Muka depan akhbar Sinar Harian hari ini. Foto: Sinar Harian |
SHAH ALAM – Beberapa parti politik dijangka terpaksa menggugurkan nama-nama besar daripada menjadi calon mereka dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).
Pengguguran itu tidak boleh dielakkan kerana beberapa tokoh itu gagal dalam ujian tapisan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mempunyai masalah dengan undang-undang.
Antara nama-nama besar yang disebut sebagai mereka yang dijangka tidak akan dicalonkan semula akibat masalah berkenaan ialah seorang menteri besar, seorang ketua menteri dan dua pemimpin tinggi sebuah parti.
Difahamkan, perkembangan terbaru ini disedari setelah urusan awal tapisan senarai calon yang diserahkan beberapa parti kepada SPRM untuk tapisan menjelang PRU13 selesai, baru-baru ini.
Menurut sumber yang boleh dipercayai, ratusan nama calon sudah diserahkan kepada SPRM dan berikutan tapisan yang dilakukan, beberapa nama-nama besar telah gagal saringan.
Berdasarkan hasil ujian tersebut, parti-parti yang terlibat telah dinasihatkan tidak meletakkan nama-nama besar yang bermasalah itu sebagai calon mereka.
Maklumat yang diterima Sinar Harian menunjukkan nama-nama besar yang gagal ujian tapisan tidak boleh diletakkan sebagai calon dan jika dicalonkan juga, ia akan memberi implikasi kepada parti terbabit.
Ketika dihubungi Sinar Harian, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Mohd Shukri Abdul enggan memberi sebarang komen mengenai perkara tersebut.
Beliau sekadar menegaskan bahawa Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM masih membuat tapisan ke atas senarai calon yang dihantar parti-parti politik.
Katanya, parti-parti yang akan meletakkan calon dalam PRU13 masih terus menghantar nama-nama calon masing-masing untuk tapisan dan ada yang akan terus menghantar senarai tersebut walaupun selepas Parlimen dibubarkan nanti. - Sinar Harian
Tanda Pilihan Raya Ke-13 Sudah Dekat
Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod. Foto: Sinar Harian |
SHAH ALAM - Pilihan raya umum ke-13 (PRU13) begitu hampir apabila Dewan Rakyat dikhabarkan tidak bersidang seperti kebiasaannya ekoran ketiadaan surat untuk bersidang yang ditunggu-tunggu kebanyakan ahli-ahli parlimen.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, secara formal ahli-ahli Dewan Rakyat dipanggil melalui surat.
“Namun, sama ada perlu atau tidak surat itu tertakluk pada peraturan mesyuarat. Tetapi di dalam Perlembagaan tidak sebut soal ini, sama ada melalui surat atau cara lain itu bergantung pada amalan Perdana Menteri.
“Bagaimanapun, ketiadaan surat yang dikeluarkan oleh Speaker Dewan Rakyat untuk ahli dewan setakat ini, menunjukkan yang PRU13 sangat hampir,” katanya semalam.
Tambah beliau, panggilan untuk dewan bersidang dibuat oleh Speaker, dan perkara itu perlu dilakukan sebelum tarikh akhir hayat Parlimen iaitu 28 April 2012.
Menurut Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat, seperti yang tertakluk di dalam perenggan (1), Ketua atau Timbalan Ketua Majlis hendaklah menetapkan, sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap Penggal, tarikh-tarikh Majlis akan bermesyuarat dalam Penggal itu: Tetapi disyaratkan iaitu Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari semasa ke semasa.
Pada masa Majlis dalam tangguhan jika Perdana Menteri memaklumkan kepada Tuan Yang di-Pertua iaitu bagi faedah orang ramai mustahak Majlis mengadakan mesyuarat dahulu daripada tarikh yang telah ditetapkan, maka Tuan Yang di-Pertua hendaklah dengan serta-merta mengeluarkan pemberitahu menyatakan berapa hari bulan hendak diadakan mesyuarat itu dan Majlis hendaklah mengadakan mesyuarat pada masa yang disebutkan dalam pemberitahuan itu.
