Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 20 Februari 2013

Risiko Lif Yang Tidak Diselenggara Dengan Baik

Kabel lif di Pangsapuri Blok A25, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) putus. Foto: myMetro


LUMUT - “Tragedi ini dapat dielakkan jika lif itu diselenggara secara berkala dengan baik. Saya kesal kerana isteri saya menjadi mangsa akibat sikap sambil lewa ini,” kata Rafie Johar, 37, yang kematian isteri akibat lif dinaiki di Pangsapuri Blok A25, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), di sini, terhempas dipercayai kerana kabelnya putus. 
Dalam kejadian jam 5 petang Jumaat lalu, mangsa, Zamelia Isharuddin, 38, menaiki lif itu dari tingkat lima bangunan didiami untuk turun ke tingkat bawah bagi mengambil wang hasil perniagaan nasi lemak yang dijalankan secara sambilan. 
Rafie berkata, lif di pangsapuri itu sudah lama bermasalah dan hanya satu daripada dua mesin pengangkat itu boleh digunakan. “Kemungkinan kabel lif yang boleh digunakan itu sudah ‘haus’ kerana tidak diselia atau diperiksa pengurusan kediaman ini,” katanya. 
Menurutnya, dia hanya mengetahui nahas ngeri membabitkan isterinya itu selepas dimaklumkan beberapa jiran yang tinggal berhampiran pangsapuri 10 tingkat itu. 
Menurutnya, beberapa jiran yang terkejut selepas mendengar dentuman kuat itu segera menghubungi bomba dan penyelamat sebelum isterinya berjaya dikeluarkan dari dalam lif berkenaan. 
“Ketika itu, isteri tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Seri Manjung bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Keadaan Zamelia amat kritikal berikutan tengkuk dan kepalanya turut dihentak kabel besi lif yang putus itu. 
“Doktor bertungkus-lumus menyelamatkannya sebelum isteri menghembuskan nafas terakhir pada jam 12.15 tengah hari Sabtu lalu,” katanya. 
Rafie berkata, dia tidak dapat menahan rasa sedih berikutan kehilangan isteri dalam tragedi yang amat mengerikan itu. 
Difahamkan, jenazah mangsa dibawa pulang untuk dikebumikan di Kampung Sayong Lembah, Kuala Kangsar. - myMetro


Petikan Dari  Berita Semasa 


Kami ingin berkongsikan kisah tragis yang melibatkan isteri kakitangan TLDM yang cukup menyayat hati dan diharapkan dapat membuka mata pihak-pihak yang bertanggungjawab supaya lebih serius menjaga anggota tentera di Malaysia yang banyak berkorban untuk negara selama ini. 
Yalah, memang benar ajal maut ditangan Tuhan. Cuma…kami berharap sangat tragedi yang menimpa kepada arwah Zamelia Isharuddin memberikan satu pengajaran kepada yang lain agar kecuaian seperti ini tidak berulang lagi & menimpa kepada orang lain pula. 
Berdasarkan maklumat yang dikongsikan oleh salah seorang pembaca Berita Semasa semalam yang juga merupakan rakan Arwah dan sama sama mengiring jenazah serta turut ikut perkembangan Arwah daripada mula kejadian sehingga petang semalam arwah dikebumikan.



Kronologi Tragedi Lif di Kediaman TLDM 
Isteri seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berumur 38 tahun itu dilaporkan meninggal dunia tengah malam malam setelah koma selama dua hari. Suaminya Rafie Johar berumur 37 tahun. 
Arwah koma selepas lif yang dinaikinya di rumah kelamin kem TLDM Lumut untuk mengambil wang hasil perniagaan nasi lemak yang dijalankan secara sambilan tiba-tiba tidak berfungsi dan jatuh dari tingkat lima. 
Arwah merupakan seorang suri rumah sepenuh masa dilaporkan kritikal disebabkan kabel lif putus dari tingkat 5 di Pangsapuri Blok A25, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sekitar pukul 3 petang (hari Khamis) 
Arwah mengalami pendarahan dalaman yang teruk. Koma. 
Ada yang mengatakan yang Arwah sedang sarat mengandung ketika itu. Sebenarnya ia tidak benar sama sekali. Apa yang berlaku yang sebenarnya pada masa itu, mangsa nampak seperti mengandung kerana semua tulang belakang sudah berkumpul di depan akibat kesan terhempas. 
Tulang rusuk dan tangan patah kerana arwah jatuh terduduk. 
Otak mangsa pula tidak berfungsi. 
Allahyarhamah dimasukkan ke hospital angkatan tentera & dipindah pada pagi Jumaat ke wad ICU hospital Seri Manjung. Keadaan Allahyarhamah yang tidak stabil pada masa itu dan cukup kritikal. 100% bergantung pada alat bantuan pernafasan & ubat untuk menggerakkan jantungnya. 
Walaubagaimanapun, Tuhan lebih sayangkan Allayarhamah apabila meninggal dunia 12.15 tengah hari Sabtu. 
Harapan kami cuma satu ia bukan berkisar persoalan tragedi lif ini semata, tetapi lebih daripada itu. Kami berharap kemudahan kem tentera di pinggiran termasuklah di Port Dickson, Kem Terendak dan lain-lain ditambah baik kerana anggota tentera kita berhak menerima kemudahan yang sebaiknya dia atas pengorbanan dan jasa yang mereka lakukan. 
Apalah sangat daripada lebih RM70 bilion yang telah dibelanjakan selama ini untuk pertahanan negara, diperuntukkan sebahagian dana untuk penyelenggaran dan penambaikan kem-kem yang menempatkan anggota tentera di Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.