|
Sulaiman menunjukkan kereta peronda yang dilarikan suspek, semalam. Foto: myMetro |
|
Kereta peronda ini remuk di bahagian hadapan akibat terbabas. Foto: myMetro |
MARAN - Seorang anggota polis peronda tidak menyangka tindakannya meminta seorang lelaki supaya berhenti berzikir di tengah Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dekat Plaza Tol Chenor di sini berakhir dengan tragedi apabila lelaki itu merampas pistol dan melarikan kereta peronda yang dipandu peronda berkenaan.
Lebih mengejutkan, drama rampas pistol dan bawa lari kereta peronda itu yang berlarutan selama empat jam, turut mengakibatkan lelaki tersebut, Muhd. Nasrulfahmi Abdul Nasir, 22, mati ketika dirawat di Hospital Temerloh di sini semalam.
Dia menerima rawatan tersebut selepas cedera di kepala apabila kereta peronda yang dilarikannya itu berlanggar dengan kenderaan polis yang mengejar dan kemudian mengepungnya.
Kereta peronda polis jenis Proton Inspira dan pistol jenis P99 tersebut dilarikan oleh lelaki tersebut dari Plaza Tol Chenor memasuki Pekan Awah sebelum ia berjaya disekat di Kilometer 107, Jalan Kuala Lumpur-Kuantan dekat Bukit Lada.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Sulaiman A. Hamid berkata, sebelum itu pada pukul 12.45 tengah malam, polis menerima aduan terdapat seorang lelaki duduk di atas sebuah motosikal di lorong tengah lebuh raya dekat Plaza Tol Chenor.
Katanya, tindakan lelaki itu didapati mengganggu lalu lintas selain membahayakan dirinya.
Berikutan itu katanya, dua buah kereta peronda polis ditugaskan ke plaza tol berkenaan bagi menyuraikan keadaan.
"Anggota polis yang tiba di plaza tol itu mendapati seorang lelaki sedang berzikir di atas sebuah motosikal.
"Seorang anggota polis kemudian menghampiri lelaki itu lalu menepuk bahunya sambil memujuk supaya dia beredar," kata beliau pada sidang akhbar di sini semalam. - Kosmo! Online
|
Suspek yang melarikan kereta peronda ini meninggal dunia akibat cedera parah di kepala. Foto: Bernama |
MARAN - Seorang lelaki yang bertindak menyerang anggota polis sebelum merampas sepucuk pistol dan melarikan kenderaan peronda polis di susur keluar Tol Chenor Lebuh Raya Pantai Timur tengah malam tadi dipercayai mengalami masalah mental.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, suspek yang berumur 22 tahun turut bertindak melepaskan empat das tembakan secara rambang keluar dari kenderaan yang dilarikannya itu.
Suspek sebelum itu dikatakan sedang berzikir sendirian di atas motosikalnya yang diletakkan di tengah laluan susur keluar tol itu dan bertindak menyerang anggota terbabit ketika anggota tersebut cuba memujuknya untuk mengalihkan motosikalnya.
Ketua Polis Daerah Maran Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, suspek menyerang menggunakan kunci tambahan motosikal berbentuk U yang berada di dalam raga motosikalnya.
Menurutnya, tindakan itu menyebabkan seorang anggota terjatuh sebelum suspek meluru merampas pistol di pinggang anggota itu lalu mengacu pistol tersebut kepada semua lima anggota polis di tempat kejadian.
"Suspek kemudian melarikan kenderaan polis yang tidak dimatikan enjinnya ke arah Pekan Awah. Suspek membawa kenderaan tersebut berlegar-legar di sepanjang jalan utama Pekan Awah-Chenor dan ketika itu suspek melepaskan empat das tembakan secara rawak ke arah luar kereta, namun tidak mengenai sesiapa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
"Pihak polis menggunakan kenderaan polis lain mengekori kereta polis yang dilarikan suspek dan usaha memujuk juga dilakukan dengan bantuan keluarga suspek tapi gagal," katanya.
Sulaiman berkata, selepas hampir lima jam memandu kenderaan polis itu, suspek mula memandu secara berbahaya.
Kenderaan dipandu suspek kemudiannya terbabas dan merempuh perhentian bas di lokasi berdekatan persimpangan masuk ke Kampung Bukit Lada, Chenor.
"Pihak polis terpaksa memecahkan cermin belakang kenderaan itu bagi mengeluarkan suspek yang cedera di kepala dan tidak sedarkan diri.
"Suspek kemudiannya dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut menggunakan kenderaan polis," katanya.
Sulaiman berkata suspek yang berasal dari Kampung Jengka Batu 13, Chenor disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan pada jam 7.58 pagi.
Pihak polis turut menemui semula pistol jenis Walther P99 bersama 11 butir peluru di dalam kenderaan yang dilarikan itu. - Bernama
|
Dari kiri: Adun Chenor, Mohd Ariffin Awang Ismail, Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib ketika melawat Abdul Nasir, semalam |
MARAN - Keluarga lelaki yang maut selepas kenderaan peronda Lebuh Raya Pantai Timur yang didakwa dibawanya lari terbabas merempuh perhentian bas di simpang Kampung Bukit Lada, dekat sini, kelmarin, mungkin akan mengambil tindakan mahkamah.
Ia berdasarkan laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS)menunjukkan lelaki berusia 22 tahun itu meninggal dunia kerana kecederaan di kepala akibat ditembak.
