|
Ayah William Yau, Kok Kang mententeramkan isterinya, Ying Ying selepas membuat pengecaman mayat. Foto: Kosmo! |
|
Yahaya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, petang tadi. Foto: Sinar Harian |
|
William Yau yang hilang minggu lalu. Foto: Sinar Harian |
SUBANG JAYA – Polis sahkan mayat kanak-kanak ditemui di jeti Kampung Sungai Sireh Pelabuhan Klang malam tadi adalah William Yau, 6, yang dilaporkan hilang di Putra Heights minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, ia berdasarkan pengecaman dibuat kedua ibu bapa mangsa, Goh Ying Ying dan Yau Kok Kang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pagi tadi.
Bagaimanapun, menurutnya pihak polis masih menunggu ujian DNA, yang dijangka diperoleh dalam tiga hari lagi untuk pengesahan lanjut.
Yahaya berkata, ibu bapa William sahkan seluar pendek, seluar dalam, parut di dahi serta di bahagian belakang kepala mayat mirip anak mereka.
Jelas Yahaya, pegawai perubatan tidak dapat menentukan sebab-sebab kematian kerana mayat reput dan percaya ia sudah meninggal sejak seminggu lalu.
Katanya, sampel tulang dan rambut diambil untuk ujian DNA mangsa kerana organ dalaman lain sudah reput.
Tiada kecederaan luar di tubuh mayat itu. Cuma bekas gigitan binatang yang menjamah mayat ketika berada di air.
“Polis yakin 75 peratus mayat ditemui adalah kanak-kanak yang hilang itu, apapun tunggu laporan ujian DNA sama ada wujud pertalian antara mayat ditemui dengan William. Kalau benar mangsa adalah mayat yang ditemui, kita akan hentikan pencarian dan tumpukan kepada sebab-sebab kematian pula,” katanya.
Yahaya berkata, setakat ini pihaknya mengklasifikasikan kes sebagai mati mengejut.
Sehingga kini katanya, belum ada suspek atau maklumat konkrit untuk kaitkan kes itu dengan sesiapa.
Abang William yang berusia tujuh tahun akan dipanggil untuk diambil keterangan semula.
Polis katanya, akan melakukan siasatan dari setiap sudut.
“Tiada parit monsoon besar di lokasi William dilaporkan hilang, kalau ada pun sungai terletak tiga kilometer dari Putra Heights. Tempat mayat kanak-kanak ditemui semalam pula terletak kira-kira 30 kilometer dari tempat William dilaporkan hilang,” katanya. - Sinar Harian
Mayat Ditemui Tanpa Mata
|
Anggota polis memeriksa Jeti Sungai Sireh tempat mayat seorang kanak-kanak ditemui kelmarin. Foto: Kosmo! |
|
Sataruddin Kamal yang menemui mayat. Foto: Kosmo! |
PELABUHAN KLANG - Seorang nelayan tidak menyangka hajatnya untuk memanaskan enjin bot di Jeti Sungai Sireh di sini petang kelmarin membawa kepada penemuan satu mayat kanak-kanak yang terapung.
Satarudin Kamal, 45, berkata, dia ternampak mayat terapung dalam keadaan terlentang, tangan mendepang manakala kaki pula terkangkang ketika air sedang surut pada pukul 6.30 petang.
Satarudin yang merupakan Pengurus Pasar Nelayan di pelabuhan itu berkata, dia terus menarik mayat yang sudah kehilangan kedua-dua belah mata, betis mereput sehingga menampakkan tulang dan kembung ke tepi jeti lalu mengikat mayat itu pada jeti sebelum menghubungi Balai Polis Pelabuhan Klang.
"Setiap petang saya sentiasa memeriksa bot dan memanaskan enjin bot dan semalam (kelmarin) saya nampak satu mayat terapung dengan separuh muka tenggelam.
"Semasa ditemui mayat itu masih memakai baju T dan berseluar," katanya sambil memberitahu pada setiap petang dia sentiasa berada di jeti untuk memeriksa bot miliknya.
Satarudin yang juga ketua pangkalan jeti di situ memberitahu, dia tidak terkejut ketika ternampak mayat terapung kerana sebagai nelayan kejadian terserempak dengan mayat terapung sama ada di laut atau di sungai sudah kerap dialaminya.
"Masa saya lihat objek hanyut, saya memang tahu itu mayat sebab saya sudah selalu jumpa mayat terapung," katanya yang tinggal di Kampung Sungai Sireh di sini.
Kosmo! semalam melaporkan mayat seorang budak lelaki berusia sekitar enam tahun ditemui tersangkut di tepi bot di Jeti Sungai Sireh berhampiran Flat Sri Perantau di sini. Semasa ditemui mayat itu memakai baju T yang mempunyai tulisan Active Group dan Best Team. - Kosmo!
