Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 20 November 2013

Restoran Nasi 'Ganja' Dibuka Semula

Pelanggan restoran nasi 'ganja' yang dibuka semula semalam masih ramai. Foto: Sinar Harian

Pembantu tukang masak, Mani Kandan, 35, (kiri) dibantu Mohd Nihmatullah (kanan) mengangkat ayam goreng. Foto: Sinar Harian


IPOH - Pelanggan tegar Nasi Kandar Ayam Merah atau ‘nasi ganja’ di Jalan Yang Kalsom, di sini mengakui tidak mudah terpengaruh dengan sebaran khabar angin mengatakan premis berkenaan kotor, sebaliknya yakin makanan yang dijual bersih dan selamat. 
Asyraf Mohamed, 26, berkata, dia dan keluarga adalah pelanggan tetap restoran berkenaan sejak kecil malah turut mengenali pengurusnya, Mohd Nihmatullah Syed Mustaffah, 59, yang tidak jemu memberi layanan terbaik kepada mereka. 
“Kami sekeluarga sering berkunjung ke sini dan yakin makanan dijual halal serta tidak kotor sepertimana yang didakwa sebelum ini. 
“Pada mulanya saya terkejut dan pelik dengan isu yang disebarkan namun perkara itu sedikit pun tidak memberi impak kepada kami sekeluarga yang amat meminati makanan di sini,” katanya. 
Kakitangan kerajaan, Irham Aqil Zulkifli, 24, berkata, dia akan singgah ke restoran itu sekurang-kurangnya seminggu sekali untuk menikmati makanan di situ. 
“Saya mula mengenali ‘nasi ganja’ sejak 2009, dan menjadi salah seorang pelanggan tetap di sini. Bagi saya, mereka yang berasal dari Ipoh perlu sekurang-kurangnya sekali mencuba keenakan ‘nasi ganja’. 
“Berhubung isu baru-baru ini, saya berpendapat sebagai orang Islam kita sepatutnya tidak sesekali percaya kepada benda yang tidak tahu hujung pangkalnya. Jika tiada bukti cukup, ia boleh menjadi fitnah,” katanya. 
Sementara itu, Mohd Nihmatullah berkata, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) telah memberikan lampu hijau kepada mereka selepas membuat pemeriksaan terperinci ke atas premis berkenaan Sabtu lalu. 
Menurutnya, pelanggan boleh menikmati semula makanan yang dijual di restoran berkenaan apabila premis tersebut beroperasi semula seperti biasa jam 9.30 pagi semalam. 
Katanya, JKN berpuas hati dengan kerja pembersihan dan membaik pulih restoran tersebut dan membenarkannya dibuka semula hanya dalam tempoh tiga hari ditutup. 
“Memang tidak dinafikan kami terpaksa menanggung kerugian akibat penutupan restoran ini namun itu tidak mematahkan semangat kami untuk meneruskan perniagaan dan memberi perkhidmatan terbaik untuk pelanggan. 
“Malah, restoran Yong Suan turut terkena tempiasnya kerana Nasi Kandar Ayam Merah sudah tidak asing lagi dalam kalangan orang ramai dan ia juga adalah tarikan pelancongan makanan di Perak,” katanya. 
Nithmatullah juga tidak berasa begitu khuatir mengenai kepercayaan pelanggan kerana berita yang tersebar di laman sosial Facebook itu ternyata palsu. 
“Kami masih mengekalkan resepi, kualiti dan keadaan yang sama tanpa sebarang pengubahsuaian dan pastinya 100 peratus tiada unsur najis dalam masakan kami. 
“Selain itu, kami berharap kejadian sama tidak berulang dan meminta pelanggan untuk tampil menyuarakan masalah atau nasihat terus kepada kami pada masa akan datang,” katanya. 
Premis Nasi Kandar Ayam Merah hanya beroperasi di Ipoh sahaja dan setakat ini, tiada cawangan lain dibuka di negara ini. - Sinar Harian

Berita sebelumnya di sini

Tiada ulasan:

Catat Komen

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.