Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 16 November 2013

Empat Sekeluarga Maut Kereta Berpusing

Empat sekeluarga maut dan dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan. Foto: Sinar Harian

Toyota Harrier dinaiki mangsa remuk. Foto: myMetro

GUA MUSANG – Empat sekeluarga maut dan dua lagi parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 53.9 Jalan Gua Musang-Kuala Krai, berhampiran Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Paloh 1, dekat sini, pagi semalam. 
Mangsa yang berasal dari Kota Bharu itu, pemandu kenderaan Toyota Harrier, Wan Mahmud Sabri Wan Idris, 52, isterinya, Narul`Aini Abdullah, 53, anak perempuan mereka, Wan Najihah Wan Mahmud Sabri, 10, dan ibu kepada Wan Mahmud Sabri, Zainab Abdullah, 68. 
Dua mangsa yang cedera parah iaitu anak perempuan pasangan terbabit, Wan Nadirah Wan Mahmud Sabri, 13, dan pemandu kenderaan pikap jenis Mazda, Raja Yusoff R Ismail, 62, berasal dari Pasir Puteh, dihantar ke Hospital Kuala Krai (HKK). 
Ketua Polis Daerah, Superintendan Saiful Bahri Abdullah berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika keluarga terbabit dalam perjalanan dari rumah mereka di Kubang Kerian, Kota Bharu menuju ke Kuala Lumpur. 
Beliau berkata, kenderaan dipandu Wan Mahmud Sabri dipercayai hilang kawalan lalu terbabas memasuki laluan kenderaan dipandu Raja Yusoff yang dalam perjalanan dari Gua Musang menghala ke Kuala Krai. 
“Empat mangsa yang cedera parah di kepala dan badan, maut serta-merta di tempat kejadian, manakala dua lagi yang parah menerima rawatan awal di Pusat Kesihatan Bandar Chiku sebelum dirujuk ke HKK," katanya. 
Dalam pada itu, Saiful Bahri menyifatkan kemalangan itu paling ngeri dalam tempoh setahun ini. 
"Mayat semua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat," katanya. - Sinar Harian

Kenderaan pacuan empat roda Mazda ini remuk di bahagian depan. Foto: myMetro



GUA MUSANG - “Saya hanya mampu beristighfar apabila melihat empat orang dalam kereta itu sudah tidak bernyawa dengan keadaan mayat yang menyayat hati,” kata Majid Ahmad, 43, saksi kemalangan mengorbankan empat sekeluarga di Kilometer 53.9, Jalan Gua Musang, Kuala Krai, di sini, semalam. 
Mangsa kejadian yang berlaku kira-kira jam 11.30 pagi itu ialah pemandu Toyota Harrier, Wan Mahmud Sabri Wan Idris, 52, isterinya, Nurul ‘Aini Abdullah,53, dan anak perempuan mereka, Wan Najihah Wan Mahmud Sabri, 10. 
Seorang lagi mangsa yang terbunuh Zainab Abdullah, 68, dipercayai ibu kepada Wan Mahmud atau Nurul ‘Aini. Seorang lagi penumpang kenderaan itu, Wan Nadirah, 13, yang juga anak Wan Mahmud cedera parah. 
Keluarga terbabit berasal dari Kubang Kerian, Kota Bharu dan ketika kejadian mereka dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menghadiri majlis konvokesyen seorang daripada anggota keluarga mereka. 
Bagaimanapun, ketika tiba di lokasi kejadian kenderaan dinaiki keluarga terbabit bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda BT-50. - myMetro
Ahli keluarga menurunkan jenazah empat sekeluarga Wan Mahmud Sabri Wan Idris, 52, Nurul Aini Abdullah, 53, Wan Najihah Wan Mahmud, 10, dan Zainab Abdullah, 68, yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 53.9 Jalan Gua Musang Kuala Krai, ketika dalam perjalanan ke Majlis Konvokesyen anaknya di Kuala Lumpur. 
Kesemua jenazah dikebumikan pada satu liang lahad, di tanah perkuburan Kampung Surau, Pasir Puteh, pagi ini. - Berita Harian/Foto Fathil Asri

Jenazah empat sekeluarga dikebumikan di dalam satu liang lahad semalam. Foto: Kosmo!


PASIR PUTEH - Seorang graduan yang sepatutnya menerima diploma semalam terpaksa menerima hakikat kehilangan empat ahli keluarga serentak apabila mereka maut dalam kemalangan sehari sebelum hari bersejarahnya. 
Wan Nur Nasuha Wan Mahmud, 20, yang merupakan bekas penuntut jurusan Perbankan bagaimanapun tidak menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, Selangor semalam kerana jenazah keluarganya dikebumikan pada hari sama. 
"Sebelum ini, saya rasa berat hati untuk pergi majlis konvokesyen. Pada Rabu lalu, adik bongsu (Najihah), beria-ia mahu tidur bersama sebelum saya bertolak ke Shah Alam. 
"Saya tidak fikir bukan-bukan kerana menyangka arwah mahu bermanja," ceritanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kelubi di sini semalam. 
Akhbar semalam melaporkan, empat orang maut selepas kenderaan utiliti sukan jenis Toyota Harrier yang dinaiki lima sekeluarga bertembung dengan sebuah trak pikap di Kilometer 53.9, Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Gua Musang kelmarin. 
Nahas pada pukul 11.30 pagi itu mengorbankan Wan Mahmud Sabri Wan Idris, 52; isterinya, Nurul Aini Abdullah, 53; ibu Wan Mahmud, Zainab Abdullah, 68, dan anak pasangan itu, Wan Najihah, 10. Seorang lagi anak pasangan itu, Wan Nadirah, 13, parah. 
Menurut anak keempat daripada tujuh beradik itu, keluarganya sepatutnya bertolak ke Shah Alam pada Rabu lalu namun ditunda kelmarin kerana Najihah dan Nadirah masih bersekolah. - Kosmo! Online 17.11.2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.