Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 20 Februari 2013

Lori Dikejar Polis Rempuh Rumah Di Teluk Intan


Keadaan rumah dirempuh lori di Teluk Intan awal pagi semalam. Foto: myMetro

Keadaan rumah berkenaan pagi tadi. Foto: myMetro


TELUK INTAN -  Sebuah lori yang dikejar polis merempuh rumah yang didiami enam sekeluarga di Jalan Jawa, Kampung Belakang Kilang Padi di sini, semalam. 
Rempuhan menyebabkan dinding papan rumah pecah dan tiang besar tercabut diseret lori berkenaan. 
Bagaimanapun, tiada kecederaan serius dilaporkan dalam kejadian jam 1.30 pagi itu walaupun dua beradik, Mohd Khairul Amirin, 8, dan abangnya, Mohd Khairul Ihwan, 12, serta sepupu mereka, Mohd Maizie Syarezal Mohd Nor, 20, tersepit di celah katil dan almari pakaian. 
Dentuman itu turut menyebabkan bapa dua beradik itu, Mohd Kadri Ambu Amar, 43, dan isteri serta seorang anak perempuan mereka keluar menyelamatkan diri. 
Pemandu lori berkenaan yang dipercayai tidak cedera, melarikan diri bagi mengelak diberkas polis. 
Mohd Kadri berkata, dia ternampak seorang lelaki lari meninggalkan kenderaan itu dan dikejar dua anggota polis tetapi gagal menahannya. 
“Selepas itu, saya terdengar tangisan dan apabila diperiksa, anak saya serta anak saudara tersepit di celah katil dalam runtuhan itu. 
“Saya segera menarik mereka keluar dan bersyukur mereka bertiga tidak mengalami kecederaan serius,” katanya. 
Mohd Kadri berkata, mereka menyewa rumah itu sejak lima tahun lalu dan mereka masih trauma berikutan kejadian itu. 
"Saya rugi hampir RM3,000 selepas almari pakaian dan katil rosak,” katanya. 
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Superintendan Mohd Zaki Harun, berkata anggotanya yang melakukan rondaan cegah jenayah berdekatan Kampung Batu 8, Jalan Maharaja Lela, terserempak lori berkenaan dipandu dalam keadaan mencurigakan lalu mengarahkan kenderaan berhenti. 
“Pemandu lori bertindak memecut ke arah bandar Teluk Intan hingga ke Jalan Jawa. Lelaki itu terus memandu kenderaan memasuki kampung sebelum merempuh rumah berkenaan,” katanya. 
Beliau mengesahkan pemandu berkenaan sempat mengambil kunci lori sebelum melarikan diri. - Berita Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.