|
Mohd. Hazril (kanan) dan Mohd. Ezri (depan) diiring keluar dari Mahkamah Tinggi Kuching semalam. |
KUCHING - Dua pegawai polis berpangkat Inspektor berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa membelasah seorang tahanan hingga menyebabkan kematiannya pada tahun lalu.
Bagaimanapun, Mohd. Hazril Mohamed Yusof, 32, dan Mohd. Ezri Azmar Pavel, 31, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini semalam selepas didakwa membelasah Kamarul Zamrizal Kamaruzaman, 30.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Pejabat Bangunan Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak, Jalan Nager di sini pada pukul 7 malam, 4 November 2012.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan yang juga Peguam Kanan Persekutuan, Yaacub Chik dan Timbalan Pendakwa Raya, Noorfadzila Ishak.
Kedua-dua tertuduh pula diwakili peguam Shankar Ram Asnani.
Hakim Datuk Rhodzariah Bujang tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 6 hingga 17 Mei ini untuk perbicaraan.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Kamarul Zamrizal dan seorang rakannya yang berusia 18 tahun ditahan di Kampung Surabaya Hilir di sini bagi membantu siasatan berhubung kes menyerang dan mencuri dompet dua pegawai polis berkenaan di sebuah premis hiburan di sini pada 2 November lalu.
Mangsa juga dikatakan telah mengeluarkan wang RM6,000 milik salah seorang tertuduh menggunakan kad bank. Suspek dipercayai telah dibelasah hingga koma ketika ditahan dan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Umum Sarawak. - Kosmo!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.