Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Khamis, 21 Februari 2013

Stadium Sultan Zainal Abidin Runtuh Lagi

Stadium Sultan Zainal Abidin sedang dalam proses baik pulih. Foto: anaksungaiderhaka

Pekerja yang cedera sedang diselamatkan. Foto: anaksungaiderhaka

Bahagian yang runtuh ini ialah struktur bumbung asal. Foto: anaksungaiderhaka

Dua pertiga daripada struktur bumbung asal telah runtuh. Foto: anaksungaiderhaka

Stadium ini sedang dalam proses baik pulih setelah bumbungnya runtuh pada 2 Jun 2009. Foto: anaksungaiderhaka

Para pekerja yang cedera sedang dirawat. Foto: anaksungaiderhaka

Lima pekerja cedera dengan tiga daripadanya parah. Foto: anaksungaiderhaka

Para pekerja menafikan kejadian berpunca daripada kelalaian. Foto: anaksungaiderhaka

Slogan ini nampaknya tidak dapat menghindarkan musibah berkenaan. Foto: anaksungaiderhaka


KUALA TERENGGANU - Lima pekerja binaan cedera dengan tiga daripadanya parah apabila kerangka lama bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini yang dalam proses baik pulih, runtuh hari ini. 
Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Hamzah Mohd Jamil berkata ketika kejadian pada pukul 11.30 pagi itu, lapan pekerja sedang menjalankan kerja membaik pulih bumbung stadium itu. 
"Dianggarkan 137 meter iaitu kira-kira dua pertiga daripada struktur asal bumbung telah runtuh," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
Pekerja yang parah ialah Mohd Nazirul Nizam Marzuki, 22, Mohd Saidi Ismail, 21, dan Safian Abdul Manaf, 21, manakala dua yang cedera ringan ialah ringan Wan Mohd Fajrulazmi Wan Ahmad, 26, dan Mohd Syukri Jusoh, 31. 
Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari tempat runtuhan setengah jam selepas runtuhan dan kini mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, katanya. 
Hamzah berkata berdasarkan siasatan awal, kejadian dipercayai akibat kelemahan struktur utama bumbung setelah melalui beberapa proses menurunkan kerangka di bahagian tengah bumbung. 
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said ketika ditemui pemberita di Seri Iman di sini, berkata kejadian itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pihak kontraktor dan mereka bertanggungjawab untuk memastikan kerja baik pulih stadium itu dilakukan dengan selamat. 
Stadium berkenaan terpaksa menjalani proses baik pulih dengan kos RM15 juta setelah bumbung utamanya yang bernilai RM292 juta runtuh pada 2 Jun 2009 menyebabkan kira-kira 50 peratus daripada strukturnya musnah. 
Sementara itu, seorang saksi kejadian Ahmad Faizan Ramli yang juga rakan mangsa berkata beliau mendengar satu bunyi dentuman yang kuat sebelum melihat kerangka besi itu runtuh menghempap rakannya. 
"Ketika kejadian rakan-rakanya sedang melakukan kerja pemotongan struktur bumbung lama yang turut membabitkan penggunaan beberapa kren," katanya. 
Seorang daripada mangsa yang terselamat, Safian Abdul Manaf, 21, berkata kejadian berlaku terlalu pantas kira-kira sejam selepas dia mula bekerja. 
Katanya ketika itu dia sedang mengalih kerangka sepanjang 137 meter dengan ketinggian 25 meter dan sempat melihat kerangka besi itu jatuh lalu menghempapnya. 
Akibat kejadian itu dia mengalami patah kaki kanan, luka di mulut serta patah gigi. 
"Lepas dihempap, muka saya pula tersembam di bahagian tangga sehingga menyebabkan gigi saya patah dan mulut saya berdarah. Lepas tu, saya dah tak sedar apa-apa," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini hari ini. 
Selain Safian, turut cedera dalam kejadian itu ialah Mohd Nazirul Nizam Marzuki, 25, yang cedera di lutut kanan serta Mohd Saidi Ismail, 21, yang cedera di pinggang. 
Dua mangsa yang cedera ringan ialah Mohd Syukri Jusuh, 31, dan Wan Mohd Fajrulazmi Wan Ahmad, 26, dan kesemua mereka turut dikejarkan ke HSNZ untuk rawatan lanjut. 
Sementara itu, seorang lagi pekerja, Mohd. Ariff Harun, 18, berkata ketika kejadian, dia sempat lari menyelamatkan diri kerana berada di bahagian bawah runtuhan. 
Bagaimanapun, dia berkata runtuhan itu mengenai pinggangnya dan dia turut mendapatkan rawatan pesakit luar walaupun hanya mengalami lenguh-lenguh. 
"Saya nampak kejadian itu berlaku dan saya tidak rasa ia berpunca daripada kelalaian kerana kerangka besi itu sememangnya nampak goyang dan tidak kukuh," katanya. - Bernama


