Allah berfirman dalam al-Quran:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Kecuali orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh serta saling menasihati untuk kebenaran dan saling menasihati untuk kesabaran." Mafhum Surah al-Asr: ayat 1 - 3.

Ahad, 10 Februari 2013

Kereta Api Tergelincir 150 Penumpang Terkandas

Kereta api Ekspres Sinaran Utara dari Butterworth ke Kuala Lumpur tergelincir di Kampung Baru, Bukit Mertajam. Foto: sabahkini.net


BUKIT MERTAJAM — Lebih 150 penumpang kereta api Ekspres Sinaran Utara terkandas selepas tergelincir di Kampung Baru, di sini hari ini ketika dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur. 
Dalam kejadian 2.20 petang itu, lokomotif kereta api milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang membawa 10 gerabak penumpang itu turut mengalami kebakaran kecil dipercayai akibat kebocoran diesel. 
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Mertajam, Rejab Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan pada 2.25 petang dan sebuah jentera bersama enam anggota tiba di tempat kejadian lima minit kemudian. 
"Ketika pihak bomba sampai, kelihatan kepulan asap tebal di bahagian hadapan yang menempatkan enjin kereta api dan kita berjaya mengawal api pada 2.47 petang sebelum ia dipadamkan sepenuhnya 36 minit kemudian,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian di sini hari ini. 
Katanya, pemeriksaan awal mendapati kebakaran itu dipercayai bermula di bahagian enjin kereta api yang disebabkan kebocoran tangki diesel. 
"Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian. Tiada penumpang yang cedera dalam kejadian itu,” katanya. — BERNAMA

Berita 11.2.2013


Perkhidmatan Kereta Api Kembali Pulih


Anggota Bomba dan Penyelamat memeriksa kesan kebakaran pada gerabak kereta api Ekspres Sinaran Utara yang terbakar kelmarin sebelum operasi pulih semula semalam. Foto: Kosmo!


BUKIT MERTAJAM - Perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) antara bandar sektor utara yang terjejas selepas keretapi Ekspres Sinaran Utara tergelincir dan terbakar di Kampung Baru, dekat sini petang kelmarin pulih sepenuhnya semalam. 

Pengurus Kanan Pemasaran KTMB, Mohd. Noordin Kimi berkata, bermula pada pukul 9 pagi semalam, operasi KTMB dipulihkan mulai 9 pagi selepas gerabak kereta api Ekspres Sinaran Utara yang tergelincir dialihkan. 

"Kerja-kerja mengalih gerabak itu memakan masa hampir 19 jam, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam. 

Kelmarin lebih 150 penumpang kereta api Ekspres Sinaran Utara terkandas selepas tergelincir di Kampung Baru, di sini ketika dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur. 

Dalam kejadian 2.20 petang itu, lokomotif kereta api milik KTMB yang membawa 10 gerabak penumpang turut mengalami kebakaran kecil dipercayai akibat kebocoran diesel. 

Noordin memberitahu, ekoran kejadian tersebut hampir 2,000 penumpang yang melibatkan beberapa perkhidmatan kereta api KTMB telah terjejas. - Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Komen yang menggunakan perkataan kesat dan lucah atau tidak sopan tidak akan disiarkan.