Misteri Kematian William Yau
|
William Yau dalam kenangan. Foto: myMetro |
|
Sumber: Kosmo! |
SUBANG JAYA – Biarpun penemuan mayat kanak-kanak di jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang kelmarin adalah disahkan William Yau Zhen Zhing, 6, oleh ibu bapanya, namun misteri kematiannya masih menjadi persoalan.
Sejak 16 Januari lalu, polis menggunakan pelbagai usaha cuba mengesan William Yau, antaranya mengedar poster dan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) di kawasan bukit serta belukar, berhampiran lokasinya dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Seksyen 7, Putra Heights.
Bagaimanapun, kelmarin, mayat kanak-kanak itu ditemui terapung di dalam sungai iaitu sejauh 30 kilometer dari lokasinya dilaporkan hilang.
Mayat William Yau ditemui dalam keadaan separuh reput dan kembung.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.
“Tiada kecederaan luar di tubuh mayat melainkan bekas gigitan binatang yang menjamah mayat ketika berada di dalam air,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, semalam.
Yahaya berkata, pihaknya masih menyiasat bagaimana mayat kanak-kanak terbabit berada di dalam sungai.
“Tiada parit monsoon besar di lokasi William dilaporkan hilang, kalau ada pun sungai terletak tiga kilometer dari Putra Heights.
“Pegawai perubatan juga tidak dapat menentukan punca kematian kerana mayat sudah mereput dan percaya meninggal sejak seminggu lalu,” katanya.
Beliau berkata, sehingga kini, belum ada suspek atau maklumat jelas yang dapat mengaitkan kematian William Yau.
Difahamkan, keluarga mangsa juga tidak menerima sebarang ugutan atau tuntutan wang ugutan untuk dikaitkan dengan kes penculikan.
Setakat ini, hanya lima individu menyalurkan maklumat, namun ianya tidak mempunyai kaitan dengan misteri kehilangan William Yau.
Dalam pada itu, Yahaya berkata, mayat itu disahkan oleh ibu bapa William Yau yang hadir menjalani proses pengecaman mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, semalam.
Katanya, pengesahan itu berdasarkan seluar pendek, seluar dalam, parut di dahi dan di belakang kepala mayat yang mirip William Yau.
Beliau berkata, bagaimanapun keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) akan diperolehi selewat-lewatnya tiga hari untuk mengesahkan status sebenar mayat kanak-kanak tersebut.
“Kita yakin 75 peratus mayat itu adalah kanak-kanak yang hilang. Sampel tulang dan rambut sudah dihantar ke Jabatan Kimia. Apa pun kita tunggu laporan DNA sama ada wujud pertalian antara mayat dengan William Yau.
“Jika benar mangsa, kita akan hentikan pencarian dan tumpukan kepada sebab-sebab kematian,” katanya.
Yahaya berkata, abang William Yau yang berusia tujuh tahun akan dipanggil untuk diambil keterangan semula. - Sinar Harian
William Yau Mungkin Jatuh Longkang dan Hanyut?
|
Anggota polis memeriksa longkang di Putra Heights tempat William Yau Zhen Zhong dipercayai dihanyutkan arus. Foto: Kosmo! |
SUBANG JAYA - Polis tidak menolak kemungkinan kanak-kanak hilang, William Yau Zhen Zhong, 6, yang mayatnya ditemui di Jeti Sungai Sireh, Klang kelmarin terjatuh ke dalam longkang besar di Putra Heights di sini sebelum dihanyutkan arus deras.
Longkang tersebut jika dipenuhi air akibat hujan lebat mampu menghanyutkan William yang dianggarkan seberat 15 kilogram, menuju ke Sungai Sireh di Pelabuhan Klang sejauh 30 kilometer dalam tempoh setengah jam.
Kosmo! Ahad difahamkan, dua hari selepas kehilangan kanak-kanak itu iaitu pada 18 Januari lalu, kawasan Putra Heights dilanda hujan lebat.
Pemeriksaan mendapati parit di kawasan tersebut bersambung dengan sebatang longkang di Kampung Bukit Lanchong, sebelum ia bersambung pula dengan Sungai Klang yang mengalir ke Pelabuhan Klang.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, adalah tidak mustahil mangsa terjatuh ke dalam longkang.
"Tinjauan mendapati ada sistem longkang yang tidak bertutup kira-kira 200 meter dari lokasi William hilang.
"Situasi itu boleh mengundang bahaya kepada sesiapa sahaja yang melalui kawasan itu.
