Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 20 Januari 2013

Disangka Haiwan Rupanya Mayat

Keadaan mayat yang ditemui dipercayai sudah lebih tiga hari mati. Foto: Sinar Harian

Polis menjalankan siasatan di tempat kejadian berhampiran Bukit Tinggi. Foto: Sinar Harian

Lokasi mayat mangsa ditemui (kanan). Foto: Sinar Harian


BENTONG – Perasaan curiga seorang orang awam selepas melihat objek dipercayai haiwan mati dihurung lebah dan semut di tepi jalan Batu 16 Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong berhampiran Bukit Tinggi dekat sini ketika berhenti membuang air kecil membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki yang hampir reput. 
Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, selepas itu, orang awam terbabit menghubungi pihak polis memaklumkan perkara berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 3.45 petang kelmarin. 
Katanya, hasil siasatan dijalankan, objek dijumpai itu disahkan sebagai mayat seorang lelaki dipercayai sudah lebih tiga hari mati berdasarkan keadaan badan yang kurang sempurna. 
“Terdapat anggota badan yang sudah tiada dipercayai sudah dimakan oleh binatang termasuk kedua-dua belah kaki dari tapak kaki hingga ke paras peha. 
“Berdasarkan siasatan awal juga mangsa dipercayai dibunuh di tempat lain memandangkan tiada kesan pergelutan di kawasan mayat ditemui,” katanya kepada Sinar Harian. 
Mohamad Mansor berkata, selepas dibunuh, mangsa dipercayai dicampakkan ke kawasan itu menerusi dua kemungkinan iaitu dari atas jambatan setinggi lebih kurang 15 meter atau dicampak dari kenderaan yang diberhentikan di tepi jalan itu sahaja. 
Katanya, mayat sudah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk dibedah siasat dan menentukan sebab sebenar kematian. 
“Setakat ini, polis mengklasifikasikan kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan bunuh. 
“Identiti mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan orang awam yang kehilangan ahli keluarga dalam tempoh beberapa hari lalu diminta tampil menghubungi balai polis berhampiran,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.