|
Sebahagian daripada baju kurung dan kain batik milik Linda yang membuatkannya berasa seperti cacing kepanasan apabila memakainya. Foto: Kosmo! |
|
Shamsuri (berdiri) turut membantu Linda dalam melakukan proses memulihkannya kembali daripada terkena sihir minyak dagu. Foto: Kosmo! |
SEBELUM ini Linda (nama samaran) tidak pernah alah dalam berfesyen. Dia sering menjadi perhatian rakan-rakan sekerja kerana sentiasa menjaga penampilan. Saat itu dia bertugas sebagai seorang kerani di sebuah syarikat swasta di Grik, Perak.
Dalam bijak berfesyen, Linda juga tidak mengenepikan hukum syarak apabila tampil menjaga aurat. Dia merupakan penggemar baju kurung setiap kali pergi ke pejabat.
Namun, hidup Linda mula berubah apabila pada suatu hari badannya berasa seperti cacing kepanasan selepas memakai baju untuk ke pejabat. Keadaan itu berlaku secara berlarutan sejak lapan tahun lalu sehingga kini.
“Pada mulanya saya berasa seperti tidak selesa dan sakit-sakit badan sejurus memakai baju kurung untuk ke tempat kerja. Badan berasa seperti mencucuk-cucuk, panas dan sendi begitu lemah.
“Selain baju kurung, pakaian saya yang lain semuanya seolah-olah berpuaka kerana berasa begitu terseksa apabila memakainya. Kesakitan itu berulang pada setiap kali saya memakai pakaian lain yang digunakan semula selepas dicuci.
“Hidup saya benar-benar terganggu sejak lapan tahun lalu sehinggalah kini,” kata Linda, 34 yang telah bertemu ramai bomoh dan pengamal perubatan alternatif bagi merawat masalah itu.
Dia yang pada awalnya menganggap hal itu sebagai masalah kesihatan turut berjumpa doktor bagi melakukan ujian kerana sendi pada tubuhnya kerap berasa sakit. Namun, pegawai perubatan tidak dapat menentukan apa-apa masalah tentang kesihatannya.
Biarpun terbiasa dengan keadaan yang menyeksakan itu, Linda menemui penyelesaian apabila dinasihatkan oleh pengamal perubatan Islam untuk cuba memakai baju baharu. Hal itu berikutan Linda didakwa telah terkena ilmu sihir menerusi minyak dagu yang dicalit pada pakaiannya.
Tindakan memakai baju baharu memberikan kesan apabila tiada sebarang gangguan yang dialaminya. Namun masalah lain pula timbul apabila Linda terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar demi menukar pakaian baharu pada setiap hari sejak beberapa tahun lalu.
“Apabila pakai baju baharu, saya tidak diserang apa-apa masalah. Sihir itu dikatakan menganggu apabila memakai baju yang sama berulang kali. Ini bermakna saya perlu memakai baju baharu pada setiap hari.
“Kadang-kadang sanggup tidak mandi seharian kerana tiak mahu menukar baju lain,” kata ibu kepada dua orang cahaya mata itu.
Linda terpaksa berhabis wang kerana perlu membeli pakaian baharu untuk dia memakainya pada setiap hari.
“Apabila dihitung, mungkin perbelanjaan saya untuk membeli baju baharu sudah mencecah lebih RM100,000. Selain itu saya banyak meminjam pakaian daripada keluarga untuk menjimatkan kos membeli baju.
“Ada juga saudara-mara yang memberikan pakaian terpakai kepada saya. Selepas memakainya sekali, saya sudah tidak boleh menyarungnya lagi.
“Banyak juga baju yang hanya dipakai sekali telah diberikan kepada orang lain kerana saya sudah tidak boleh memakainya. Hingga kini, jumlah baju yang terpaksa saya beli sudah tidak terbilang jumlahnya tetapi memenuhi lima buah almari,” katanya kepada Jurnal baru-baru ini.
Untuk mengubati masalah tersebut, Linda kini berhenti bekerja sebagai kerani di sebuah syarikat swasta dan pulang ke kampung halamannya di Kota Bharu, Kelantan sejak lima bulan lalu.
“Hidup saya sengsara dalam tempoh yang lama. Apabila diberitahu telah terkena ilmu hitam oleh seseorang, saya kini sudah tidak bekerja lagi. Saya mahu memberi tumpuan kepada proses berubat,” kata wanita kecil molek itu.
Dalam pada itu seorang pengamal perubatan Islam, Shamsuri Shafie menjelaskan bahawa minyak dagu merupakan salah satu daripada cara untuk melakukan sihir terhadap orang lain.
Minyak dagu merupakan cecair yang terhasil daripada dagu orang mati yang dilayur di bawah api. Cecair berlemak itu akan keluar menerusi dagu selepas terkena bahang api dan seterusnya dijampi.
“Bahan sihir itu kebanyakannya dibawa masuk dari negara jiran. Tidak hairanlah negeri-negeri yang bersempadan seperti Kelantan, Perak, Kedah dan Perlis menjadi lokasi mudah untuk mendapatkannya.
“Kini saya dapati ada minyak dagu yang dipasarkan hingga ke Pahang oleh sindiket yang menjualnya secara komersial. Selalunya ia dijual pada harga antara RM300 hingga RM2,000 sebotol yang sebesar botol minyak atar mengikut gred,” kata Shamsuri yang menyatakan kerisauannya apabila bahan itu semakin mudah didapati.
Tambahnya, minyak dagu dari Siam dihasilkan daripada mayat kanak-kanak yang dilahirkan pada hari Selasa. Bayi itu juga haruslah merupakan milik seorang ibu yang turut dilahirkan pada hari Selasa.
Antara kegunaan minyak dagu dalam perbuatan sihir termasuklah sihir penunduk, sihir pengasih dan untuk membalas dendam dengan membuatkan mangsanya sengsara.
“Cara menggunakannya ialah menerusi mencalit pada pakaian atau tubuh orang yang mahu ditujukan ilmu hitam itu. Selain itu, ada juga yang menanam botol minyak dagu di kawasan tertentu dan meletakkan dalam makanan mangsa,” kata Shamsuri yang turut membantu Linda mengatasi sihir tersebut menerusi bacaan ayat-ayat suci al-Quran. - Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.