Kelmarin, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia memberitahu, pihaknya tidak menerima apa-apa surat untuk adakan sidang Dewan Rakyat seperti kebiasaan.
“Perkara ini semua orang tahu, itu hak Perdana Menteri bagi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bubar Dewan Rakyat.
“Pada ketika ini kita sedang menunggu. Bagi saya kalau perdana menteri memanggil supaya dewan bersidang, seharusnya sekarang ini saya sudah menerima surat. Saya cuma bersedia kalau ada permintaan daripada perdana menteri,” katanya. - Sinar Harian
Kemenangan BN Kritikal Di 70 Kawasan PRU13
Tan Sri Abdul Aziz Rahman. Foto: Sinar Harian |
SHAH ALAM - Barisan Nasional (BN) perlu memfokus ke atas 70 kerusi, yang menyaksikan perbezaan tipis pada Pilihan Raya Umum 2008, jika perikatan mahu mendapatkan kembali majoriti dua pertiga di Parlimen kali ini.
Tujuh puluh kerusi itu adalah kawasan di mana BN menang tipis atau kalah tipis lima tahun yang lalu.
Kerusi-kerusi itu juga menjadi tumpuan pembangkang dalam usahanya melebarkan sayap ke Putrajaya.
PRU13 disebut-sebut akan diadakan akhir Mac ini. Mengikut Perlembagaan Persekutuan, PRU13 peringkat persekutuan perlu diadakan menjelang akhir Jun ini.
Sehubungan itu, Presiden Mubarak, Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, BN perlu cukup teliti dalam meletakkan barisan calon di kerusi-kerusi kritikal dan mengatur strategi secara berkesan supaya kekecewaan 2008 dapat ditebus kembali dengan kemenangan pada PRU13, yang dilabel sebagai 'ibu segala pilihan raya'.
“Jadi calon-calon yang dipilih kali ini bukan sahaja calon mesti menang, dari segi totalnya mereka mesti bersih sebersih-bersihnya. Putih seputih-putihnya.
“Sebab itu calon mesti tepat. Mesti yang tidak membawa beban yang boleh membebankan parti, membebankan parti, membebankan Barisan Nasional, membebankan pucuk pimpinan.
"Mereka mesti telus, bersih, betul-betul suci daripada sebarang masalah untuk hendak bertanding kali ini. (Jika tidak) seluruh parti akan merasa kesannya,” kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Menyifatkan pertarungan PRU13 amat sengit saingannya, Abdul Aziz berkata, program transformasi dibawa oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berjaya menyentuh hati rakyat secara keseluruhannya.
Meskipun begitu katanya, cabaran besar tetap menanti BN dalam mengatur langkah di 70 kawasan kritikal yang menjadi penentu kemenangan besar parti itu di mana usaha berlipat kali ganda perlu dilakukan supaya ia tidak terlepas ke tangan pembangkang.
“Sasaran yang menjadi rebutan, 70 kawasan Parlimen itu. Jadi gerak geri strategi Barisan Nasional mesti tertumpu kepada penembusan 70 kawasan itu untuk menentukan mereka menang di situ. Kerana memang benar, jika tidak ada gerak kerja, yang benar-benar mantap, 70 kerusi ini akan menjadi medan yang kabur yang boleh menyebelahi sana atau Barisan Nasional.
“Jadi cara yang benar-benar tepat ialah orang yang hendak menjadi calon di situ, mesti tepat dan pada masa yang sama, program pembangunan di 70 kawasan ini mesti lebih mantap untuk ditentukan oleh pihak kerajaan sedia ada sekarang ini,” ujar beliau.
Akhir November lalu, Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin menjangkakan BN akan memperoleh 120 kerusi jika diadakan November lalu, sementara 24 kerusi dalam keadaan “kelabu”.
Beliau juga mengakui bahawa walaupun keputusan kali ini akan memperlihatkan majoriti mengecil tetapi kemenangan masih akan memihak kepada BN.
Empat tahun lalu, BN memperoleh 140 kerusi, manakala pembangkang 84. Ia pencapaian terburuk dalam sejarah BN.Berdasarkan statistik semasa, BN memiliki 137 kerusi, manakala PKR (23), DAP (29), Pas (22) dan Parti Sosialis Malaysia (satu), Bebas (lapan) dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (satu). Satu kerusi kosong.
