Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 24 Februari 2013

Penyamun Tawar Diri Buat Susu Anak

Mohd Nasrudin memberikan maklumat berkaitan kejadian kepada pihak polis. Foto: Sinar Harian

Mohd Rayyan Zikri mungkin masih fobia kerana melihat penyamun bertopeng dan cuba dipujuk Mustafa. Foto: Sinar Harian

Mustafa menujukkan bilik anaknya, Mohd Nurul Hadi yang digeledah penyamun. Foto: Sinar Harian

Zawiyah menunjukkan tingkap dapur yang dipercayai digunakan penyamun untuk masuk ke dalam rumah. Foto: Sinar Harian


HULU TERENGGANU - “Walaupun salah seorang penyamun tawarkan diri untuk membancuh susu anak, tetapi saya memohon jasa baiknya agar membiarkan saya berbuat demikian,” cerita Wan Habibah Wan Ismail, 31. 
Wan Habibah menceritakan detik cemas setelah rumah mentuanya, iaitu Imam Masjid Kampung Bukit Diman, Mustafa Khatib Mohamad, 67, dimasuki tiga penyamun bertopeng kira-kira jam 3 pagi semalam. 
Dalam kejadian itu, Wan Habibah dan lima ahli keluarganya yang lain bukan sahaja diikat di dalam bilik, tetapi turut kerugian kira-kira RM15,000 termasuk wang tunai, barang kemas dan beberapa telefon bimbit. 
Menurut Wan Habibah, beberapa minit sebelum kejadian, suaminya Mohd Nasrudin, 34, sedang membuai anak mereka, Mohd Rayyan Zikri, 2, yang menangis sebelum bilik tidur diserbu penyamun secara tiba-tiba. 
“Suami diarah tunjuk bilik tidur mentua dan dia hanya mampu menurut kerana penyamun memegang pisau. Saya kemudiannya dibawa ke bilik tidur adik ipar, Mohd Nurul Hadi, 32, dan semua ahli keluarga lain juga turut dikumpulkan bersama," katanya. 
Wan Habibah berkata, ketika itu anaknya menangis lalu salah seorang penyamun terbabit membawa Mohd Rayyan kepadanya. 
"Saya meminta mereka lepaskan ikatan kerana ingin membancuh susu. 
“Kemudian saya dibawa masuk kembali ke dalam bilik tidur dan tidak mengetahui apa yang terjadi sehinggalah mereka beredar,” katanya di sini, semalam. 
Bagi Mustafa, walaupun terpaksa menanggung kerugian, namun dia tetap bersyukur kerana seluruh ahli keluarganya terselamat. 
“Mohd Nasrudin mengejutkan saya yang ketika itu dibawa penyamun ke dalam bilik tidur. Kedua-dua tangan saya dan isteri, Zawiyah Abd Majid, 58, diikat dan kemudiannya kepala kami ditutup dengan kain. 
“Mereka berada di dalam rumah saya kira-kira satu jam. Berkemungkinan, penyamun berkenaan menggunakan pintu sama untuk masuk dan keluar iaitu melalui tingkap dapur. 
“Selain saya dan isteri, turut berada di rumah ini ialah dua anak, Mohd Nasrudin dan Mohd Nurul Hadi bersama isteri masing-masing. 
"Syukurlah, tiga cucu saya juga tidak diapa-apakan, begitu juga isteri Mohd Nurul Hadi, Maswani Mat Zaki, 32, yang sarat mengandung,” ujarnya. 
Tambah Mustafa, kejadian seumpama itu pertama kali terjadi kepada mereka sekeluarga dan menyifatkan ia salah satu ujian Allah SWT untuknya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Mohd Ismail Muslim mengesahkan kejadian dan memberitahu kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.