Apa Kata Arkitek


Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Tengku Ahmed Shah. Foto: Sinar Harian


KUALA NERUS – Arkitek terkemuka, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah membidas kerajaan negeri yang didakwa lewat bertindak membaik pulih Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak di sini, hingga mengakibatkan kejadian bumbung runtuh berulang lagi semalam. 
Beliau menyifatkan kejadian yang berlaku yang mengakibatkan tiga pekerja kontrak warga tempatan cedera itu sebagai sesuatu yang amat mendukacitakan di samping kerajaan negeri tidak mengambil iktibar daripada tragedi pertama yang berlaku Jun 2009. 
Raja Kamarul Bahrin, salah seorang arkitek perunding yang dilantik dalam pembinaan bumbung stadium yang bernilai RM295 juta itu pernah mengemukakan cadangan bertulis kepada kerajaan negeri supaya segera menanggalkan struktur bumbung yang tidak runtuh kerana dipercayai tidak lagi selamat untuk digunakan. 
“Selepas runtuhan pertama di bahagian tempat duduk tetamu kenamaan sebelum ini (2 Jun 2009) saya mencadangkan secara bertulis kepada kerajaan supaya bumbung yang tidak runtuh diturunkan segera kerana yang buat bumbung adalah kontraktor yang sama, pereka yang sama dan pekerja yang sama. 
“Jadi kalau yang itu (bumbung) bermasalah (sebelum runtuh), yang ini (selepas runtuh) juga bermasalah, tunggu masa saja. Soalnya apabila kita beri cadangan, kenapa perlu tunggu sampai tiga tahun? Syukur tiada yang meninggal, tapi kita tidak ambil iktibar lagi,” katanya ketika melawat stadium berkenaan semalam. 
Beliau turut meminta kerajaan negeri menampilkan pereka bumbung stadium berkenaan yang berasal dari Korea Selatan kerana sehingga kini, identiti individu berkenaan tidak jelas. 
“Sehingga kini, kita tidak tahu siapa sebenarnya orang Korea yang mereka bumbung ini (stadium). Apa nama dia kerana rakyat berhak tahu. Jadi kita minta kerajaan tampilkan orang ini (pereka bumbung). 
“Apa perjanjian kerajaan (Terengganu) dengan pereka tersebut (Korea), kita minta kerajaan jelaskan kerana ia mesti ada pertalian kontrak dengan pereka asal,” katanya. 
Beliau turut menyatakan kekesalan kerana kerajaan tidak pernah memanggil dan berbincang dengan konsultan asal dalam pembinaan stadium berkenaan selepas ia runtuh kali pertama pada Jun 2009. - Sinar Harian


Apa Kata Menteri Besar


Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said. Foto: imej carian google


