|
Kakitangan Hospital Lipis mengangkat penumpang kereta yang patah kaki. Foto: Sinar Harian |
|
Keadaan Perodua Alza terbabit kemalangan dipercayai berlaku akibat masalah tayar dalam kejadian di Kilometer 8 Jalan Kuala Lipis-Merapoh, pagi semalam. Foto: Sinar Harian |
KUALA LIPIS - “Ketika enak menikmati makanan bersama rakan di kedai makan, tiba-tiba kami dikejutkan dengan letupan kuat dari arah jalan raya. Kami lihat sebuah kereta hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan."
Demikian kata seorang saksi, Mat Isa Abdul Rahman, 57, ketika menceritakan detik awal kejadian kemalangan membabitkan sebuah kereta Perodua Alza dinaiki dua lelaki, pagi semalam.
Menurutnya, letupan itu dipercayai akibat tayar pecah yang menyebabkan kereta terbabit gagal dikawal.
“Setelah letupan kuat itu, saya memandang ke arah jalan raya dan mendapati Perodua Alza itu seperti melambung serta hampir terbalik.
"Saya bersama pelanggan lain berkejaran ke tempat kejadian dan cuba membantu mengeluarkan mangsa di mana seorang daripadanya mengalami patah kaki," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11.40 pagi semalam di Kilometer 8 Jalan Kuala Lipis-Merapoh berhampiran Institut Pendidikan Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan.
Menurutnya, kereta Perodua Alza itu dinaiki dua lelaki datang dari arah Kuala Lipis menuju ke Merapoh.
“Tiba di tempat kejadian, kereta itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan dan hampir memasuki longkang.
“Penumpang mengalami patah kaki sebelah kiri, manakala pemandu hanya cedera ringan. Kedua-dua mangsa menerima rawatan di Hospital Lipis,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.