Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Selasa, 26 Februari 2013

Meninggal Dunia Ketika Sedang Solat

JENAZAH Saidi ketika berada dalam surau di Kompleks Hentian Bas MBKT, semalam. Foto: myMetro


KUALA TERENGGANU - “Saya mendengar arwah menarik nafas panjang ketika di rakaat kedua sebelum dia terjatuh,” kata Azhar Nong, 48, rakan peniaga kain, Saidi Salleh, 54, yang meninggal dunia ketika menunaikan solat Asar di surau Hentian Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di sini, semalam. 
Azhar dari Kampung Pulau Musang, di sini, berkata, sebelum kejadian, dia bersama arwah serta beberapa jemaah lain yang kebanyakannya peniaga di hentian bas berkenaan menunaikan solat Asar di surau pada jam 4.50 petang. 
“Arwah duduk di tepi saf kedua dan sebaik memasuki rakaat kedua, saya yang berada di saf hadapan terdengar arwah menarik nafas panjang dan selepas itu saya tidak lagi mendengar bunyi nafas arwah,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 
Menurutnya, ketika mengambil wuduk, dia melihat arwah berada dalam keadaan tidak sihat dan hanya duduk di tempat wuduk. 
“Bimbang dengan keadaannya, saya cuba membantu sebelum masuk ke ruang sembahyang. Selesai sembahyang, saya melihat arwah tersandar pada dinding surau dalam keadaan lemah dan pucat. Ketika itu denyutan nadinya masih ada, tetapi seluruh badannya sejuk dan arwah disahkan meninggal dunia 10 minit selepas itu,” katanya. - myMetro

Berita 27.2.2013


KUALA TERENGGANU- “Walaupun masih terkejut dengan pemergiannya secara tiba-tiba, tetapi saya reda dan bersyukur kerana dia pergi dalam keadaan sangat baik iaitu ketika sedang menunaikan solat berjemaah,” demikian luah Takriza Talib, 42, isteri kepada Saidi Salleh, 54. 
Saidi, seorang peniaga kain di Kompleks Hentian Bas Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) menggemparkan jemaah di surau kompleks berkenaan selepas meninggal dunia ketika sedang menunaikan solat Asar berjemaah, kelmarin. 
Menurut Takriza, dia hanya mengetahui berita kematian suaminya selepas dihubungi anak perempuannya, Fatihah Saidi, 18, semasa sedang berniaga di Pasar Besar Kedai Payang, di sini. 
“Selepas melakukan pembedahan usus pada Disember lalu, kesihatannya memang tidak menentu dan hari Jumaat lalu, kami baru sahaja menghantar dia menerima rawatan di klinik swasta selepas mengadu sakit perut,” katanya. 
Bapa kepada tujuh anak dan berasal dari Kampung Padang Hangus, Tepoh, di sini, dikatakan rebah secara tiba-tiba semasa hendak tahiyat akhir dengan keadaan bersujud. - Sinar Harian

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.