MARANG - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menafikan bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin runtuh buat kali kedua semalam, selepas kejadian runtuhan berlaku pada Jun 2009, yang menyebabkan sebahagian bumbung di granstand utama stadium itu runtuh. 
Menurut beliau, kejadian yang menyebabkan pekerja di stadium berkenaan cedera selepas struktur keluli pada bumbung stadium yang sedang diperbaiki dikatakan runtuh itu adalah berpunca daripada kecuaian pihak kontraktor menjalankan kerja. 
“Bukan runtuh, ini tak betul (jika stadium itu dikatakan) runtuh. Dia (pekerja kontraktor) sedang angkat (peralatan pembinaan) menggunakan kren tetapi terlepas (dan menyebabkan kecederaan itu). Dan itu adalah tanggungjawab dia (kontraktor). 
“Bukan runtuhan, itu tanggungjawab kontraktor (kerana) tidak menjaga keselamatan. Ini yang tidak betul (mengenai runtuhan itu) kerana kerja-kerja sedang berjalan, jadi benda yang dipegang (kren) terlepas menyebabkan ia berlaku,” katanya. 
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai bumbung Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Kuala Terengganu yang sedang diperbaiki, dikatakan runtuh semalam, selepas melawat dua mangsa kebakaran di Kampung Titian Baru, di sini, semalam. 
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, tiga pekerja terperangkap di bawah runtuhan namun berjaya diselamatkan dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu untuk mendapatkan rawatan. - Sinar Harian

Berita 22.2.2013


Stadium Lengang Kerja Dihentikan

Kawasan Stadium Sultan Mizan yang lengang setelah pihak berkuasa arahkan kerja dihentikan seketika. Foto: Sinar Harian


KUALA NERUS - Kejadian kerangka bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh ketika kerja-kerja meroboh bumbung lama kelmarin bukan sahaja 'menghangatkan kembali suhu' mengenai stadium yang hanya sempat digunakan setahun itu, malah kerajaan negeri tidak terkecuali mendapat kecaman pelbagai pihak. 
Justeru langkah pihak berkuasa yang mengarahkan kerja-kerja membaik pulih oleh kontraktor yang dilantik dihentikan serta-merta untuk siasatan lanjut, di samping memastikan keselamatan pekerja tidak dipertaruhkan, merupakan tindakan yang bijak. 
Tinjauan Sinar Harian ke lokasi kejadian semalam mendapati, keadaan lengang tanpa sebarang kerja dilakukan, namun turut kelihatan beberapa wakil dari Jabatan Kerja Raya (JKR) yang kemungkinan membuat siasatan mengenai runtuhan berkenaan. 
Usaha mendapatkan maklum balas daripada kontraktor yang terlibat juga menemui kegagalan kerana tiada wakil yang ditemui di lokasi kejadian. 
Apa yang pasti, kejadian runtuhan yang berulang buat kali kedua ini sewajarnya diambil iktibar oleh semua pihak untuk memastikan keyakinan rakyat tidak goyah dan terus menyokong pembangunan yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan negeri. 
Sementara itu, seorang penduduk berhampiran yang enggan dikenali meluahkan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku itu, di samping memberi cadangan agar stadium tersebut diroboh sepenuhnya dan diganti dengan yang baru. 
“Saya rasa ia lebih baik daripada kerajaan membazir duit yang telah berapa juta dilabur untuk tujuan membaik pulih sedangkan dalam tempoh tiga tahun ini belum ada sebarang perkembangan yang memberangsangkan, namun dikejutkan pula dengan runtuhan di bahagian yang lain. 
“Jadi lebih baik bangunan sedia ada itu dirobohkan kerana rata-rata rakyat sudah hilang keyakinan untuk menjejak kaki ke stadium tersebut jika ia siap kelak, meskipun tidak tahu mengambil tempoh berapa lama lagi,” katanya. 
Menurutnya, kerajaan negeri perlu mengambil pendekatan segera untuk ‘melebur’ masalah membabitkan stadium terbabit yang dilihat masih tergantung dan menimbulkan tanda tanya, meskipun kejadian itu telah berlarutan sejak lebih tiga tahun lalu. 
Stadium itu digunakan untuk upacara perasmian Sukan Malaysia (Sukma) 2008, yang ketika itu Terengganu menjadi tuan rumah. 
Namun setahun selepas itu, negara digemparkan dengan kejadian runtuhan bumbung melibatkan kerosakan lebih 50 peratus. - Sinar Harian


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.