|
Karikatur Netanyahu berlumuran darah penduduk Palestin. Foto: Sunday Times |
LONDON - Sebuah akhbar di sini yang dimiliki oleh jutawan media Rupert Murdoch telah menerbitkan karikatur Perdana Menteri Israel Benyamin Netanyahu, yang berlumuran darah rakyat Palestin.
Bagaimanapun, karikatur tersebut mendapat kecaman warga Yahudi di negara ini, menyebabkan Murdoch segera memohon maaf kepada masyarakat berkenaan.
Kartun tersebut diterbitkan oleh Akhbar Sunday Times milik Murdoch dan dilukis oleh seorang kartunis bernama Gerald Scarfe.
"Kartun Gerald Scarfe tidak menunjukkan pandangan akhbar Sunday Times. Kami meminta maaf di atas terbitnya kartun tersebut yang membuat ramai orang merasa tersinggung," ujar Murdoch dalam akaun Twitternya.
Murdoch menghantar salah seorang redaksi Sunday Times untuk bertemu dengan masyarakat Yahudi Britain dan memohon maaf kepada mereka.
Sebelum itu, masyarakat berkenaan mengecam kartun tersebut sebagai melampau dan menjijikkan. Mereka mendakwa, penerbitan kartun tersebut serupa dengan fitnah yang dilemparkan kepada kaum Yahudi pada masa lalu.
Pada masa lalu, kaum Yahudi seringkali dituduh sebagai kaum yang hauskan darah dan akan menculik kanak-kanak untuk diminum darahnya. Masyarakat Yahudi juga kesal kerana penerbitan kartun tersebut bersamaan dengan hari peringatan Holocaust pada 27 Januari lalu.
Ahli politik di Israel juga turut mengecam kartun tersebut. Speaker Parlimen Israel, Reuven Rivlin menyatakan, kartun tersebut mengingatkan kaum Yahudi kepada masa lalu ketika kaum Yahudi di negara Barat seringkali didiskriminasi dan difitnah. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.