Sementara Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohammad Agus Yusoff sebelum ini pernah meramalkan BN hanya selamat di 96 kerusi manakala PR pula selesa dengan 68 kerusi sementara selebihnya akan menjadi perebutan di antara kedua-dua perikatan itu.
Jangkaan itu juga bermaksud, BN dan PR berhadapan dengan kemerosotan berbanding kerusi dimenangi empat tahun lalu.
Namun Najib, selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno, dalam Perhimpunan Agung Umno 2012 buat kali pertama menyatakan keyakinan BN akan menang dengan majoriti dua pertiga dalam PRU13 jika tiada unsur sabotaj. - Sinar Harian
Kajian UM: BN Sulit Dapat Majoriti 2/3 PRU13
SHAH ALAM - Hasil kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) menunjukkan mustahil untuk Barisan Nasional (BN) meraih majoriti kerusi dua pertiga pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) berdasarkan rekod pilihan raya sebelum ini dan perkembangan semasa.
Pengarahnya, Profesor Datuk Dr. Mohammad Redzuan Othman berkata, Umno-BN pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan mengekalkan status quo.
"Dalam pilihan raya lalu di Semenanjung BN hanya dapat 47 peratus undi, Pakatan Rakyat 49 peratus. Di seluruh Malaysia, BN hanya dapat 50.2 peratus. (Tun) Abdullah Ahmad Badawi ketika memasuki pilihan raya, popularitinya 70 peratus lebih. Najib sekarang ini popular sekitar 58 peratus.
"Maknanya mustahil Najib akan dapat lebih daripada Pak Lah. Maksudnya pilihan raya akan datang status quo.
"Kecuali ada perkara luar biasa yang kita tak nampak berlaku seperti pengundi hantu yang kami pengkaji ini pun tak boleh nak kira," katanya kepada Sinar Harian Online.
Hal ini ditambah pula dengan fakta bahawa Najib satu-satunya Perdana Menteri yang turun ke gelanggang pilihan raya tanpa berlakunya persempadanan semula.
"Disebabkan persempadanan semula itu Umno mendapat majoriti kerusi. Bukan undi. Buktinya Abdullah Badawi popular 64 peratus tetapi kerusi 90 peratus (pada 2004). Tetapi Najib adalah Perdana Menteri pertama yang memasuki pilihan raya tanpa persempadanan (semula bahagian pilihan raya)," ujar Mohammad Redzuan.
Lantaran itu katanya, apa yang dikatakan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa BN dikira tewas jika gagal memperoleh kemenangan dua pertiga sepertimana 2008, ada kebenarannya.
Ujar Mahathir, walaupun BN masih menang, namun kemenangan tersebut disifatkan "kosong" kerana sebuah kerajaan yang berwibawa memerlukan kemenangan majoriti besar kerusi Dewan Rakyat.
"Tradisi yang berlaku dalam Umno, kalau Perdana Menteri gagal dapat dua pertiga kena letak jawatan, itu yang berlaku pada Tunku, pada Tun Abdullah dan perkara sama juga akan berlaku kepada Najib jika gagal mendapat dua pertiga.
"Sejak merdeka, Umno tidak pernah mendapat undi popular dua pertiga. Tidak pernah. Apa yang Umno dapat? Umno hanya dapat majoriti kerusi dua pertiga. Itu dua perkara yang berbeza," jelas Mohammad Redzuan.
Dalam hasil kajiannya yang agak kritikal terhadap kerajaan ini, Mohammad Redzuan berkata, hakikatnya jurang antara BN dan Pakatan Rakyat semakan dekat.
"Kali ini kalau yang keluar mengundi lebih 82 peratus, maknanya semua ramalan akan salah. Katakanlah keluar mengundi 90 peratus, ada yang tidak kena. Itulah yang menyebabkan orang turun beramai-ramai pada 12 Januari lalu. Bagi parti pembangkang, pilihan raya ini buat penat sahaja," katanya lagi.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Merdeka Center, Ibrahim Suffian pula memberitahu, hasil kajian firmanya menunjukkan agak sukar untuk BN memperoleh majoriti dua pertiga berdasarkan perkembangan mutakhir.
