|
Jakarta banjir. Foto: tekno.kompas.com |
|
Jakarta banjir. Foto: merdeka.com |
|
Jakarta banjir. Foto: solopos.com |
|
Jakarta banjir. Foto: Wisnu Gunturu A |
|
Jakarta banjir. Foto: Wisnu Gunturu A |
|
Jakarta banjir. Foto: solopos.com |
JAKARTA - Puncak banjir dahsyat di Ibu Negara Indonesia, Jakarta, Khamis lalu, melahirkan banyak perbincangan mengenai tiga perkara, iaitu kerugian ekonomi yang mencapai jutaan ringgit, wacana pemindahan ibu negara Indonesia dan rancangan Gabenor Jakarta, Joko Widodo, untuk mencontohi Malaysia membina terowong yang menyerupai sistem kawalan banjir SMART (Stormwater Management and Road Tunnel) di Kuala Lumpur, Malaysia.
Cara kerja SMART Tunnel Kuala Lumpur untuk mengalirkan air banjir ke dua sungai utama dekat bandar Kuala Lumpur itu sangat menarik minat Joko widodo untuk menirunya.
Sebelum itu, Persatuan Pengusaha Indonesia (Appindo) menerbitkan maklumat bahawa dalam satu hari kerugian yang disebabkan oleh banjir tidak kurang daripada RM170 juta. Jika jumlah semua kerugian diambil kira, ia dijangka mencapai RM3 bilion.
Dua banjir besar di Jakarta pada 2002 dan 2007 menyebabkan kerugian masing-masing tidak kurang RM 2.3 bilion.
Mengenai rancangan memindahkan ibu negara Indonesia ke luar Jakarta, ia sudah dibicarakan di peringkat pemerintahan tertinggi. Bahkan presiden pertama Indonesia, Sukarno, mengambil kira bahawa Jakarta akan sukar menjadi ibu negara Indonesia di masa depan. Demikian juga dengan Suharto dan Megawati Sukarno Putri, dua presiden selepas Sukarno yang pernah membangkitkan kepentingan ibu negara dipindahkan.
Pada 2010, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono menyatakan sokongannya kepada idea memindahkan ibu negara dari Jakarta. Lima alasan paling utama adalah, faktor Jakarta yang sangat sesak, banjir sering melanda setiap musim hujan, prasarana pengangkutan awam yang buruk, banyak kawasan kotor dan kumuh, serta padat dan sempit kerana jumlah penduduk.
Berdasarkan data Polis Daerah Jakarta, jumlah jualan kereta di Jakarta terus meningkat sebanyak 11 peratus setiap tahun. Pada April 2012, jumlah kereta dan motor di Jakarta adalah 13.346.802 unit dan angka itu terus bertambah ketika isu banjir terus mengepung Jakarta setiap tahun.
Jakarta dikenali dengan saranan pengangkutan yang buruk, jauh tertinggal dari ibu negara lain di ASEAN seperti Singapura, Kuala Lumpur dan Bangkok. Pengangkutan awam Jakarta adalah mimpi buruk. Lihat saja sistem pengangkutan awam ketika waktu orang ramai pergi dan pulang pejabat.
Ancaman gangguan seksual juga sering terjadi di dalam busway dan kereta api Jabodetabek. Lalu naik pengangkutan awam bandar (angkot), Metromini atau Kopaja, juga tidak selesa kerana ancaman penyeluk saku, gangguan pengamen dan pedagang jalanan.
Jakarta juga sangat padat dan sempit. Penduduk rasmi Jakarta lebih 10 juta orang dengan tahap kepadatan mencapai 15.427 penduduk per kilometer persegi. Bahkan di siang hari, Jakarta disesaki lebih 14 juta jiwa kerana penduduk Bogor, Depok, Tangerang dan Bekasi yang bekerja di Jakarta. Pemandangan Jakarta seperti ‘kampung besar’, kerana kawasan yang begitu padat. dan sumpek menjamur di balik gedung-gedung perkantoran mewah mencakar langit.
Sedangkan pemandangan kumuh Jakarta mudah dilihat dengan pandangan mata. Sisi-sisi sepanjang sungai dipadati gubuk-gubuk semi kekal, Sungai Ciliwung kotor dan penuh sampah, saluran air berlumpur tebal, tebaran sampah mudah dilihat di sudut-sudut Jakarta kerana penduduk Jakarta tidak segan membuang sampah di mana saja.
Menurut data Badan Pusat Statistik (BPS) Indonesia, tahun 2011, ada 392 kawasan kumuh di wilayah Jakarta.
Beberapa bandar disebut sebagai pengganti Jakarta, iaitu Palangkaraya (Ibu Kota Kalimantan Tengah), Karawang (bandar di pantai utara Pulau Jawa, Jawa Barat), Jonggol (sebuah daerah, 70 kilometer di selatan Jakarta), Palembang dan Lampung (kedua-duanya di Pulau Sumatera), dan Purwokerto (Jawa Tengah.)
Namun Joko Widodo enggan mendengar perbicangan ramai mengenai pemindahan ibu negara, kerana ia lebih fokus untuk membina terowong di Jakarta. Ketika meninjau saluran air di jalan protokol Jakarta akhir Disember lalu, Joko Widodo nampak hairan kerana saluran air di Jakarta hanya selebar 60 sentimeter.
“Dengan selebar itu, apabila dipenuhi tanah dan sampah, ia pasti akan banjir,” katanya. Menurut Joko Widodo, selain pembersihan saluran air dan mengorek mendapan sungai, penduduk Jakarta perlu lebih berdisiplin dengan tidak membuang sampah merata-rata serta menjaga kebersihan bersama.
“Harus ada penyelesaian kerana Jakarta sudah puluhan tahun dilanda banjir.
“Misalnya, membina terowong gergasi atau empangan air bawah tanah, dengan diameter 16 meter, dari selatan ke utara, dari Jalan MT Haryono hingga ke Waduk Pluit sepanjang 19 kilometer dengan bayaran Rp16 triliun (RM5.3 bilion),” katanya.
Menurut Joko Widodo, terowong tiga tingkat itu mempunyai kedalaman 40 meter dengan diameter 17 meter dan dua peringkat adalah untuk jalan, manakala satu peringkat yang paling bawah untuk air. Terowong itu juga akan dimanfaatkan sebagai tempat kabel elektrik, kabel telefon dan saluran pembuangan sisa.
“Apabila siap nanti, terowong gergasi ‘deep tunnel’ itu akan menjadi terowong pelbagai kegunaan,” katanya. - myMetro
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.