|
Pasukan penentang Kerajaan Syria. Foto: Reuters |
DAMSYIK - Pejuang pembangkang Syria berjaya mengepung bandar terbesar negara itu, Aleppo dan menguasai hampir kesemua jalan raya ke bandar tersebut sehingga pihak kerajaan hanya menguasai satu jalan raya sahaja.
Aktivis Syria mengatakan kumpulan pemberontak berjaya menawan empangan Tishrin yang terletak di wilayah utara Aleppo, membuatkan tentera Syria hanya dapat memasuki bandar Aleppo melalui jalan raya Damsyik - Aleppo.
"Menguasai empangan Tishrin sangat penting kerana hal tersebut membuat kedudukan tentera Syria semakin goyah. Tentera Syria tidak dapat lagi memasuki bandar Aleppo dari sebelah utara," ujar Rami Abdel Rahman, seorang aktivis hak asasi manusia yang mengawasi konflik yang berlaku sejak Mac 2011.
Rahman menyatakan, terdapat jalan tentera di sekitar lokasi empangan yang dapat digunakan oleh tentera Syria, tetapi jalan tersebut sangat buruk dan melaluinya mengambil masa yang lama.
Empangan Tishrin berjaya dikuasai setelah pihak pembangkang mengepung lokasi tersebut selama beberapa hari serta bertempur dengan tentera Syria yang mengawal empangan dan menghadapi serangan udara yang dilancarkan oleh kerajaan.
Di Aleppo sendiri pertempuran sengit masih berlaku di antara pihak kerajaan dengan pejuang pembangkang. Pemerhati mengatakan, kedua-dua pihak mempunyai kekuatan yang seimbang sehingga tidak ada pihak yang dapat menguasai sepenuhnya salah satu bandar tertua di dunia itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.