"Oleh itu, kemungkinan mangsa terjatuh dan dihanyutkan arus sungai tetap ada, lebih-lebih lagi dua hari selepas mangsa hilang, kawasan Putra Heights dilanda hujan lebat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas membuat lawatan bersama hampir 30 anggota polis dan kakitangan JPS di sekitar lokasi William hilang.
William, anak kedua daripada tiga beradik dilaporkan hilang di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights selepas mangsa dipercayai keluar dari kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik di situ.
Kelmarin, ibu bapa kanak-kanak itu mengenal pasti mayat budak lelaki yang dijumpai terapung dan mereput di Jeti Sungai Sireh adalah anak mereka.
Pengecaman itu berdasarkan kesan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi kanak-kanak itu yang mempunyai persamaan dengan William.
Selain itu, Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, yang hadir di Bilik Mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang turut mengesahkan seluar pendek dan seluar dalam pada mayat kanak-kanak itu kepunyaan anak mereka.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, terjatuh ke dalam longkang adalah antara kemungkinan yang sedang disiasat oleh pihaknya.
"Perkara itu masih terlalu awal untuk dibuat kesimpulan kerana siasatan dijalankan daripada semua sudut," ujarnya.
Selain kemungkinan terjatuh, kematian kanak-kanak itu juga turut dikaitkan dengan perlakuan jenayah apabila mangsa dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dicampak ke dalam sungai.
Bagaimanapun, menurut Yahaya, bedah siasat menunjukkan tiada unsur jenayah berikutan tiada kecederaan luaran ditemui pada tubuh si mati.
Kata beliau, pihaknya akan mendapatkan keterangan daripada penduduk sekitar tempat kejadian bagi mengetahui bagaimana anak kedua daripada tiga beradik itu ditemui di Jeti Sungai Sireh.
Yahaya juga tidak menolak untuk mengambil semula keterangan daripada pihak keluarga mangsa termasuk ibu bapa William selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diketahui pada Selasa ini.
Setakat ini, kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat kanak-kanak itu masih ditempatkan di HTAR. - Kosmo!
Berita 28.1.2013
Laporan DNA Sahkan Mayat William Yau
|
Ujian DNA. Foto: al-wakalah |
KUALA LUMPUR: Laporan awal ujian 'deoxyribonucleic acid' (DNA) oleh Jabatan Kimia mengesahkan mayat kanak-kanak lelaki yang ditemui di Pelabuhan Klang pada 24 Jan lalu adalah William Yau Zhen Zhong.
Ini dinyatakan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Yahaya Bin Ramli pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Subang Jaya, hari ini.
"Laporan (itu mengesahkan) mayat itu adalah William," katanya.
William, 6, anak kedua pasangan Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32, dilapor hilang pada 16 Jan di Jalan Putra Mahkota, Putra Heights, Subang Jaya selepas dipercayai keluar daripada kenderaan untuk mencari ibu bapanya yang singgah di sebuah kedai barangan elektrik.
Pada 24 Jan, mayat seorang kanak-kanak lelaki lengkap berpakaian ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh seorang nelayan pada 6.30 petang, sebelum dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang untuk bedah siasat.
Proses bedah siasat yang dilakukan pada 25 Jan bagaimanapun gagal mengenal pasti punca sebenar kematian kanak-kanak itu kerana keadaan mayat dan organ dalaman yang reput. Kanak-kanak itu disahkan telah mati kira-kira seminggu ditemui.
Pada hari sama, ibu bapa William mengesahkan mayat kanak-kanak itu sebagai anak mereka berdasarkan penemuan dua parut di belakang kepala dan satu di dahi mangsa, selain penemuan seluar dalam milik William yang dipakai kanak-kanak itu.
Pada ketika itu, siasatan awal polis mendapati mayat kanak-kanak itu 75 peratus menyerupai William. - Bernama
Mayat William Yau Dituntut Oleh Ibu Bapanya
|
Ibu dan bapa William Yau. Foto: Sinar Harian |
KLANG - Mayat William Yau Zhen Zhong dituntut keluarganya dari rumah mayat Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, pagi tadi.
Ibu bapa kanak-kanak itu kelihatan di hospital berkenaan dalam keadaan tenang tetapi tidak dapat mengawal perasaan ketika mereka 'memanggil semangat' anak mereka untuk mengikuti mereka.
Ibu William yang memakai baju berwarna hitam dan seluar pendek warna putih, membawa patung yang bertulis nama anaknya dan sebatang gaharu, manakala bapa kanak-kanak itu memegang bahu isterinya sambil memasuki rumah mayat berkenaan kira-kira jam 10.20 pagi.
Difahamkan, mayat William akan dibawa ke Bukit Jelutong, Melaka untuk upacara pengkebumian kira-kira jam 2 petang ini.
