Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 16 November 2013

Pelancong Ditembak Mati Isteri Diculik Di Semporna

Pelancong Taiwan ditembak mati di Semporna dan isterinya diculik. Foto: myMetro

Pelancong Taiwan itu ditembak mati di sebuah resort di Pulau Pom Pom. Foto: myMetro

Lokasi Pulau Pom Pom. Sumber: Malaysiahotels



SEMPORNA - Percutian sepasang suami isteri warga Taiwan berakhir tragedi apabila si suami mati ditembak manakala isterinya diculik sekumpulan lelaki di sebuah resort di Pulau Pom Pom, dekat sini, awal pagi semalam. 
Mayat Lin Min Hsu, 57, ditemui terbaring di dalam bilik dengan dua kesan tembakan di dada dan rusuk sebelah kiri manakala isterinya, An Wei Chang, 58, dipercayai dibawa lari kumpulan berkenaan. 
Sebelum itu, seorang pekerja resort terdengar bunyi tembakan pada jam 1 pagi dan memaklumkan kepada pasukan keselamatan di pulau berkenaan. 
Difahamkan, jarak tempat kejadian ke pantai lebih kurang 800 meter dan ketika kejadian, 48 pelancong menginap di resort berkenaan, namun hanya tiga bilik berpenghuni termasuk bilik pasangan terbabit. 
Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata, berdasarkan maklumat diterima sepasukan anggota polis bergegas ke tempat kejadian dan hasil pemeriksaan menemui mayat seorang lelaki terbaring berdekatan pintu bilik di resort berkenaan. - myMetro



KUALA LUMPUR - Kumpulan pengganas Al-Qaeda Abu Sayyaf dipercayai terlibat dalam kes culik dan bunuh, dua pelancong Taiwan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah, awal pagi semalam. 
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini berkata, pengganas terbabit dipercayai bergerak dalam kumpulan seramai lapan orang dengan menaiki bot pam dan menculik mangsa untuk tebusan. 
Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini, belum ada tuntutan tebusan dibuat, dan usaha mengesan mangsa masih diteruskan dengan bantuan pihak berkuasa di Filipina. 
"Kita percaya kumpulan pengganas ini mengambil kesempatan memasuki perairan Sabah kerana pasukan bersenjata Filipina telah dikerah ke utara untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat dalam taufan Haiyan. Jadi ia memudahkan pengganas untuk melakukan jenayah," kata Khalid. 
Bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Sunathon (berkhatan beramai-ramai) Program Gaya Hidup Sihat, di sini, hari ini, Khalid berkata beliau telah berunding dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi meningkatkan kawalan di perairan Sabah berikutan perkembangan itu. 
Dalam kejadian semalam, seorang pelancong lelaki warga Taiwan ditembak mati manakala isteri mangsa yang juga warga Taiwan telah dilarikan kumpulan terbabit. 
Khalid berkata, polis akan mempertingkatkan lagi tahap keselamatan di kawasan berkenaan bagi mengelak berulangnya kejadian seumpama itu. 
Beliau juga berkata, satu operasi besar-besaran akan dijalankan di sekitar pulau-pulau yang bersempadan dengan negara jiran itu bagi mengesan dalang di sebalik kejadian jenayah itu. 
"Saya mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan mana-mana kumpulan pengganas dan tidak memberi sebarang maklumat atau bantuan kepada musuh negara," tegasnya. 
Katanya, polis akan mengesyorkan kepada pihak berkuasa di perairan Sabah supaya menguatkuasa pengharaman penggunaan bot pam kerana pengganas dan penjenayah menggunakan bot berkenaan untuk aktiviti jenayah. 
"Kita tahu dengan pengharaman bot ini, penduduk akan menghadapi kesukaran dalam menjalankan aktiviti harian. Tiada tolak ansur dalam isu keselamatan. 
Kita minta pihak berkuasa ambil tindakan drastik terhadap perkara ini," katanya. 
Khalid berkata, aktiviti pelancongan tidak akan terjejas berikutan kejadian itu kerana pasukan keselamatan sentiasa mengetatkan kawalan di sekitar pusat peranginan dan pelancongan di seluruh Sabah termasuk di Semporna, Sandakan dan Tawau. - Bernama


Peruntukan RM75 juta kerajaan bagi Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom)

KUALA LUMPUR - Peruntukan RM75 juta kerajaan bagi Kawasan Keselamatan Khas Timur Sabah (Esscom) adalah khusus untuk perbelanjaan mengurus, persidangan Dewan Rakyat diberitahu, hari ini. 
Dalam Bajet 2014, kerajaan menyediakan peruntukan tersebut bagi memantapkan lagi operasi Esscom. 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata peruntukan itu tidak termasuk untuk membina rumah di kawasan penempatan semula. 
Katanya urusan pembinaan rumah di penempatan semula itu akan diuruskan oleh Jabatan Perumahan Negara, dan Esscom hanya mencadangkan tempat yang bersesuaian untuk membina rumah. 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Laksamana (B) Mohamad Imran Abdul Hamid (PKR-Lumut). 
Mohamad Imran ingin mengetahui berapa banyak peruntukan disediakan untuk membina rumah (penempatan semula) sebagaimana dirancangkan kerajaan. 
Sementara itu, menjawab soalan Datuk Datu Nasrun Datu Mansur (BN-Silam), Shahidan berkata sehingga kini kerajaan belum membuat sebarang keputusan untuk merobohkan kawasan perkampungan air di Parlimen Silam. 
"Sebarang keputusan yang dibuat kerajaan berhubung perkara itu akan mengambil kira pelbagai aspek seperti kesejahteraan, keselesaan, kemudahan infrastruktur dan kesesuaian penempatan baharu," katanya. 
Datu Nasrun ingin mengetahui berkenaan keputusan dibuat Esscom untuk merobohkan kawasan perkampungan air di Parlimen Silam dan adakah kerajaan mengkaji kesan perubahan demografi penduduk selepas berpindah. - Bernama 14.11.2013


KOTA KINABALU - Polis tidak menolak kemungkinan kes bunuh dan culik dua pelancong Taiwan di Pulau Pom-Pom, Semporna, turut membabitkan peranan orang tempatan atau penduduk yang tinggal berhampiran kawasan itu. 
Perkara itu dinyatakan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Salleh Mat Rasid pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, sebentar tadi. - Berita Harian 18.11.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.