Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 15 Februari 2014

Kisah Usahawan Percetakan

WISMA Achik Sdn. Bhd. meliputi tiga lot kedai dan menyediakan 25 jenis perkhidmatan. Foto: Kosmo!

USAHA Achik, dengan bantuan isterinya, kini kedai cetakan ini semakin dikenali ramai. Foto: Kosmo!


"BERAKIT-RAKIT ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian." Itulah peribahasa yang paling tepat menggambarkan perjalanan karier seorang usahawan berjaya yang pernah diusir bapanya sendiri demi memastikan perniagaannya berjaya. 
Kepada Pengarah Urusan Achik Sdn. Bhd. (Achik), Mazni Fadzil, 36, perjalanan hidupnya untuk mengecapi kejayaan penuh pancaroba. Namun, dengan semangat juang yang tinggi, jenama Achik yang kini berusia sembilan tahun dilihat sebagai antara pembekal bahan cetakan terkemuka di Malaysia. 
Menurut anak jati Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mesra dengan panggilan Achik ini, sebelum menubuhkan pusat sehenti cetakan tersebut, dia pernah menjalankan perniagaan kafe internet yang dikenali sebagai Achik Internet Cafe pada tahun 2001. 
"Saya berhijrah ke Kuala Lumpur pada tahun 2000 kerana meneruskan pengajian selama dua tahun di Institut Bina Usahawan dan membuat kerja sampingan di sebuah pusat internet di Taman Melawati untuk menampung perbelanjaan seharian. 
"Namun, selepas setahun bekerja di sana, pemilik kedai ingin berpindah dan membuka cawangan lain di Universiti Putra Malaysia, Serdang. Ketika itulah saya menawarkan diri untuk meneruskan perniagaan tersebut dan meletakkan nama Achik Internet Cafe," jelasnya. 
Sehubungan itu, Achik berkata, dia mengeluarkan modal sebanyak RM25,000 pada awal pembukaan perniagaan itu. 
Pada masa itu, dia hanya memiliki 10 buah komputer meja yang dipinjam dan disewa daripada rakan-rakannya. 
Malah, anak kedua daripada tiga adik-beradik itu pernah 'memperdayakan' ayahnya, Fadzil Mat, 60, dengan mengajak lelaki tua itu datang ke Kuala Lumpur menaiki kereta tanpa memberitahu agenda sebenarnya. 
Setibanya Fadzil di Kuala Lumpur, Achik terus membawa kenderaan ayahnya itu ke kedai kereta dan mencagarkan geran untuk menampung wang modal sebanyak RM8,000. 
"Pada ketika itu ayah naik berang dan saya merayu-rayu kepadanya untuk memaafkan saya. Saya turut berjanji kepadanya untuk membayar kembali RM8,000 kepada pemilik kedai tersebut dan menebus semula keretanya," ceritanya yang kini memiliki enam cawangan kedai cetakan di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor. 
Tidak cukup dengan itu, Achik memberitahu, dia pernah dihalau Fadzil kerana meminta izin membawa komputer peribadi adiknya untuk digunakan di pusat internetnya itu. 
Walaupun pelbagai halangan terpaksa ditempuhi, dia yang masih belajar ketika itu tidak pernah berputus asa dan nekad meneruskan perniagaannya. 
"Saya telah menggaji seorang pekerja untuk menjaga kedai pada waktu siang dan menerima wang keuntungan kedai kira-kira RM100 sehari. Namun, saya agak musykil kerana kedai dibuka dari pagi sehingga lewat malam, malah pelanggan juga semakin ramai. 
"Jadi, untuk mengetahui sama ada saya ditipu atau tidak, saya telah meminta isteri saya yang pada ketika itu merupakan teman wanita, untuk menjaga kedai. Alangkah terkejutnya saya apabila menerima ratusan ringgit dalam masa sehari," jelasnya yang kini mempunyai tiga cahaya mata bersama Raja Zainoranuara Raja Ali. 
Selepas beberapa tahun melihat potensi perniagaan, di samping mempelajari kejayaan peniaga lain, perniagaan pusat internet itu diperluaskan dengan penyediaan perkhidmatan salinan foto, mengikat fail dan cetakan. 
Lima tahun selepas itu, Achik telah menubuhkan Achik Sdn. Bhd. dengan membawa slogan One Stop Printing Centre atau Pusat Percetakan Sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan bagi kemudahan pelanggan. 
"Tidak berasa selesa dengan kejayaan yang dikecapi, saya sentiasa membuat kajian tentang perniagaan pencetakan demi melancarkan lagi operasi, di samping menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan. 
"Salah satu langkah yang diambil ialah mendapatkan bahan-bahan mentah terus dari China kerana harga di sana lebih murah dan tidak menggunakan orang ketiga," katanya. 
Berkat usaha dan doa, perniagaan Achik semakin maju dan mula menerima tempahan daripada syarikat-syarikat korporat. 
Pada tahun 2010, Achik membeli tiga lot kedai di Taman Melawati untuk dijadikan Wisma Achik. 
"Kini, syarikat saya mempunyai bangunan sendiri dan menerima tender daripada syarikat-syarikat swasta dan kerajaan. 
"Malah, tiga tahun yang lalu, saya telah membawa ayah datang ke sini dan dia turut mengalirkan air mata. 
Alhamdullilah, saya telah menunaikan janji-janji saya kepadanya dan berharap dapat terus mengemudi syarikat ini sehingga ke peringkat antarabangsa," jelasnya. 
Daripada sebuah pusat internet kecil, perniagaan Achik terus berkembang dan kini menyediakan 25 jenis perkhidmatan perniagaan termasuk cetakan, reka grafik, kad nama, kain rentang, kulit buku keras, risalah, papan tanda, pelekat, pengimbasan dokumen, cop getah, alat-alat tulis, baju dan plat kereta. 
Syarikat ini dioperasikan oleh 70 kakitangan yang rata-rata terdiri daripada graduan sarjana muda daripada universiti tempatan dan terus menarik ratusan pelanggan setiap hari. - DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA/Kosmo!

1 ulasan:

  1. Assalamualikum

    Saya Din..

    Saya sgt berminat menceburi perniagaan percetakan ini.. walaubagaimanpon saya tidak mempunyai pengalaman dan kepkaran dalm bidang tesebut. boleh tuan membantu. adalah berbesar hati jika tuan dapat memberi maklumat yang boleh saya hubungi tuan.

    sekian

    zzdd84@gmail.com
    0104142097

    BalasPadam

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.