Bapanya, Abdul Nasir Abdullah, 50, seorang guru, menolak dakwaan anaknya itu meninggal dunia akibat hentakan kepala di stering kereta.
Menurutnya, kali terakhir dia menemui mangsa adalah pada 6.30 petang hari kejadian di surau tol Chenor ketika dalam perjalanan pulang ke Kampung Jengka Batu 13.
“Dia yang sedang menongkat motosikal hanya senyum lihat saya.
“Pada tengah malam itu, seorang saudara telefon beritahu polis jumpa anak saya di tol Chenor.
“Tidak sampai setengah jam kemudian, saya dihubungi lagi memaklumkan, Angah (nama timangan anaknya) rampas pistol dan bawa lari kereta polis,” katanya.
Abdul Nasir berkata, setibanya di Balai Polis Pekan Awah, beberapa anggota polis sedang berkumpul untuk bertindak menahan mangsa.
Menurutnya, dia sendiri dimaklumkan anggota polis terbabit bahawa tiada sebarang tindakan melepaskan tembakan diambil seperti mana arahan pihak atasan mereka.
“Saya berada di balai tersebut sehingga jam 5.20 pagi dan ada beberapa kali anggota polis yang mengekori kereta dipandu anak saya kembali ke balai hantar laporan.
“Saya tanya mereka sama ada Angah lepaskan tembakan dan diberitahu Allahyarham tidak berbuat demikian. Sebaliknya anggota polis lepas tembakan ke arah tayar kereta tetapi tidak kena,” katanya.
Abdul Nasir berkata, pada 5.15 pagi, polis memberitahu kenderaan dipandu mangsa terbabas merempuh perhentian bas dan dibawa ke HoSHAS.
Menurutnya, setiba di hospital, mangsa diberi rawatan dalam keadaan tidak berapa sedar.
“Saya pegang tangan Allahyarham dan cakap ‘Angah ini ayah’ sebelum mengucap dua kalimah syahadah di telinganya. Tidak lama, Allahyarham meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, laporan bedah siasat menunjukkan kecederaan di kepala akibat ditembak dari jarak dekat sehingga tembus.
“Saya tidak puas hati kerana laporan ini bercanggah dengan kenyataan polis,” katanya.
Abdul Nasir berkata, anaknya itu tidak mempunyai sebarang rekod rawatan sakit mental, tetapi sering mengalami gangguan emosi sejak terlibat dalam kemalangan pada September tahun lepas.
“Allahyarham baru habis belajar di Gebeng dan akan ke masjid berdekatan untuk solat berjemaah. Dia memang ada ambil ubat penenang dari HoSHAS kerana gangguan emosi, tetapi tidak pernah melakukan kekerasan.
"Allahyarham juga suka berzikir dengan kuat hingga takutkan orang berdekatan," katanya.
Namun katanya, mangsa tidak lagi berzikir dengan kuat selepas berubat perubatan Islam.
Jenazah arwah dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Jengka Batu 13, malam kelmarin. - Sinar Harian
|
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar |
GEORGETOWN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberi jaminan polis akan menyiasat secara terperinci berhubung kes seorang pemuda melarikan kereta peronda polis (MPV) dan ditemui maut selepas MPV itu merempuh perhentian bas.
Beliau juga memberi jaminan tidak akan melindungi mana-mana anggotanya jika didapati terbabit dalam kematian pemuda itu yang disahkan meninggal dunia akibat tembakan di kepala.
"Setakat ini siasatan awal kita mendapati kecederaan di kepala lelaki itu adalah ditembak olehnya sendiri. Bagaimanapun kita akan menjalankan siasatan secara terperinci.
"Saya sendiri akan ke Kuantan, Pahang petang ini untuk menemui anggota (polis) yang terlibat dalam kejadian untuk menyoal mereka bagi mengetahui situasi sebenar," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Khalid yang ditemui selepas merasmikan Program Pencegahan Jenayah oleh Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Pulau Pinang diminta mengulas kenyataan bapa lelaki itu yang tidak berpuas hati apabila laporan bedah siasat bercanggah dengan kenyataan polis berhubung punca kematian anaknya.
Abdul Nasir Abdullah, 50, dilapor akhbar hari ini sebagai berkata laporan bedah siasat Hospital Sultan Haji Ahmad Shah itu menyatakan kematian anaknya disebabkan oleh tembakan di kepala, bukan kerana terhentak pada stereng kereta seperti yang dinyata oleh polis.
Dalam kejadian 12.30 tengah malam Khamis lepas di susur keluar Plaza Tol Chenor Lebuhraya Pantai Timur, pemuda berusia 22 tahun itu bertindak menyerang anggota polis dan merampas pistolnya sebelum melarikan MPV berkenaan.
Dia yang dipercayai mengalami masalah mental turut melepaskan empat das tembakan secara rambang dari dalam MPV sebelum kenderaan itu terbabas dan merempuh perhentian bas di persimpangan Kampung Bukit Lada, Maran.
Mengulas lanjut, Khalid berkata polis tidak menghalang jika keluarga lelaki itu mahu membuat laporan polis atau mengambil tindakan undang-undang terhadap Polis Diraja Malaysia.
Mengenai anggota yang terlibat dalam kejadian itu, Khalid berkata mereka yang berkenaan akan berdepan dengan tindakan tatatertib kerana cuai dan menyebabkan MPV dilarikan oleh suspek. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.