|
Lokasi kejadian menunjukkan keadaan kereta yang tertimbus di bawah lapisan konkrit. Foto: Sinar Harian |
|
Kerja-kerja menyelamat dan memindahkan konkrit menggunakan bantuan dua jentera forklift. Foto: Sinar Harian |
|
Ghazali yang kesedihan cuba ditenangkan ahli keluarganya. Foto: Sinar Harian |
|
Ghazali meratap sambil memeluk salah seorang anaknya yang terkorban dalam nahas ngeri itu. Foto: Sinar Harian |
MUAR – Hanya laungan nama Ngaisah, Balqis dan Azzem berulang kali memecahkan suasana pilu di kediaman Ghazali Salamon, 45, yang meratapi jenazah tiga ahli keluarganya selepas semua mangsa dikeluarkan dari timbunan barangan konkrit bahan binaan.
Ghazali merupakan suami kepada mangsa kemalangan, Ngaisah Redzuan, 46, bersama dua anaknya, Faatiorrohirullah Al Azzem Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea Ghazali, 10; maut selepas terbabit dalam nahas melibatkan sebuah kereta Proton Persona dengan lori sarat membawa muatan konkrit di Batu 14 Jalan Muar-Air Hitam, berhampiran Bukit Naning dekat sini, kira-kira jam 1.30 petang semalam.
Bagaimanapun usaha untuk menemu bual Ghazali iaitu Pengerusi Biro Kesenian dan Kebudayaan Umno Bahagian Bakri,. tidak berjaya berikutan keadaannya yang tidak mengizinkan dan terpaksa ditenangkan oleh ahli keluarganya.
Lebih memilukan, kejadian ngeri itu berlaku di hadapan rumah mangsa yang ketika itu dalam perjalanan pulang dari Sekolah Kebangsaan Bukit Naning iaitu tempat Ngaisah mengajar.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku apabila lori seberat 10 tan yang sarat membawa muatan dari Air Hitam menghala ke Muar cuba memintas kereta Proton Persona dipandu Ngaisah yang ketika itu sedang membelok ke kiri untuk pulang ke rumahnya.
Malangnya, lori terbabit hilang kawalan lalu terbalik menyebabkan keseluruhan muatan barangan konkrit bahan binaan itu bertaburan dan menghempap kereta dipandu guru Matematik itu.
Pegawai Bomba Kanan Dua, Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Muar, Ismail Mahmod berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira 1.30 petang dan bergegas ke tempat kejadian bersama satu jentera dengan tujuh anggota.
Menurutnya, pihaknya terpaksa mengambil masa hampir satu jam untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit dan terhempap dalam timbunan barangan konkrit bahan binaan dengan menggunakan bantuan dua jentera forklift.
“Ketika dikeluarkan, mangsa sudah meninggal dunia dan pemandu lori berkenaan dipercayai melarikan diri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut.
“Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini untuk bedah siasat.
“Saksi kejadian diminta tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Pertemuan terakhir Rabu lalu KAKAK kedua Ngaisah, Noriah Redzuan, 70, begitu terkejut menerima berita yang menimpa adiknya melalui penduduk kampung.
“Kali terakhir saya menemui Ngaisah pada Rabu minggu lalu di sebuah kedai runcit di Parit Sulung, Batu Pahat.
“Dalam pertemuan itu, dia tidak menunjukkan sebarang perlakuan pelik dan sentiasa dengan sikap ramahnya,” katanya.
Sementara itu, rakan mangsa yang dikenali sebagai Shidah, 47, berkata, sebelum kejadian arwah sempat meninggalkan pesanan supaya membantunya memasang langsir baru sekolah pada keesokan hari (hari ini).
“Tahun ini arwah menaja langsir baru untuk sembilan kelas seperti yang dilakukannya setiap tahun.
“Hari ini (semalam) kami tidak sempat berbual panjang kerana sibuk bergotong royong membersihkan sekolah berikutan akan menerima kunjungan lawatan Nazir Jumaat ini,” katanya.
Shidah turut sedih mengenangkan semula pesanan terakhir arwah dan menganggap pemergian sebagai satu kehilangan besar buat dirinya kerana mereka sudah bersahabat baik lebih 20 tahun lalu.
Manakala seorang anak murid mangsa, Nornasha Kamarudin, 12, berkata, dia turut sedih dengan pemergian guru matematiknya itu.
“Ketika mengajar dalam kelas hari ini, Cikgu Ngaisah banyak tersenyum dan mendekati rakan-rakan yang tidak faham dengan apa yang diajarnya,” katanya. - Sinar Harian
Berita 30.1.2013
Pemandu Lori Didakwa Di Mahkamah
|
Yong Long menghadapi tuduhan memandu secara melulu sehingga mengakibatkan kematian tiga beranak di Mahkamah Majistert Muar |
MUAR – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan memandu dengan melulu sehingga menyebabkan kematian tiga beranak di Batu 14, Air Hitam dekat sini pada minggu lalu.
Lee Yong Long, 27, dari Taman Budaya Jingga, Batu Pahat dituduh melakukan kesalahan itu pada pukul 2 petang, 23 Januari lalu sehingga menyebabkan kematian Ngaisah Redzuan, 46, serta dua anaknya, Muhammad Nurullah Azzim Ghazali, 12, dan Puteri Balqis Sofea, 10.
Yong Long dengan tangan kanan berbalut mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah sebelum mengaku tidak bersalah.
Dakwaan terhadap Yong Long dikemukakan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 10 tahun atau denda RM5,000 hingga RM20,000 jika sabit kesalahan.
Majistret Roslinda Razali memerintahkan tertuduh membayar wang jaminan RM8,700 bersama seorang penjamin selain lesen tertuduh digantung sehingga kes berkenaan selesai.
Perbicaraan kes itu ditetapkan pada 6 Mac depan.
Tertuduh membayar wang jaminan. - Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.