|
Zailani memeluk anaknya, Muhammad Darwish Aniq yang diselamatkan polis daripada penjenayah, semalam. Foto: Sinar Harian |
|
Sarina dan Zailani bersyukur kerana anak mereka ditemui selamat selepas dilarikan penjenayah di sebuah stesen minyak di Kijal, Kemaman semalam. |
KEMAMAN – “Saya hanya terbayang mungkin anak tidak akan ditemui lagi, namun saya syukur, dengan kepantasan polis akhirnya anak dapat diselamatkan,” kata Sarina Husin, 37.
Anak bongsunya, Muhammad Darwish Aniq, 3, berjaya ditemui semula selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm milik suaminya dilarikan penjenayah dalam kejadian samun dan culik ketika mereka tiga beranak berhenti di stesen minyak Petronas, Bukit Kuang, kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
Semasa kejadian, Sarina bersama suaminya, Zailani Mohd Shah, 43, dan anak dalam perjalanan dari rumah mereka di Bandar Baru Kerteh ke Bandar Chukai untuk membeli barangan dapur dan singgah di stesen minyak berkenaan untuk ke tandas.
“Ketika itu, anak sedang tidur di tempat duduk belakang dan saya tandas. Tak sangka belum sempat keluar, suami turut masuk ke tandas. Sebaik keluar tandas dan menghampiri kenderaan, tiba-tiba ia bergerak.
“Saya kejar kenderaan sambil ketuk tingkap kerana sangka suami berada didalam, tetapi ia semakin laju dan meluru memasuki jalan menghala ke Kerteh,” katanya sambil mengakui cermin kenderaan yang gelap membuatkannya tidak nampak wajah pemandu.
Mengesyaki sesuatu yang buruk, ibu empat anak ini segera meluru ke tandas dan memanggil nama suaminya dan mendapati suaminya berada dalam tandas.
Kata Sarina, dalam kekalutan itu, seorang pemuda, Saufi Sukardi, 21, yang secara kebetulan berhenti di situ untuk mengisi minyak terdengar jeritannya yang meminta tolong lalu mengajaknya dan suami mengejar kenderaan mereka yang dilarikan itu.
Sementara itu, kata Zailani, ketika mengejar mangsa, dia sempat menghubungi talian 999 untuk meminta pertolongan dan mereka mengejar sehingga ke Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kemasik.
“Dalam kepala, waktu itu saya hanya fikirkan keselamatan anak, saya tidak fikirkan soal kenderaan yang dicuri. Kami kejar hingga ke IKBN Kemasik dan beberapa minit selepas itu, sepasukan enam anggota polis yang menaiki sebuah kenderaan memintas kenderaan dinaiki kami untuk mengejar penjenayah itu,” katanya.
Sejurus kemudian, dia menerima panggilan daripada polis memaklumkan kereta mereka dijumpai dan suspek yang melarikan kenderaan juga berjaya ditahan di Jalan Santong, Paka, Dungun kira-kira jam 11.30 pagi.
Dia dan isteri sangat bersyukur apabila mendapati anak mereka selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kami mengucapkan terima kasih kepada polis yang cepat dan cekap bertindak sehingga anak kami berjaya diselamatkan. Terima kasih juga kepada Encik Saufi yang sudi membantu pada saat kami melalui detik sukar ini,” katanya.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan mengesahkan kejadian.
“Hasil siasatan awal kami percaya suspek tidak melakukan jenayah ini bersendirian, sebaliknya ada dua lagi rakannya yang mengekori dari belakang menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira berwarna hijau gelap.
“Nombor pendaftaran kereta berkenaan hanya dapat dikenal pasti bermula dengan WCT. Siasatan selanjutnya sedang dijalankan,” katanya. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.