Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Isnin, 14 Januari 2013

Mahkamah Mesir Terima Rayuan Mubarak

Penyokong Mubarak gembira mendengar keputusan mahkamah supaya bekas pemimpin itu dibicarakan semula. - AFP


KAHERAH - Mahkamah Mesir semalam mengarahkan bekas Presiden Hosni Mubarak dibicarakan semula selepas menerima rayuan terhadap hukuman penjara seumur hidup yang dijatuhkan ke atasnya kerana kematian penunjuk perasaan pada 2011.

Mubarak, 84, dua anak lelakinya, Alaa dan Gamal, bekas Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly dan ketua keselamatan atasan akan dibicarakan sekali lagi, kata Mahkamah Rayuan selepas sesi keterangan ringkas.

Arahan itu disambut dengan teriakan ‘Hidup Keadilan!’ oleh penyokong Mubarak yang menjulang gambar bekas presiden itu dan berpelukan dalam kamar mahkamah, dengan berpuluh-puluh lagi di luar menjerit “Kami sayang kamu, presiden!” 
Bagaimanapun, Mubarak, anaknya dan Adly kekal dalam penjara kerana berdepan kes berasingan. 
Hakim Ahmed Ali Abdelrahman memberitahu mahkamah beliau menerima rayuan Mubarak, Adly dan pendakwaan, dan membatalkan semua arahan terdahulu oleh mahkamah jenayah Kaherah. 
Tarikh belum ditetapkan untuk perbicaraan baru, kata sumber perundangan. 
Keputusan dibuat menjelang ulang tahun kedua kebangkitan popular yang menumbangkan Mubarak, hampir dua minggu lagi, dan membuka jalan kepada pemilihan Presiden Mohamed Morsi. 
Pada 2 Jun lalu, Mubarak dan Adly dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana gagal menghalang kematian lebih 800 penunjuk perasaan dalam kebangkitan rakyat yang bermula pada 25 Januari 2011. 
Enam ketua keselamatan yang dibicarakan dalam kes sama dibebaskan ketika itu. 
Mubarak dan dua anaknya, Gamal dan Alaa – satu ketika dulu menjadi simbol kekuasaan dan kekayaan di negara itu – dibebaskan daripada tuduhan rasuah kerana melepasi had perundangan. 
Arahan itu mencetuskan kemarahan di seluruh negara, dengan beribu-ribu penduduk memenuhi jalan raya untuk meluahkan kemarahan kerana tiada siapa didapati bersalah membunuh penunjuk perasaan. 
Kelmarin, Mubarak disoal siasat berhubung dakwaan terbaru rasuah dan diarahkan ditahan selama 15 tahun sementara menanti siasatan. 
Beliau dituduh menerima hadiah bernilai tujuh juta pound Mesir (RM3 juta) daripada akhbar negara itu, Al-Ahram.

Berikutan hukuman Jun lalu, Mubarak dipindahkan ke penjara Tora di selatan Kaherah selepas berada selama 16 bulan di hospital di pusat peranginan Laut Merah di Sharm el-Sheikh dan kemudian di Kaherah. 
Kesihatannya semakin teruk dan agensi berita negara melaporkan beliau sudah mati selepas ketika koma. Sejak itu Mubarak berdepan masalah kesihatan kronik dan kini dirawat kerana patah rusuk dan ada cecair dalam paru-paru di hospital tentera di Kaherah. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.