Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Rabu, 27 Februari 2013

Pengetua Kena Samun Dalam Kawasan Sekolah

Suspek dipercayai menggunakan laluan belakang bukit rumah mangsa untuk menyamun. Foto: Sinar Harian

Kayu yang digunakan untuk naik ke tingkat dua. Teruknya keselamatan kita sekarang ini. Foto: Sinar Harian


BENTONG – Empat sekeluarga berdepan detik cemas apabila rumah mereka dimasuki empat penyamun bersenjatakan pisau dalam kejadian di Rumah Guru Sekolah Menengah Vokasional Bentong, kira-kira jam 3 pagi, kelmarin. 
Dalam kejadian itu, penyamun bersarung tangan dan bertopeng bukan sahaja mengacukan pisau ke arah mangsa tetapi turut mengikat mereka menggunakan dawai besi. 
Mangsa yang juga seorang pengetua, Hashim Puteh, 51, bersama isteri dan seorang anak lelaki berusia 14 tahun serta anak bongsu perempuan berusia 10 tahun masih trauma dengan kejadian itu. 
Katanya, pada malam kejadian dia tidur di ruang tamu kerana keletihan manakala isteri dan dua anak tidur di bilik tingkat atas. 
“Kira-kira jam 3 pagi saya dikejutkan oleh empat lelaki memakai topeng muka dan bersenjatakan pisau. 
“Seorang daripada mereka sempat menyatakan mahu memperoleh wang dan barang berharga,” katanya. 
Hashim berkata, kedua-dua tangannya kemudian diikat menggunakan dawai besi sebelum dibawa naik ke tingkat atas rumahnya itu. 
Katanya, isteri dan anak lelakinya turut diikat manakala anak perempuannya tidak diikat. 
“Kami semua ditempatkan di bilik utama dan seorang daripada mereka menjaga di bahagian pintu. 
“Tiga yang lain pula sibuk menggeledah bilik mencari barangan berharga,” katanya. 
Menurutnya, lebih kurang 15 minit, salah seorang lelaki itu datang ke dalam bilik bertemu mereka sekeluarga. 
Katanya, lelaki itu memberitahu mereka berempat akan keluar dari rumah itu dan meminta dia serta ahli keluarga supaya tidak membuat bising. 
“Selepas keempat-empatnya berlalu pergi, saya meminta anak perempuan membuka ikatan dawai besi sebelum keluar meminta pertolongan daripada jiran untuk menghubungi polis,” katanya. 
Hashim berkata, polis yang tiba di tempat kejadian mengesan sebatang kayu diletakkan di bahagian belakang rumah yang digunakan untuk memanjat ke tingkat dua rumahnya sebelum mengumpil tingkap. 
Katanya, mereka juga terlebih dahulu memotong pagar di atas bukit sebelum turun ke bawah bukit dan seterusnya memanjat kayu untuk masuk ke dalam rumah. 
“Berdasarkan apa yang dilihat, mereka menggunakan pisau yang diambil di bahagian dapur rumah saya sebagai senjata,” katanya. 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa mengalami kerugian lebih RM50,000. 
Katanya, antara barang yang dilaporkan hilang ialah barang kemas, wang tunai sejumlah RM13,000, tiga telefon bimbit dan dua jam tangan. 
“Polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian ini dan usaha mengesan keempat-empat suspek yang dipercayai warganegara Indonesia itu masih diteruskan. 
“Kes disiasat di bawah Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan atas kesalahan rompakan bersenjata.” Katanya. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.