|
Anggota bomba dari unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat membawa mayat ke Hospital Lipis, semalam. Foto: Sinar Harian |
KUALA LIPIS - Penantian selama tiga hari waris pendaki Gunung Tahan, Allahyarham Amir Kamaruzaman Ab Wahab, 35, berakhir apabila anggota polis dan unit udara Jabatan Bomba dan Penyelamat membawa turun mayat berkenaan menggunakan helikopter jam 11 pagi semalam di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford di sini.
Operasi membawa turun mayat arwah yang meninggal dunia dalam perjalanan antara Kem Kor dan Kem Belemut bermula pada jam 10 pagi menggunakan helikopter lalu diterbangkan ke Hospital Kuala Lipis untuk dibedahsiasat pada jam 11.05 semalam.
Arwah Amir Kamaruzaman bersama 23 orang rakan pendaki yang lain dari Lembah Kelang memulakan pendakian Gunung Tahan bermula di Taman Negara Relau, Merapoh di sini pada 11 Februari lepas.
Mangsa dipercayai mengalami sesak nafas serta sakit dada sebelum meninggal dunia dalam perjalanan ke puncak antara Kem Kor dengan Kem Belemut pada aras ketinggian 1,406 meter pada jam 9.30 malam Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan, berkata, operasi menurunkan mayat mangsa menggunakan helikopter bermula Khamis, tetapi gagal kerana keadaan cuaca berkabus dan menyukarkan pandangan untuk mengangkat mangsa.
“Kita menyambung operasi mengambil mangsa mulai 10 pagi semalam (kelmarin) sebanyak tiga kali cuba menghampiri lokasi di mana mangsa dan 10 orang rakan dan jurupandu Perhilitan berada tetapi masih gagal kerana cuaca berkabus.
“Syukurlah, pada jam 10 pagi ini (semalam) cuaca kembali cerah di puncak berkenaan sehingga membolehkan operasi mengangkatkan mayat mangsa ke atas pesawat di udara setinggi 20 meter berjalan dengan lancar tanpa halangan,” katanya ketika ditemui di padang SMK Clifford, di sini.
Abdul Razak berkata, pihaknya berterima kasih kepada semua anggota unit pasukan beruniform dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang turut melaksanakan operasi menyelamat dan membawa turun mayat yang tersadai di lokasi berkenaan hampir tiga hari.
Sementara itu, beliau meminta semua pendaki dan pengusaha pelancongan yang ingin membuat ekspedisi mendaki puncak Tahan supaya benar-benar membuat persiapan rapi khususnya terlebih dahulu menjalani pemeriksaan doktor sebelum melaksanakan kegiatan berkenaan.
“Saya juga ingin menasihatkan semua pendaki melakukan aktiviti pendakian pada musim panas dan cuaca yang baik selain menyediakan keperluan makanan secukupnya,” katanya.
Katanya, mayat mangsa dibedahsiasat di Hospital semalam dan dibawa pulang ahli keluarga serta rakan rombongan pendaki untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Batu, Gombak, Selangor, petang semalam.
Sinar Harian semalam menemu bual beberapa rakan mangsa yang setia menunggu mayat beliau di Hospital Kuala Lipis. - Sinar Harian
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.