itu mengakibatkan lori muatan getah sekerap itu terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung tersebut. 
Menurutnya, dia hanya mampu beristighfar dan mengucap panjang setelah lori yang dipandunya terjatuh ke dalam gaung itu. 
“Saya hanya berserah kepada tuhan. Kemudian, saya sedar saya telah berada di bawah gaung. Saya cuba keluar. Tapi, kaki dan tangan saya tersepit,” katanya. 
Katanya, dia menjerit meminta pertolongan, tetapi tiada siapa yang tampil berikutan tiada siapa yang melihat kejadian itu. 
“Tambahan pula, kawasan ini jauh dari kawasan kampung dan jalan raya. Pengguna jalan tidak akan dapat lihat sekiranya mereka tidak berhenti dan melihat dalam gaung ini. 
“Selama dua jam saya mengerang kesakitan dalam lori itu. Selepas itu, barulah saya dengar bunyi riuh-rendah orang ramai. 
Difahamkan, kejadian itu disedari setelah terdapat seorang penduduk yang melalui kawasan itu setelah terbau getah sekerap yang bertaburan. 
Mazlan yang dalam keadaan lemah itu telah dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan lanjut. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hasan mengesahkan kejadian berkenaan. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.