"Kita kira macam mana pun agak sukarlah hendak dapat. Melainkan BN ini ia boleh capai sokongan anak muda sebabnya bila maklumat itu meluas, semua orang dapat. Apa yang positif memang orang sokong, tetapi yang negatif itu keluar juga.
"Sentimennya hampir 50-50 yang menyatakan negara ini dalam keadaan yang baik atau dalam keadaan tak baik. Ia separuh-separuh," ujar beliau.
Sependapat dengan penganalisis politik veteran, Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid, Ibrahim berkata, pengundi atas pagar yang terdiri daripada pengundi muda ini adalah kelompok yang harus ditawan oleh BN jika mahu kekal di Putrajaya.
"Zaman sudah berubah. Tidak ada satu pihak yang dominan yang boleh mempengaruhi golongan muda akan datang dan pada kali ini, golongan muda yang akan tentukan kalah menang," kata Ibrahim.
Beliau juga berpandangan era di mana parti-parti politik boleh menang besar dalam sesebuah pilihan raya sudah berlalu kerana wujudnya pelbagai aliran politik masa kini.
"Zaman-zaman seperti itu saya rasa sudah tidak berlaku lagi di negara yang amalan demokratiknya yang semakin kukuh.
"Ada orang lihat perkara ini sebagai perpecahan tetapi saya melihat perkara ini lebih kepada percambahan dan pertambahan banyak bentuk pendapat dan idea-idea baru serta jalan penyelesaian yang baru," katanya. - Sinar Harian
SPRM Nafi Tapisan Calon
Muka depan akhbar Sinar Harian semalam. Foto: Sinar Harian |
PUTRAJAYA - Keputusan tapisan bakal calon pilihan raya yang dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah maklumat sulit dan hanya akan diserahkan kepada parti berkenaan yang meminta ia dilakukan.
Sehubungan itu, SPRM, dalam satu kenyataan semalam, menafikan laporan disiarkan sebuah akhbar semalam yang mengatakan beberapa calon tertentu gagal dalam ujian tapisan SPRM.
Katanya, Cawangan Tapisan Keutuhan, Bahagian Pengurusan Rekod dan Teknologi Maklumat SPRM sedang membuat tapisan terhadap senarai nama calon seperti dikemukakan oleh parti tertentu.
“SPRM ingin menegaskan bahawa semua hasil tapisan ke atas mana-mana calon termasuk Menteri Besar, Ketua Menteri atau pemimpin tertinggi parti, tidak pernah didedahkan kepada mana-mana pihak melainkan parti yang meminta khidmat itu,” katanya.
Bagaimanapun, keputusan tapisan itu tidak boleh dikuat kuasa dari segi undang-undang yang mesti dipatuhi kerana SPRM hanya memaklumkan sama ada seseorang yang ditapis itu pernah atau sedang disiasat oleh suruhanjaya itu manakala keputusan pemilihan calon terletak sepenuhnya pada parti berkenaan.
Sementara itu, di Kuala Terengganu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Man Tuan Ibrahim, berkata parti itu tidak bercadang menyerahkan senarai nama bakal calon kepada SPRM.
Katanya, PAS percaya semua mereka bersih daripada perkara yang boleh menjejaskan kedudukan sebagai calon.
Sebaliknya, PAS hanya berpuas hati dengan saringan dibuat jawatankuasa dalaman parti itu yang meneliti segala maklumat bakal calon terbabit yang turut diteliti oleh Majlis Syura.
“Jadi, kita tidak bercadang untuk bawa kepada SPRM. Kita (cukup) hanya melalui jawatankuasa dalaman parti,” katanya di Markas PAS Kuala Ibai di sini, semalam.
Tuan Man berkata, PAS juga buat pertama kali akan mengemukakan calon bukan Islam bertanding atas tiket parti itu dan menggunakan lambang parti pada PRU-13.
Calon terbabit akan diletakkan di kawasan majoriti bukan Islam membabitkan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. - Berita Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.