Ustaz Zaharuddin Haji Abdul Rahman menulis:
Sekarang ini, kita melihat ramai orang yang enggan membayar hutang mereka. Bahkan, ada orang yang lebih rela diisytiharkan muflis atau bankrap, asalkan dia tidak perlu membayar hutangnya. Orang berkenaan mungkin akan merasa bahagia di dunia ini. Tapi bagaimanakah nasibnya di akhirat?
Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: "Diampunkan semua dosa bagi orang mati syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" (Riwayat Muslim, 6/38)
Lebih buruk lagi jika ada orang yang berhutang dengan niat tidak akan membayarnya.
Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: "Barang siapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" (Riwayat Al-Bukhari, 2/83).
Rasulullah SAW juga selalu mengajar umat Islam agar berdoa dilepaskan daripada hutang:
Ertinya: "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada dosa dan hutang. Lalu baginda ditanya: Mengapa engkau sering meminta perlindungan daripada hutang, wahai Rasulullah?. Baginda menjawab: jika seseorang berhutang, bila berbicara dia berdusta, bila berjanji dia mengingkari" (Riwayat Al-Bukhari 1/214)
Terdapat juga dalam sebuah hadith lain:
Ertinya: "Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang. Mendengar itu seseorang bertanya, apakah engkau menyamakan kekufuran dengan hutang wahai Rasulullah? Benar, jawab Rasulullah" (Riwayat An-Nasaie 2/316; Ahmad 3/38; Al-Hakim berkata Sahih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani: Dhaif)
Berdasarkan dalil-dalil di atas, jelaslah bahawa perbuatan berhutang ini adalah tidak baik menurut pandangan Islam. Justeru, kita sewajarnya mengelak daripada berhutang seberapa yang boleh.
Cadangan-cadangan berikut patut difikirkan bagi mengecilkan tanggungan hutang kita:
Kad Kredit
Jauhkan diri daripada menggunakan kad kredit. Selain isu-isu riba yang dikaitkan dengan kad kredit, ia juga menggalakkan kita berhutang secara berlebihan. Gunakan hanya jika benar-benar terdesak sahaja. Atau lebih baik menggunakan 'charge card' atau 'debit card' sahaja. Jauhkan diri daripada ketagihan penggunaan kad kredit.
Pinjaman Peribadi
Perlu disedari bahawa semua jenis pinjaman peribadi secara konvensional adalah diharamkan oleh Islam dengan sepakat semua ulama. Cuma hari ini, terdapat beberapa bank Islam dan perbankan Islam menawarkan pinjaman (pembiayaan) peribadi secara Islam.
Namun, tidak semua bank Islam menawarkannya kerana produk ini berlandaskan konsep 'bai inah' (jual dan beli semula antara dua pihak yang sama). Konsep ini amat kontroversi dan ditolak oleh kebanyakan ulama Timur Tengah. Bagaimanapun, ianya diterima oleh ulama Malaysia dan Brunei.
Apapun, pada kebiasaannya, kadar yang dikenakan untuk pembayaran balik adalah tinggi. Oleh itu, penggunaannya tanpa keperluan yang amat mendesak hendaklah dikurangkan atau dielakkan sama sekali demi mengurangkan beban hutang yang ditanggung.
Perumahan dan Kereta
Walaupun mungkin keperluan asas tetapi mesti menilai kemampuan membayar agar tidak mendedahkan diri kepada bahaya hutang. Bagaimanapun, pinjaman kereta dan rumah secara konvensional adalah disepakati haram oleh ulama seluruh dunia.
Umrah dan Haji Sunat (Kali Kedua)
Haji sememangnya wajib bagi umat Islam yang berkemampuan dari segi fizikal dan kewangan. Bagaimanapun wajib hanya sekali sahaja. Justeru, umat Islam perlu memahami 'priority' atau 'awlawiyyat' didalam pengendalian wang peribadi.
Dalam Islam, wang yang diperuntukkan untuk umrah dan haji kali kedua adalah lebih baik dan besar pahalanya jika digunakan untuk menjelaskan hutang peribadi yang bertimbun-timbun. Malangnya, ramai umat Islam hari ini mendahulukan sesuatu yang kurang penting berbanding yang lebih penting.
Sumber: http://zaharuddin.net/kewangan/138-bahaya-hutang-menurut-islam.html
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.