|
Imej: fiq.web.id |
|
Imej: google |
|
Bandaraya Hong Kong. Foto: 101magazine.ca |
HONG KONG - Jualan ular sebagai haiwan peliharaan di pulau ini melambung ketika orang ramai sibuk melakukan persiapan menyambut Tahun Baru Cina semalam.
Tahun Baru Cina kali ini jatuh pada tahun ular menurut kalendar masyarakat Tionghua.
Ular menjadi binatang pilihan dalam kalangan penduduk kota raya ini ekoran haiwan itu mudah dijaga dan tidak memerlukan ruang yang banyak.
Di kedai Reptile Paradise yang menjual ular, cicak, kura-kura dan pelbagai reptilia lain di sini, berpuluh-puluh anak ular berusia beberapa minggu bertukar tangan.
"Kami melihat peningkatan jualan ular antara 20 hingga 25 peratus pada bulan ini berbanding tempoh sama tahun lalu," kata pengarah kedai berkenaan, Vincent Cheung.
Menurutnya, dia menjual antara 100 hingga 150 ekor ular sejak tiga bulan lalu dengan peningkatan serupa berlaku pada 2001 yang juga jatuh pada tahun ular.
"Apabila Tahun Ular tiba, orang ramai akan membeli ular. Menjaga ular adalah mudah dan ringkas berbanding reptilia lain," tambahnya.
Kebanyakan penduduk di sini gemar memelihara ular jagung Amerika Utara dan ular susu yang boleh membesar sepanjang sekitar 1 meter.
Walaupun ular merupakan simbol kebijaksanaan dan kegembiraan dalam masyarakat Cina, haiwan itu juga dikaitkan dengan tragedi. Sebahagian orang Cina percaya sesebuah keluarga akan ditimpa bencana jika rumah mereka dimasuki ular.
Dalam aspek makanan, ular merupakan makanan eksotik yang digemari penduduk selatan China. Daging ular dipercayai dapat melancarkan perjalanan darah dan mengelakkan penyakit pada musim sejuk. - AFP / Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.