Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Sabtu, 19 Januari 2013

Tak Puas Hati Hanya Dibayar RM200

Abdul Karim (kiri) bersama rakannya Hashim Abdullah menunjukkan tanah miliknya yang dilalui jentera berat untuk projek pembangunan di Kampung Bangau Tanjung. Foto: Sinar Harian


BANDAR TEMERLOH - Seorang penduduk Kampung Bangau Tanjung, di sini, kecewa apabila sekadar dibayar sagu hati RM200 sedangkan tanah miliknya menjadi laluan utama jentera berat yang membangunkan sebuah projek kerajaan bernilai ratusan ribu ringgit. 
Abdul Karim Mohd Isa, 74, berkata, kerja pembangunan sebuah dewan yang dimulakan sejak seminggu lalu berhampiran tanahnya dekat padang bola sepak Kampung Bangau Tanjung adalah milik kerajaan. 
Bagaimanapun katanya, dia kecewa kerana langsung tidak dipanggil atau diberitahu mengenai pembangunan itu yang menggunakan jalan dalam kawasan tanahnya sebagai laluan ke tapak projek. 
“Memang saya tidak puas hati, JKKK hanya bagi saya RM200 sebagai sagu hati untuk lalu dalam tanah saya sedangkan projek yang dibangunkan bernilai ratusan ribu ringgit. 
“Mereka lalu jalan utama yang berada dalam tanah saya, jadi mereka patut bayar lebih sebab dengan adanya jalan ini projek yang bernilai tinggi ini boleh dibangunkan,” katanya. 
Abdul Karim menggesa pihak berkaitan sama ada Pejabat Daerah dan Tanah Temerloh, JKKK dan pemaju sendiri berbincang dengannya mengenai kesulitan yang berlaku. 
“Apa yang mengecewakan saya, papan tanda yang saya letak di kawasan ini juga telah dibuang pihak tertentu,” katanya. 
Sementara itu, Pengerusi JKKK Bangau Tanjung, Mat Lazin Hitam berkata, jalan yang dimaksudkan adalah milik kerajaan dan telah ada pengambilan satu masa dahulu. 
Menurutnya, JKKK memang berhasrat memajukan kawasan berhampiran padang bola dengan membina sebuah dewan tetapi perlu melalui jalan yang dimaksudkan. 
“Tak jadi masalah besar pun, kami akan berunding semula dengan tuan tanah, sepatutnya hal ini tidak berlaku sebab jalan ini milik kerajaan dan telah ada pengambilan dahulu,” katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.