Terdahulu, ibu bapa kanak-kanak itu menjalankan upacara ringkas di Jeti Sungai Sireh sebelum menuntut mayat anak mereka. - myMetro
Belum Ada Suspek Dikaitkan Kematian William Yau
|
Yahaya (kanan) ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya, hari ini. Foto: Sinar Harian |
SUBANG JAYA – “Belum ada suspek dapat dikaitkan dengan kes kehilangan dan penemuan mayat William Yau."
Demikian menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli.
Namun katanya, pihak polis sudah mengambil keterangan daripada lebih 30 individu yang berkaitan.
Katanya, ibu bapa kanak-kanak berkenaan juga akan dipanggil semula selepas upacara pengebumian mendiang anaknya selesai.
Yahaya berkata, pihaknya ada menerima laporan namun belum mendapat mengesahkan kononnya mangsa pernah didera sebelum ini.
Berdasarkan laporan perubatan ketika bedah siasat dijalankan terhadap mayat mendapati tiada kecederaan baru pada tubuh mangsa, namun terdapat beberapa parut lama.
Yahaya berkata, doktor belum dapat mengesahkan sama ada kesan di luar tubuh badan itu yang menyebabkan kematian mangsa atau sebaliknya kerana laporan bedah siasat sepenuhnya belum diterima dan dijangka keluar dua minggu lagi.
“Parut itu mempunyai dua kemungkinan iaitu sama ada mangsa adalah hiperaktif atau kemungkinan dipukul, kita akan siasat.
"Setakat ini tiada laporan berhubung kes dera di mana-mana balai polis di Shah Alam dan Melaka membabitkan kanak-kanak itu,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya kini menumpukan siasatan terhadap punca kematian dan sudah meneliti beberapa perkara termasuk meninjau semula lokasi kanak-kanak itu hilang di Putra Heights untuk melihat sebarang kemungkinan.
“Kita akan menyiasat secara menyeluruh, saya sekali lagi gesa semua pihak supaya jangan buat sebarang bentuk spekulasi tetapi beri apa jua maklumat yang mereka ada berhubung kes ini,” katanya.
Kata Yahaya, dua hari lalu beliau bersama pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah meninjau parit terletak kira-kira 150 meter dari tempat William dilaporkan hilang untuk melihat sekiranya wujud kemungkinan mangsa terjatuh ke dalam saliran air itu.
Katanya, jarak parit itu dengan sungai dianggarkan sejauh tiga kilometer manakala sehingga lokasi mayatnya ditemui dianggarkan sejauh 30 kilometer.
Katanya, hasil maklumat dimaklumkan kepadanya, tidak mustahil seseorang boleh dihanyutkan dari longkang itu sekiranya hujan lebat kerana tiada halangan di sepanjang laluan.
Tambah beliau, mayat yang tidak terapung dan tenggelam juga kemungkinan boleh melepasi tiga perangkap sampah terletak di permukaan di Sungai Klang
Terdahulu, Yahaya memaklumkan hasil ujian awal DNA Jabatan Kimia dikeluarkan petang kelmarin mengesahkan mayat kanak-kanak ditemui di sebuah bot di jeti Kampung Sungai Sireh Pelabuhan Klang, petang kelmarin adalah William.
Hasil ujian itu mendapati penderma spesimen darah ibu bapa mangsa, Goh Ying Ying dan Yau Kok Kang adalah sama dengan individu yang ditemui daripada spesimen tulang William.
Beliau berkata, pihak keluarga mangsa menuntut mayat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, hari ini. - Sinar Harian
Berita 30.1.2013
|
Chou Moi tidak dapat menahan sebak selepas gagal melihat wajah William buat kali terakhir di Melaka kelmarin. |
PETALING JAYA – Polis akan mengambil keterangan bapa saudara dan nenek William Yau Zhen Zhong berhubung dakwaan mereka bahawa kanak-kanak lelaki itu pernah didera ibu bapanya sebelum dia hilang dan ditemui mati Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, keterangan itu akan diambil daripada kedua-dua individu itu, yang kini berada di Melaka, dalam masa terdekat.
Katanya, polis juga akan mengambil kenyataan lanjut daripada ibu bapa dan abang William yang berumur tujuh tahun, bagi mengetahui punca sebenar kejadian.
“Siasatan akan merangkumi aspek kecuaian dan penderaan. Kita sedang berbincang dengan pakar psikologi kanak-kanak Bukit Aman untuk mengambil sekali lagi keterangan abang William,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Kelmarin, polis mengesahkan mayat kanak-kanak lengkap berpakaian ditemui di Jeti Kampung Sungai Sireh, Pelabuhan Klang oleh seorang nelayan pada 24 Januari lepas adalah William, 6, anak pasangan Goh Ying Ying, 28, dan Yau Kok Kang, 32. - Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.